WM

Catat kisah hidup

Oleh Aida Adilah Mat

TAHUN 2020 bakal membuka tirainya tidak lama lagi dengan pelbagai azam baru yang akan meniti di bibir.

Pernahkah kita terfikir apa agaknya azam tahun baru orang yang berjaya. Adakah azam mereka sama seperti kita? Atau ada keunikan yang membantu mereka terus berjaya?

Jika anda mengkaji kehidupan mereka yang berjaya, semuanya bermula dengan sebuah diari tahunan untuk merancang kehidupan supaya lebih tersusun.

Malah ketika Nordiana Nazar, 38, menyertai kursus yang dianjurkan jutawan muda, Irfan Khairi, baru dia tahu bahawa Irfan mempunyai diari tahunannya sendiri sejak berusia 17 tahun.

Ia memberi pengertian yang begitu bermakna buat Nordiana yang kini menjual diari tahunan itu secara dalam talian.

Kata Nordiana, dia bersama tiga rakan kongsi mula menjalankan perniagaan #meplanner itu pada Disember tahun lalu dengan mencetak 1,000 diari yang meningkat hingga 10,000 salinan tahun ini.

Ia dilihat satu peningkatan yang ketara kerana kini ramai orang sudah mengetahui kelebihan mempunyai perancangan tahunan.

Kata Nordiana, mereka merancang untuk menjadikan #meplanner itu sebagai satu perniagaan yang serius apabila melakukan tinjauan pasaran dan menyedari banyaknya permintaan. Malah peluang seolah-olah terbentang di depan mata kerana berdasarkan pemerhatian mereka, tidak banyak diari tahunan berkonsep Islamik khususnya buat Muslimah.

Justeru, selepas berbincang dengan rakan kongsi yang dikenali sejak zaman belajar, Nordiana dan rakan memutuskan untuk menjadikannya sebagai produk perniagaan mereka. Ia secara tidak langsung memberikan pelbagai pilihan kepada pengguna dan menggalakkan supaya lebih ramai orang menulis perancangan atau perjalanan hidup mereka sepanjang tahun.

“Kami bermula tahun lalu dan maklum balas yang diterima amat memberangsangkan. Berbekalkan modal RM10,000 perniagaan menjual diari tahunan ini semakin berkembang.

“Biarpun ia kelihatan seperti perniagaan bermusim, tahukah anda diari tahunan ini sentiasa ada permintaan.

“Kami menggunakan platform menjual ini di dalam laman web Lazada dan Shopee. Alhamdulillah setiap bulan ada saja yang membelinya,” katanya.

Katanya, tahun ini, mereka mengeluarkan 16 reka corak yang berharga daripada RM25 hingga RM80.

Setiap diari tahunan ini dimuatkan kata-kata perangsang daripada Irfan Khairi dan dia bergelar jutawan seawal usia 25 tahun.

DIARI PUPUK DISIPLIN

“Menulis akan membantu anda lebih mudah mengingat sesuatu perkara dan untuk menghafal anda perlu menulis. Itu antara pesan guru yang pernah disampaikan kepada saya.

“Apa kata, anda cuba mengubah hidup dengan menggunakan diari tahunan untuk menulis apa yang anda lakukan esok hari dan lihat kesannya.

“Ini berdasarkan maklum balas daripada seorang pekerja yang berjaya mengubah hidupnya selepas menulis diari dan dipilih sebagai pekerja terbaik di syarikatnya. Semuanya bermula dengan menulis setiap aktivitinya di dalam diari.

“Katanya, kehidupannya lebih tersusun dan berdisiplin selepas menulis apa yang ingin dilakukannya dalam diari.

“Contoh kedua, seorang ibu yang mula menulis semua aktiviti harian dia dan anak-anaknya di dalam diari. Satu hari, anaknya di masukkan ke hospital dan doktor mudah mengenal pasti punca penyakit anaknya itu apabila si ibu tadi boleh memaklumkan segala aktiviti yang dilakukan anaknya itu selama seminggu. Semua ini tercatat dalam diari yang menjadi ‘harta’ penting keluarga itu.

“Malah Irfan Khairi pernah berkata, dia mula menulis diari ketika berumur 17 tahun. Irfan sendiri mengaku bahawa beliau suka menulis diari tahunan.

“Kata Ifran, dia mahu menjadi jutawan dalam usia muda dan perkara itu berjaya dibuktikannya. Dia juga mengakui diari menjadi antara petua kejayaannya hari ini,” kata Nordiana.

Nordiana berkongsi lagi, dia menggalakkan ibu bapa mengajar anak untuk menulis diari tahunan sejak kecil kerana ia akan membantu membentuk kehidupan yang lebih teratur.

Katanya, kanak-kanak pasti gembira dan berasa puas apabila perkara yang ditulis berjaya direalisasikan.

“Apabila kita mengajar anak menulis, mereka akan nampak jalan untuk sampai ke matlamat.

“Contohnya kita mahu mengajar anak untuk menyimpan. Jadi, kena ikut matlamat itu. Jika berjaya merealisasikan, berikan tandakan yang menarik. Itu bermakna mereka sudah berjaya melaksanakan satu tugas. Perkara itu pasti membuatkan mereka gembira. Cuba sekali dan anda akan dapat melihat kesannya,” katanya.

Nordiana berkata, untuk berjaya tidak perlu tunggu sehingga sebulan atau setahun. Sehari saja mampu untuk mengubah hidup anda. Mula dari sekarang untuk menulis apa yang anda inginkan. Ya, siapa tahu, anda boleh mencapai impian yang selama ini hanya dalam angan-angan hanya kerana sebuah diari!

Disiarkan pada: December 23, 2019 @ 5:15am
d