WM

Cinta monyet mainan emosi

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

SIAPA boleh menidakkan cinta monyet? Tidak kira apapun terjemahannya, cinta monyet adalah cinta. Ia mainan emosi yang akan singgah pada diri setiap anak remaja apabila tiba masanya.

Begitupun, sehingga hari ini cinta monyet dianggap remeh. Ada waktunya ia menjadi bahan ejekan dalam kalangan adik-beradik, rakan dan saudara. Namun lazimnya, ia mengundang amarah orang tua kerana dianggap membuang masa.

Menurut Perunding Motivasi Dan Kaunseling Keluarga, Dr Robiah K Hamzah, cinta monyet berlaku apabila dua individu bertukar perasaan cinta pada usia yang belum cukup matang.

“Sama ada ibu bapa suka atau tidak, perkara ini tetap berlaku dalam hidup anak-anak kerana fitrah yang sudah ditentukan Allah kepada setiap manusia.

“Sebagai ibu bapa, ada baiknya jika kita cuba berfikiran terbuka. Kalau kita melihat sesuatu itu dalam konteks yang baik, maka ia boleh jadi baik. Tetapi, kalau kita hanya nampak yang buruk, maka ia akan terlihat buruk,” katanya.

Menurut Dr Robiah, dalam membesarkan anak-anak, hal yang sepatutnya dibimbangi ibu bapa bukan mengenai wujudnya cinta monyet.

“Sediakan diri dengan ilmu dan pengetahuan. Ajar anak mengenal apa itu adab, aurat, hukum bersentuhan, had pergaulan, dosa, pahala, zina...biar mereka tahu yang mana salah dan betul. Semua ini akan membantu membentuk perisai dalam diri anak.

“Mulakan dengan adab berdepan ibu bapa, adik-beradik dan sepupu dan saudara terdekat dulu. Terangkan kepada anak, siapa yang mereka boleh bersalaman, dengan siapa mereka perlu menutup aurat dan sejauh mana pergaulan dibenarkan dalam Islam.

“Ini tidak...apabila tiba hari raya, semua jadi halal. Kita lupa mengingatkan anak mengenai had yang mereka sepatutnya jaga dan adab yang perlu dipelihara.

“Kemudian, bila tahu anak bercinta, kita larang sekeras-kerasnya. Kita sogok minda mereka dengan bahaya pergaulan bebas, dosa bersentuhan dan seks. Tidak cukup dengan itu, kita kata anak gatal, ikut nafsu dan sebagainya. Sedangkan cinta monyet juga banyak sisi positif. Ia tidak akan menjadi barah seandainya anak dididik dengan ilmu dan adab sejak kecil,” katanya.

Beri motivasi

Mengakui pentingnya untuk menjelaskan kepada remaja mengenai cinta, hubungan dan risiko berlakunya seks, Dr Robiah tetap mengingat

kan ibu bapa supaya peka dengan keperluan emosi anak-anak.

“Usah terlalu memikirkan yang negatif dan melihat yang jahat sahaja. Bercinta dalam kalangan remaja sekolah sebenarnya boleh menjadi motivasi untuk anak-anak berjaya.

“Jangan kita marah apabila anak-anak berkongsi cerita mengenai orang yang mereka minat, tetapi beri panduan sewajarnya supaya anak tahu had mereka.

“Ambil contoh ibu bapa yang bersikap terbuka dalam pergaulan anak-anak. Mereka sentiasa mengingatkan anak mengenai had dan diberi pilihan untuk terus berkawan dengan syarat tertentu seperti menjaga adab, berjaya dalam pelajaran, tidak leka mahupun terbabit dalam aktiviti merosakkan diri,” katanya.

Tambah Dr Robiah, sikap terbuka ibu bapa dalam membicarakan soal cinta boleh membuatkan anak lebih selesa untuk berkongsi kebimbangan serta masalah yang dihadapi.

“Cipta hubungan yang sihat demi pengalaman positif. Hubungan yang berteraskan rasa percaya boleh membentuk identiti positif dalam diri anak dan kekal sehingga mereka dewasa.

“Lebih penting, sentiasa bimbing. Ilmu, didikan, panduan dan bimbingan boleh menyelamatkan anak remaja daripada terjebak dalam hubungan tidak sihat,” katanya.

Panduan ringkas untuk ibu bapa

1. Cinta monyet tetap cinta

Kebanyakan percintaan remaja tidak bertahan melebihi tempoh persekolahan, tetapi jangan mengejek anak kerana ini boleh memalukannya. Perasaan cintanya tidak patut diperkecilkan kerana ia juga perasaan sebenar seperti perasaan lain yang dialaminya. Hubungan ini penting dalam membentuk identiti dan perwatakannya.

2. Keluar bertemu janji

Pada peringkat awal, beri kebenaran anak keluar bertemu secara berkumpulan, lelaki dan perempuan. Ia cara selamat dan sihat untuk anak remaja anda mula bersosial. Kenali dengan baik pasangan anak dan lingkungan kawan mereka. Anda juga boleh menetapkan peraturan tertentu. Umpamanya, melaporkan situasi setiap jam dan pulang ke rumah sebelum waktu tertentu.

3. Hormati teman

Didik anak lelaki untuk melayan pasangannya dengan hormat dan tidak melampaui batas. Dedahkan anak perempuan dengan asas pertahanan diri dan ajar mereka supaya peka mengesan tanda bahaya.

4. Ajak berbual

Cinta ialah subjek yang menarik bagi remaja dan mereka memerlukan seseorang untuk menjawab persoalan mereka. Lebih baik jika ibu bapa yang mengambil peranan ini, daripada membiarkannya kepada orang luar atau internet. Beritahu anak remaja anda dia boleh bertanya sebarang soalan kepada anda - berfikir dengan terbuka dan jangan prejudis.

5. Tetapkan had

Cinta boleh mengganggu anak anda daripada perkara lain yang lebih utama. Apabila prestasi anak anda merosot di sekolah dan dia tidak lagi meluangkan masa bersama kawan lain, anda perlu tetapkan had masa keluar dan ingatkan mengenai tanggungjawabnya.

Disiarkan pada: January 11, 2020 @ 6:00am
d