WM

Kurangkan makanan luar

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

BENAR kata orang, diri kita melambangkan apa yang kita makan. Mungkin ada segelintir yang menyangkal kenyataan itu, namun makanan sememangnya memberi pengaruh terbesar dalam kesihatan setiap individu.

Maka tidak hairanlah, ramai yang menghidap pelbagai penyakit hanya disebabkan tidak mengawal pemakanan sejak kecil, makan apa saja dirasakan sedap tanpa menghiraukan risiko bakal ditanggung kemudian hari.

Bunyinya kedengaran agak klise, namun inilah realiti dalam kehidupan seharian masyarakat dunia termasuk di Malaysia.

Lebih membimbangkan, terlalu ramai generasi muda termasuk kanak-kanak yang meninggal dunia atas faktor pemakanan.

Berkongsi pengalamannya bergelar pelajar forensik dalam fakulti kesihatan, Nor Dahlia Dahili tegas mengatakan penyakit berasaskan pemakanan menjadi punca utama kematian mengejut dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, antara faktor dikenal pasti adalah tidak mengamalkan pemakanan seimbang dan mengambil apa saja makanan diinginkan.

“Bukan tidak boleh makan, tetapi perlu sentiasa beringat dan bersederhana. Apabila melihat sendiri proses bedah siasat dan mengesan pemakanan menjadi sebab utama kematian orang muda menjadikan saya terfikir sejenak, apa tindakan yang boleh saya lakukan untuk membantu mengatasi perkara ini?

“Mungkin semua ini dilihat remeh, tetapi apabila saya melihat sendiri keputusan bedah siasat terhadap banyak kes kematian mengejut kerana tidak menjaga makan menyebabkan saya tekad bertindak,” katanya.

Nor Dahlia berkata, bermula lima tahun lalu, dia mula mendidik masyarakat mengenai kepentingan penjagaan makanan sejak awal iaitu pada usia bayi.

“Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Apa yang saya tahu usaha untuk mendidik ini perlu dilakukan seikhlas hati bagi memberi mesej lebih jelas kepada semua individu khususnya ibu bapa mempunyai anak kecil,” katanya.

Katanya, menggunakan media sosial Facebook, dia mula aktif berkongsi artikel mengenai kepentingan penjagaan makanan bagi mengelak kematian mengejut pada usia muda.

“Terlalu banyak kes sebegini, tidak ada penyakit, namun pergi secara mengejut. Sebagai umat Islam kita memang yakin ini adalah ketentuan Yang Maha Esa, namun di sebalik itu, perlu juga tahu punca dan penyebab berlaku kematian mengejut.

“Selain perkongsian artikel, saya juga aktif membuat siaran langsung bagi berkongsi sedikit pengalaman dan pengetahuan mengenai perkara ini,” katanya.

Nor Dahlia berkata, dia bukan mahu menakutkan orang ramai mengenai situasi itu, namun sangat terpanggil untuk berkongsi pengalaman sendiri.

“Proses bedah siasat menyaksikan sendiri punca kematian dalam kalangan generasi muda dan saya rasa ia perlu didedahkan kepada orang awam.

“Syukur, perkongsian saya mengenai perkara ini menerima maklum balas positif, ramai yang mengajukan pelbagai persoalan berkaitan tidak kurang ramai juga meminta saya sendiri menunjukkan resipi pemakanan mudah dan sihat,” katanya.

JAGA PEMAKANAN SI KECIL

Menurut Nor Dahlia, sejak itu dia sering menyarankan setiap ibu bapa menitikberatkan pemakanan anak sejak usia bayi.

“Jangan bertindak berani dengan beri apa saja makanan kepada si kecil anda. Ibu bapa perlu tahu kandungan makanan diberikan khususnya kepada bayi dan kanak-kanak di bawah usia dua tahun.

“Itu tempoh kritikal dalam membina antibodi dan mendapatkan kesihatan yang baik untuk anak. Disebabkan itu, saya sarankan ibu atau penjaga supaya rajin belajar demi kebaikan si kecil. Elakkan memberi makanan mengandungi garam dan gula. Jika manis pun, biarlah ia manis semula jadi daripada buah,” katanya.

Katanya, dia juga menyarankan setiap ibu bapa menyediakan sendiri makanan di rumah dan mengurangkan pengambilan makanan dari luar.

“Walaupun ramai yang mengadu sibuk, berkorbanlah sedikit untuk anak. Jika anak masih kecil sediakan makanan yang dimasak sendiri. Semua penulisan dan perkongsian ini menjadi detik permulaan saya menceburi bidang pemakanan.

“Disebabkan saya sering mengajar orang ramai kaedah penyediaan makanan sihat untuk bayi dan kanak-kanak wujud permintaan untuk saya sendiri mengeluarkan serbuk beras atau makanan memudahkan ibu bapa masa kini yang sering kesuntukan masa,” ujarnya.

Bermula daripada itu tertubuhnya Izliyah Kitchen yang dikendalikan Nor Dahlia bersama suami tercinta, Mohamad Hafiz Roslan yang kini menghasilkan lebih 24 produk makanan sihat termasuk serbuk beras untuk seisi keluarga.

Menurut ibu dua cahaya mata itu, dia bersyukur kerana usahanya untuk berkongsi pengetahuan mengenai pemakanan sihat itu menjadi punca menambah pendapatannya.

“Era kini semuanya semakin mudah, serbuk beras yang mempunyai perasa dibenarkan bukan saja sihat malah memudahkan tugas ibu.

“Buang rasa malas atau alasan sibuk kerana anda perlu mengawal pemakanan anak. Malah untuk membina tabiat pemakanan yang baik dalam kalangan anak, anda sebagai ibu dan ayah juga perlu berubah dengan mengamalkan pemakanan sihat serta seimbang.

“Kini selepas lebih lima tahun berkongsi pengalaman melalui penulisan dan penerangan selain menguruskan perniagaan makanan, saya bersyukur kerana suami turut sama membantu di saat susah dan senang,” katanya.

Menurutnya, dia juga teruja kerana semakin hari semakin ramai ibu bapa yang mula sedar mengenai isu pemakanan.

“Ini soal kesihatan anak, jangan ambil mudah. Bukan saja kanak-kanak, ibu bapa juga perlu kawal pemakanan harian sendiri untuk menjadi contoh terbaik buat anak. Jika beri anak makanan menggunakan serbuk beras, anda hanya perlu menambah air saja dan ia boleh dicampur dengan apa saja bahan diinginkan.

“Tidak semestinya makanan sihat untuk kanak-kanak ini tidak lazat atau hanya sayuran semata kerana jika kena caranya, makanan sihat juga sangat sedap dan menyelerakan,” katanya.

Kata Nor Dahlia, dia kini giat berusaha membantu ramai wanita terutama suri rumah untuk turut menjana pendapatan melalui produk makanan sihat selain turut memberikan kelas latihan bagi menambah ilmu bersama.

“Saya akan bimbing individu yang mahu jana pendapatan kerana mereka bukan saja perlu tahu ilmu berniaga malah informasi mengenai pemakanan sihat dan resipi mudah dan menyelerakan.

“Saya berharap objektif menggalakkan pemakanan sihat terutama dalam kalangan generasi muda tercapai sekali gus membantu ramai ibu bapa masa kini untuk menyediakan makanan sihat dengan pantas dan mudah,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2019 @ 5:20am
d