WM

Jeragat bukan mudarat

Oleh Aida Adilah Mat

SELAIN budaya K-Pop, drama bersiri Korea Selatan, produk kecantikan, fesyen ala wanita negara itu turut memberi impak luar biasa. Apa saja yang dilakukan oleh bintang Korea Selatan pasti menjadi ikutan terutama wanita Asia.

Di Malaysia aura yang dibawa bintang Korea Selatan bagaikan ombak besar yang tidak boleh dikawal.

Kini wanita khasnya remaja di Malaysia dengan sengaja menambah jeragat di wajah mereka kerana mengikut apa yang dilakukan bintang K-Pop itu.

Ada beberapa cara untuk menambah jeragat tiruan pada wajah melalui teknik solek yang menggunakan aplikasi celak mata dan pensel alis.

Tidak kurang juga ada yang menambah dengan pelbagai bentuk dan warna atau menambahkan pengilat di muka.

Terkini, ada teknik ‘freckling’ atau ‘microblading’ yang menggunakan teknik tatu (kekal dan separa kekal) agar jeragat ini tahan lebih lama.

Pakar estetika, Dr Riza Hartini Razali bagaimanapun menasihatkan wanita yang mahu wajah ditanda jeragat tiruan supaya memberi lebih perhatian dalam memilih juruhias atau alat solekan yang digunakan.

Katanya, ia perlu dilakukan secara berhati-hati kerana penggunaan produk yang tidak sesuai boleh menyebabkan masalah seperti bintik putih atau hitam dan jerawat.

Bagaimanapun, trend menambah jeragat di muka ketika ini bukan sesuatu yang pelik biarpun sebenarnya ramai wanita yang inginkan wajah licin, cerah dan mulus.

Dr Riza menjelaskan, jeragat atau bintik pada wajah dahulunya dianggap sebagai cela yang membuatkan kulit tampak tidak sempurna.

Malah puluhan tahun lamanya untuk masyarakat dunia mula menerima hakikat jeragat ini boleh menjadi ciri yang membuatkan seseorang wanita tampak unik kerana selama ini ia dianggap bintik mencacatkan kecantikan seseorang.

Namun kini semuanya sudah berubah mengikut peredaran masa dan trend solekan. Malah ia menjadi kegilaan remaja yang sengaja menambah bintik itu untuk mengikuti trend di Barat dan artis Korea Selatan.

“Jeragat buatan atau disebut ‘faux freckles’ bukan lagi dianggap sebagai cela. Mereka ini dengan sengaja menambah jeragat di muka kerana menganggap ia sebagai ciri yang mampu menarik pe rhatian.

“Dari sudut kecantikan jeragat ini kebiasaannya ada pada kulit wajah remaja dan kanak-kanak terutama di bahagian yang terdedah kepada sinaran matahari.

“Ia kumpulan kluster melanin yang senang kelihatan pada lapisan epidermis kulit dan jenis berkelompok. Bintik berwarna coklat ini berbentuk datar dan sering muncul pada bahagian wajah, bahu dan dada.

“Biarpun ia bukan terjadi sejak lahir, jeragat boleh timbul pada orang yang memiliki faktor genetik, iaitu terdapat pada kromosom yang tertentu.

“Selain itu, jeragat juga boleh muncul akibat selaran sinar matahari. Ia boleh terjadi kerana terdedahnya melanosit akibat sinaran matahari,” katanya yang juga Pengasas Butik Kecantikan Ariana Ming.

TIDAK BERBAHAYA

Biarpun begitu, Dr Riza berkata, walaupun bagi kebanyakan wanita jeragat masih menjadi masalah yang merimaskan, kehadirannya tidak perlu dibimbangkan kerana ia bukan penyakit boleh memudaratkan.

Mungkin disebabkan itu ia menjadi trend dan ikutan remaja yang mahu dilihat mengikut arus semasa bintang terkenal dunia.

“Jeragat muncul pada kulit yang umumnya disebabkan peningkatan melanin dalam badan.

“Ia sebenarnya satu keadaan tidak berbahaya malah tak ada sebarang simptom seperti gatal atau pedih pada wajah seseorang yang mengalaminya.

“Cuma jika terdapat bintik hitam yang semakin besar berserta berubah penampilan dan warna, jangan ambil mudah. Jumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kerana ia mungkin berpotensi mengalami mutasi dan boleh jadi juga tanda awal kanser kulit,” katanya.

Namun tidak semua wanita yang inginkan jeragat di muka. Jika ditanya, mungkin ramai wanita lebih memilih memiliki kulit yang bersih dan mulus. Bagi wanita yang ada masalah jeragat, ada beberapa kaedah dan rawatan yang sesuai untuk mengatasinya.

Beliau berkata, cara paling cepat menghilangkan jeragat adalah menjalani rawatan laser di klinik terlatih.

“Banyak cara menghilangkan jeragat. Selain rawatan laser, ada juga rawatan berasaskan teknologi terapi cryo berserta teknik eksfoliasi seperti pengelupasan kimia.

“Tapi apa yang paling penting ialah pencegahan dan perlindungan daripada sinar ultra lembayung (UV) iaitu dengan memakai krim tabir suria mengandungi SPF yang secukupnya,” katanya.

Katanya, terdapat dua jenis jeragat iaitu ephelides dan lentigo.

Ephelides sering muncul pada wanita Kaukasian yang berkulit putih dan cerah. Orang yang berambut merah juga cenderung memiliki jeragat jenis ephelides.

Jenis lentigo pula adalah bintik yang warnanya lebih gelap dan tidak pudar walaupun tak terdedah pada sinaran matahari.

TIP MUDAH PENJAGAAN KULIT

Air

Pastikan minum air yang mencukupi kerana kulit amat memerlukan air untuk memelihara kelembapan supaya ia sentiasa lembap dan kelihatan cantik serta halus.

Buang toksin

Pastikan sistem pencernaan yang lancar agar tiada masalah jerawat dan iritasi kulit.

Cahaya matahari

Perlindungan dari cahaya matahari atau sinar UV. Penggunaan krim tabir suria yang bersesuaian dengan jenis kulit amat penting untuk menghindari masalah pigmentasi serta mengelakkan kulit menjadi kasar.

Tekanan

Cuba mengawal tekanan kerana tekanan mampu mengurangkan sistem pertahanan pada kulit dan boleh menyebabkan keradangan pada kulit.

Eksfoliasi

Membersihkan wajah dan mengaplikasikan pelembap pada wajah jika anda menginginkan kulit wajah yang sihat. Tapi tanpa melakukan eksfoliasi, kulit anda tidak akan menjadi sihat seperti sepatutnya.

Rutin penjagaan wajah perlukan proses eksfoliasi agar sel-sel kulit mati dibuang dan merangsang sel baru di bawahnya. Eksfoliasi juga dipercaya sebagai kunci untuk memperoleh kulit yang lembut, tegang dan awet muda.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 5:15am
d