WM

Ringan beban 800 kanak-kanak

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

KECERIAAN jelas terpancar buat lebih 800 kanak-kanak dari sekitar Kedah, Perak dan Melaka apabila menerima sumbangan kasut dan kelengkapan persekolahan daripada Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (Muszleem Malaysia).

Pengerusinya, Ahmad Fadzli Fauzi berkata, objektif program itu adalah untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dalam membuat persediaan dan persiapan kembali ke sekolah.

Katanya, bantuan daripada pertubuhan itu dapat memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan sempena sesi persekolahan tahun ini.

“Bantuan ini sudah pasti dapat meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan. Ia juga bukti masih ramai anggota masyarakat yang prihatin dan peka untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Sumbangan ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar yang kurang berkemampuan memasuki sesi persekolahan tahun ini dengan lebih ceria dan selesa,” katanya.

Persatuan itu turut mendapat kerjasama beberapa pertubuhan lain antaranya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Jenun, Kedah, Nadi 50 dan Pusat Zakat Negeri Kedah yang menyumbang barangan seperti beg sekolah, kotak pensil dan alat tulis kepada 252 kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, lebih 400 kanak-kanak asnaf sekitar kariah Bukit Beruang dan Bakat Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka turut menerima sumbangan kasut dan kelengkapan sekolah.

Menurut Ahmad Fadzli melalui pertubuhan itu pihaknya berharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat kenapa kita perlu saling bantu-membantu.

“Ada hikmah Allah jadikan sebahagian daripada kita miskin, susah dan fakir miskin, sedang sebahagian lagi kaya raya, berada dan memiliki semuanya,” katanya.

Tambahnya, menerusi pertubuhan itu juga diharap dapat menjadi jambatan antara dua pihak masing-masing mereka yang mampu dan ingin memberi bantuan serta pihak yang layak dan sangat memerlukan bantuan.

“Kami cuba mempelbagaikan bentuk bantuan selain daripada memberi dana atau duit, kita juga cuba memberi bantuan dari segi khidmat masyarakat, dakwah, kesihatan, pembangunan dan sebagainya.

“Selain membantu masyarakat setempat, kami turut meluaskan jaringan bantuan kepada masyarakat Islam di Kemboja dengan pembinaan perigi untuk sumber air, madrasah selain korban dan akikah,” katanya.

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 6:30am
d