WM

Manfaat mandian air suam

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KULIT yang sihat kelihatan licin, mempunyai warna sekata, terhidrat dan berfungsi dengan baik sebagai pertahanan badan. Untuk mengekalkan kulit sihat, seseorang mesti menjaga kulit agar bersih sambil memastikan tahap penghidratan yang baik setiap hari.

Tapi tahukah anda, suhu mandian turut mempengaruhi kesihatan dan keadaan kulit? Seseorang mungkin kehilangan kelembapan kulit apabila wap air keluar dalam jumlah kecil daripada pori-pori melalui lapisan atas kulit atau disebut kehilangan air transepidermal.

Pada dasarnya, semakin lembap persekitaran, penyejatan air berlaku pada kadar lebih perlahan dan badan dapat menambah air yang hilang.

Bagaimanapun, apabila kadar penyejatan air lebih cepat daripada kadar badan boleh menggantikannya, kulit akan menjadi kering. Dehidrasi ini boleh menyebabkan kerengsaan, kulit kasar, merekah dan gatal-gatal.

Pakar Dermatologi, Dr Felix Yap Boon Bin berkata, apabila seseorang mempunyai kulit kering atau keadaan seperti ekzema, lapisan atas kulit kehilangan keupayaannya untuk mengekalkan air. Ini menyebabkan kehilangan air transepidermal berlaku pada kadar yang lebih cepat dan boleh mengakibatkan kulit bertambah kering dan berkerak.

Malangnya, pendedahan kepada lebih banyak air, terutama air yang suhunya lebih tinggi daripada suhu badan boleh menyumbang kepada kehilangan air transepidermal kerana apabila titisan air daripada pancuran menyejat, air daripada kulit akan turut hilang.

Oleh itu, katanya, dalam keadaan sedemikian, adalah lebih baik untuk mandi menggunakan air lebih sejuk dan mengeringkan kulit dengan segera selepas mandi diikuti menyapukan krim pelembap untuk mengunci kelembapan di dalam kulit.

“Mandi adalah satu cara untuk mencapai dan mengekalkan tahap kebersihan diri yang baik. Tujuan utama mandi ialah menanggalkan sel kulit mati, membersihkan kotoran termasuk tanah untuk mengelakkan penyakit.

“Tiada satu suhu yang sesuai untuk semua orang. Suhu mandi berbeza untuk setiap individu bergantung kepada nisbah permukaan badan kepada jisim (isi padu badan) setiap orang dan keadaan kulit itu sendiri.

“Memandangkan orang bertubuh lebih kecil (dengan isi padu badan lebih kecil) mungkin mempunyai luas permukaan lebih tinggi kepada nisbah jisim berbanding tubuh lebih besar (dengan isi padu badan yang lebih besar). Jadi, orang bertubuh kecil lebih cepat sejuk berbanding individu berbadan besar.

“Akibatnya, kadar haba dan kehilangan air individu lebih kecil adalah lebih tinggi daripada seseorang yang saiz badannya lebih besar. Oleh itu, suhu mandian yang ideal berbeza bagi setiap orang,” katanya.

Dr Felix berkata, bayi tidak dapat mengawal suhu badan mereka yang dipengaruhi faktor luaran seperti persekitaran yang sejuk dan suhu air rendah. Oleh itu, sebaik-baiknya mandikan si kecil dengan air suam untuk mencegah penurunan suhu teras badan.

Katanya, ini harus segera diikuti dengan menepuk-nepuk bayi dan memakaikan pelembap. Begitu juga pada kanak-kanak kecil, suhu air perlu lebih panas sedikit.

Orang dewasa pula, katanya, tidak mempunyai masalah seperti itu, kebiasaannya boleh menahan hampir semua suhu di bilik mandi bergantung kepada keadaan kulit dan kesihatan mereka.

Beliau turut menyarankan agar mandi dengan air suam untuk mengekalkan kesihatan kulit. Lebih penting adalah mengetahui keadaan dan jenis kulit agar anda dapat mengambil langkah pencegahan untuk menjaga kulit.

Selain itu, katanya, jangan mandi terlalu lama. Belajarlah untuk mandi dalam tempoh antara lima hingga 10 minit bagi mengehadkan kehilangan air transepidermal dan pengeringan kulit serta gunakan sabun ringan atau pengganti sabun supaya terhindar daripada masalah kulit kering.

Untuk mengeringkan kulit, tekap tuala pada badan, bukannya menggosok tubuh seperti yang kita selalu lakukan bagi menghindari koyakan mikro pada kulit serta guna pelembap sejurus selepas kulit kering.

Dalam pada itu, Pengarah Jualan Wilayah SEA dan SAARC Bosch Thermotechnology, Tan Kwang Hui berkata, langkah paling baik ketika mandi adalah mengekalkan suhu air yang selesa. Bagi mengatasi masalah pancuran air yang kadangkala sejuk dan ada ketikanya panas, syarikat itu memperkenalkan kawalan termostatik pintar dan sensor suhu untuk semua unit pemanas air elektrik.

Katanya, kedua-dua komponen ini mengawal suhu air agar konsisten yang mana sensor akan mengesan air sebelum keluar daripada paip dan mengisyaratkan kawalan termostatik untuk melaraskan unsur pemanasan secara automatik supaya pengguna dapat merasai suhu air sekata sepanjang pancuran.

“Untuk meningkatkan ciri keselamatan, kami juga menyediakan paparan digital dengan penomboran digital yang jelas menggambarkan suhu air untuk memastikan pengguna dimaklumkan mengenai suhu air tepat tanpa perlu ‘meneka’ dan terkejut dengan air yang terlalu panas atau sejuk,” katanya.

MANFAAT MANDIAN SUAM

1. Stimulasi mental

Mandi sudah menjadi tabiat dan aspek penting dalam aktiviti harian manusia dengan sesetengahnya mungkin mandi tiga hingga empat kali sehari. Rutin ini memberikan pengalaman menyenangkan di mana anda dapat meluangkan sedikit masa bersendirian melayani fikiran dalam persekitaran yang selamat dan menenangkan hingga dikatakan beberapa idea terbaik terbit di dalam bilik mandi. Ini mungkin disebabkan perasaan santai yang datang daripada air hangat yang menyelubungi tubuh, memancarkan jus kreatif di dalam otak kita.

2. Melegakan tekanan dan meningkatkan mood

Kuasa mandi dalam melegakan tekanan tidak dapat dinafikan dalam dunia yang kian mencabar. Sama ada anda berusia lapan, 18 atau 80 tahun, mandian hangat boleh membantu merehat dan meningkatkan mood sambil memberikan kelegaan otot.

Rahsia mandi yang lebih baik adalah dalam suhu hangat digabungkan dengan tekanan air sempurna yang membantu mengurut otot tegang secara perlahan yang memberi kelegaan.

Selain itu, bunyi menenangkan air pancuran yang jatuh ketika mandi adalah sama dengan bunyi hujan dan terbukti menjadi terapeutik dan menenangkan minda.

3. Badan sihat

Pernahkah anda perhatikan bagaimana mandi air panas membantu membersihkan sinus dan membolehkan anda bernafas dengan bebas? Wap daripada air panas membantu melegakan hidung tersumbat dan boleh menjadi ‘ubat’ yang sangat berguna untuk anda dan anak-anak ketika mengalami hidung tersumbat ketika musim serangan influenza khususnya di negara sejuk.

Mandi air panas juga membantu melegakan kekejangan dengan melegakan otot dan sangat berguna untuk wanita yang mengalami kekejangan haid.

Bagi mereka yang mungkin mengalami insomnia terutamanya orang tua, rutin harian yang menenangkan termasuk mandi air suam sebelum tidur boleh melakukan keajaiban untuk badan dan memberikan tidur malam yang baik.

4. Melangkaui kebersihan

Bagi yang ada bayi atau kanak-kanak di rumah, fungsi mandi tidak sekadar menjaga kebersihan. Masa mandi sangat bermakna kerana ibu dan anak meluangkan masa bersama yang mengeratkan hubungan. Lebih penting, sediakan air mandian dengan suhu air yang tepat untuk pengalaman yang selamat dan menyeronokkan. Pemanas air dengan kawalan termostatik dan sensor suhu membantu mengawal suhu air bagi menghalang output tinggi yang berbahaya hingga boleh mencederakan anda dan anak-anak.

Disiarkan pada: January 2, 2020 @ 6:45am
d