WM

Si manis urus rakan lelaki

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

SEJARAH menunjukkan sejak dulu wanita dikelaskan sebagai golongan yang lemah berbanding lelaki. Namun seiring perubahan zaman, wanita dilihat tidak gentar menyahut cabaran menggalas tugas dalam dunia kerjaya yang dikuasai lelaki.

Apatah lagi kerjaya yang menuntut si jelita dikelilingi lelaki atau tugas memimpin dalam sesebuah pasukan tidak lagi kedengaran janggal, sekali gus menunjukkan kewibawaan wanita dalam memecah tembok stigma masyarakat.

Contohnya, menjadi pengurus pasukan bola sepak lelaki bukan perkara mudah, namun tidak pula menjadi halangan buat gadis manis ini melaksanakan tugas yang diamanahkan untuknya.

Penulis berkesempatan bertemu pelajar berkaliber ini yang berkongsi pengalamannya menguruskan pasukan bola sepak Universiti Cyberjaya, Nurul Syaza Zulkahar yang tampil manis berhijab, baru-baru ini.

Kelihatan lembut pada luaran, namun butir bicaranya terselit ketegasan dalam kepetahannya menjawab soalan penulis.

Gadis berusia 20 tahun ini pelajar pertama yang menjadi pengurus pasukan bola sepak di universitinya dan berperanan mengurus pasukannya dari segi disiplin, dokumentasi dan turut berusaha mendapatkan dana untuk pasukan itu.

“Saya juga menyelitkan sedikit program kemanusiaan untuk pemain agar mereka dapat pelajari pelbagai aspek kehidupan dalam satu masa selain merapatkan hubungan ahli pasukan.

“Saya sangat gembira dan selesa dengan pasukan ini kerana mereka menghormati saya sebagai pengurus dan perempuan. Jadi tiada masalah bagi saya untuk mencuba apabila diberi peluang ini.

“Alhamdulillah, bagi saya sukar untuk menguruskan pasukan bola buat kali pertama, tetapi banyak perkara dipelajari dari segi pembahagian masa, pelajaran dan keluarga.

“Saya dapat menguruskan masa antara belajar dan menguruskan pasukan ini, jadi itu semua bukanlah alasan untuk kita tidak boleh berjaya, malah mengajar cara menyeimbangkan kehidupan seharian,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana dilantik pihak universiti menggalas tanggungjawab itu, sekali gus menunjukkan kepada masyarakat jantina bukan penghalang untuk berjaya. Bahkan dia berjaya membuktikannya dengan menguruskan pasukan yang semuanya terdiri daripada lelaki.

Memegang pepatah ‘genggam bara api biar sampai jadi arang’, bagi Nurul Syaza kesibukan tidak menjadi penghalang untuknya membahagikan masa sehariannya yang dipenuhi aktiviti kuliah, persatuan dan misi kemanusiaan.

Malah penuntut Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ini turut mencapai keputusan cemerlang dengan Purata Nilaian Gred Keseluruhan (CGPA) 3.51 dan menerima Anugerah Dekan.

Bukan itu saja, gadis kelahiran Sepang, Selangor ini turut bergiat aktif dalam program luar seperti memberi makanan kepada gelandangan, meraikan perayaan bersama golongan memerlukan dan membantu dari segi perubatan.

Katanya, dia menggunakan peluang yang diberikan pihak universiti untuk membantu golongan memerlukan dan usahanya itu turut diberi penghargaan apabila dilantik sebagai Duta Pelajar untuk Universiti Cyberjaya oleh Institut Onn Ja'afar (IOJ).

“Saya juga menyertai beberapa program bersama IOJ antaranya JOM CNY di pusat transit gelandangan Kuala Lumpur selain membawa pelajar dari universiti bersama saya dan IOJ untuk membantu golongan sasar seperti kanak-kanak yang memerlukan bantuan dari segi pembelajaran, perubatan dan sebagainya menerusi program Jom Breakfast.

“Antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah semasa menjejak kaki di pusat penjagaan kanak-kanak itu dan melihat betapa gembiranya mereka mendapat makanan.

“Situasi ketika itu memang sebak kerana saya dapat rasakan kesusahan yang mereka rasai. Dari situ saya belajar erti syukur dengan nikmat yang Allah beri kepada saya,” katanya.

Nurul Syaza turut berkongsi tip belajar yang menjadi amalannya antaranya menghafaz ayat surah Ar-Rahman ayat satu hingga sepuluh.

Katanya, setiap kali musim peperiksaan, jika lupa ataupun tiada idea, dia cuba mengingat semula ayat al-Quran yang dihafaz dan insya-Allah ia amat membantu.

Tip yang kedua, katanya, mesti rajin melakukan kerja yang diberi oleh pensyarah, sentiasa ulangi topik sama atau sukar hingga mahir dan ketiga, menjaga hubungan dengan Allah dan juga ibu bapa.

“Minta pertolongan dan petunjuk daripada Allah. Jangan lupa juga minta minta ibu bapa mendoakan kejayaan kita,” katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2019 @ 5:10am
d