WM

Buat bisnes cantikkan kereta

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

KERAP kali kita dengar mengenai pembabitan wanita dalam dunia perniagaan kosmetik dan kecantikan wajah. Namun, jarang kita jumpa wanita yang mengusahakan perniagaan mencantikkan kereta.

Apalagi kerja menjaga, menghias dan mencantikkan kenderaan selalunya cenderung menjadi minat lelaki. Jika ada, mungkin diminati wanita berperwatakan lasak.

Mengenali Siti Hanum Juhana, 31, anak kelahiran Johor Bahru ini sebenarnya memiliki ijazah dalam bidang Kejuruteraan Perisian dan pernah bekerja dalam pelbagai bidang antaranya teknikal, teknologi maklumat, jualan serta khidmat pelanggan.

“Bagaimanapun, saya mula beralih arah ke bidang perniagaan selepas melahirkan anak pertama. Saya mengambil keputusan berhenti kerja dan menyertai perniagaan suami secara sepenuh masa.

“Kami menjual produk pasang sendiri (DIY) untuk mencantikkan kereta secara dalam talian. Biarpun ada sedikit perasaan bimbang pada awalnya, saya percaya inilah (memulakan perniagaan bersama suami) jalan yang Allah SWT lorongkan,” katanya.

Bercerita lanjut, anak sulung daripada lima beradik ini mengakui dia langsung tidak pernah terfikir untuk berada dalam industri perniagaan dan memilih khidmat serta produk mencantikkan kereta sebagai keutamaan bisnes.

“Mungkin sudah rezeki, kami mendapat peluang untuk bekerjasama dengan kilang pembuatan di Switzerland untuk mengimport dan mengedarkan produk kecantikan kereta di Malaysia.

“Selepas membuat pertimbangan dan menilai permintaan pelanggan, saya dan suami nekad membuka cawangan pertama Mappo Car Care di Wangsa Maju pada Oktober 2016,” katanya.

DUNIA SUKAR

Sedar jalan yang dipilih mempunyai banyak cabang untuk berjaya, Siti Hanum berusaha merangka pelan perniagaan bersesuaian dengan kehendak pasaran kini.

“Walaupun dulu saya dengan suami saja, sekarang kami sudah mempunyai enam kakitangan. Itu pun bukan mudah untuk dikecapi. Mencari pekerja berdisiplin dalam kalangan generasi Z sekarang memerlukan kesabaran yang tinggi.

“Soal persaingan juga memberi cabaran besar. Ada ramai pengusaha premis yang suka bermain dengan harga. Namun untuk maju, saya tidak pernah berkompromi dengan kualiti perkhidmatan dan mutu kerja.

“Apabila kualiti dan mutu kerja seiring, pelanggan akan datang biarpun jauh dari Kelantan, Perak, Pahang mahupun Johor,” katanya.

Adat menjadi ibu berkarier, Siti Hanum tidak dapat lari daripada tanggungjawab menguruskan dua anaknya yang masing-masing berusia lima dan satu tahun.

“Ramai yang tanya apa cabaran berniaga. Bagi saya, seseorang peniaga wanita perlu bijak menguruskan emosi. Menjadi kaum yang kerap dikaitkan dengan banyak emosi, tidak elok kiranya perasaan dicampur aduk dalam urusan perniagaan.

“Lebih-lebih lagi jika menjalankan perniagaan bersama suami. Kemudian, pastikan diri sentiasa dikemas kini dengan ilmu dan perkembangan baharu.

“Carilah kesempatan untuk mendalami ilmu pemasaran, mengetahui cara menguruskan syarikat dan paling utama, sentiasa pastikan diri berada dalam kalangan mereka yang baik dan positif. Ini penting dalam mengekalkan motivasi diri.

“Aura positif memainkan peranan besar dalam menentukan siapa diri kita. Saya tidak mahu dilihat sebagai wanita yang terlalu sibuk hinggakan tidak punya masa untuk bertenang dan kelihatan tenang. Orang yang tenang itu orang yang menang, bukan?” soalnya ceria.

Bagaimanapun, kata Siti Hanum, dia bersyukur dengan perjalanan hidup sempurna yang dikurniakan Allah SWT. Untuk 2020, wanita ini berhasrat mengembangkan perniagaan dengan membuka dua lagi cawangan di lokasi terpilih.

Disiarkan pada: January 6, 2020 @ 6:01am
d