WM

Mesej melalui petisyen muzikal

Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

MENGHIDAP penyakit kulit memang meresahkan, apatah lagi ketika ia dalam fasa aktif menunjukkan ‘wajahnya’. Ia bukan saja menimbulkan ketidakselesaan malah boleh membuatkan penghidapnya berasa gatal, sakit dan rendah diri khususnya jika gejala penyakit kulit itu berlaku pada bahagian yang tidak boleh ditutup.

Inilah juga yang dialami kebanyakan pesakit psoriasis sama ada wanita atau lelaki. Sama-sama akan terkesan dengan kehadiran kulit tebal, bersisik dan berkeruping yang membuatkan mereka tidak selesa berada di tempat umum.

Malah renungan orang sekeliling yang tidak memahami mengenai penyakit psoriasis juga melemaskan pesakit. Sebenarnya anda tidak perlu bimbang jika ada pesakit duduk di sebelah kerana psoriasis tidak berjangkit. Namun renungan yang kurang menyenangkan ini sedikit sebanyak menyebabkan pesakit lebih selesa mengasingkan diri di rumah.

Setakat ini dianggarkan ada 500,000 pesakit psoriasis di negara kita. Mungkin ramai tidak tahu, psoriasis bukan sekadar tompokan bersisik pada permukaan kulit.

Kira-kira 30 peratus pesakit mengalami arthritis psoriatik (pada sendi) yang mengehadkan pergerakan mereka. Jika dibiarkan tanpa rawatan, pesakit psoriasis berisiko mengalami masalah kesihatan yang lebih serius seperti tekanan darah tinggi, diabetes, penyakit jantung, keresahan, kemurungan dan penyakit buah pinggang.

Meskipun sehingga kini belum ada penawar untuk psoriasis, ada rawatan yang boleh membantu pesakit menangani masalah mereka. Namun, masih ramai pesakit di Malaysia yang mempunyai akses terhad kepada rawatan.

Novartis Corporation Malaysia menjalin kerjasama dengan Persatuan Psoriasis Malaysia dan penyanyi terkenal, Zee Avi mengangkat kempen kesedaran penyakit itu ke tahap baharu melalui petisyen muzikal dalam usaha membolehkan pesakit psoriasis mendapat akses lebih baik terhadap rawatan.

Menurut Presiden dan Pengarah Pengurusan Novartis Malaysia, Patrik Grande, misi pihaknya adalah untuk mencari jalan baharu untuk memperbaiki kehidupan pesakit. Ini kerana tanpa rawatan psoriasis boleh menyebabkan pelbagai masalah yang akan memberi kesan jangka panjang kepada kehidupan pesakit.

Melalui kempen ini, satu lagu bertajuk My Skin ditulis dan digubah oleh Zee Avi dan produser, Yuswa Ansari. Liriknya diinspirasikan dalam bengkel perkongsian pengalaman dan kesukaran yang dilalui pesakit bersama Zee Avi.

Hasil perkongsian itu, 14 pesakit bersama-sama bergandingan untuk merakam lagu dan video muzik yang membawa mesej penting selain mendapatkan sokongan bagi petisyen berkenaan.

“Saya sangat teruja terbabit dalam projek berkenaan. Saya bertuah kerana berpeluang bertemu dengan insan yang kuat semangat dan memberi inspirasi yang membantu saya memahami mengenai psoriasis. Saya harap melalui lagu ini, kami dapat menyatukan rakyat Malaysia dan menyokong mereka,” kata Zee Avi.

Video muzik ini boleh ditonton di laman Facebook Novartis dan YouTube.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 5:10am
d