WM

Gaya selebriti jadi rujukan

Oleh Siti Zarinah Sahib

BAGI wanita berkerjaya, tema pakaian membabitkan warna dan jenis padanan memainkan peranan penting. Ini kerana setiap majlis mempunyai etika tersendiri dan perlu diikuti.

Sebagai contoh sekiranya dijemput menghadiri majlis bertemakan tradisional, sepatutnya anda memilih baju kebangsaan seperti baju kurung, kebaya atau batik. Selain menghormati acara ia juga menampakkan kekemasan gaya yang ingin ditonjolkan.

Bagi Nursyuhada Azmi, 24, bekerja dalam sektor awam memastikan dia tampil anggun dan bergaya. Keadaan ini sama ketika masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila dia banyak mempelajari etika berpakaian.

“Apabila sudah bekerja saya mengamalkan apa yang dipelajari dalam kerja harian termasuk berpakaian,” katanya yang menggemari gaya feminin namun perlu kemas dan bergaya.

Menurut gadis kelahiran Pulau Pinang ini, dia tidak mementingkan jenama dalam penampilan sebaliknya lebih bergantung kepada kualiti dan sejauh mana pakaian itu menepati cita rasanya.

“Jika pakaian itu murah dan berkualiti, ia yang akan diberi keutamaan. Namun untuk yang berjenama saya lebih memberi tumpuan kepada kepentingan dan boleh dipakai dalam jangka masa yang lama,” katanya.

Seorang yang bijak dalam berpakaian, Nursyuhada banyak melihat gaya selebriti seperti Mira Filzah dan Hanis Zalikha serta personaliti media sosial bagi mendapatkan idea untuk suai padan.

“Sesuai tema berhijab pilihan saya perlulah lebih sopan dan mengikut acara yang akan dihadiri. Saya gemar memakai kemeja-T, blaus dan kemeja dipadankan denim atau slack untuk kelihatan santai.

“Jika ke pejabat blaus, blazer dan kemeja adalah gaya harian. Sekali-sekala saya sarungkan gaun labuh untuk makan malam,” katanya yang tampil anggun dengan lima gaya berbeza untuk pembaca WM.

Disiarkan pada: January 4, 2020 @ 4:30am
d