WM

Semakin dahaga cari ilmu

Oleh Hafiz Ithnin

TATKALA menemuramah si pemilik nama Nurulhana Ismail, 34, hanya bahasa diri aku dan engkau menjadi pengganti diri.

Bukan kasar, tetapi itulah kali pertama penulis menemu bual rakan yang suatu masa dahulu sama-sama bergelar wartawan di meja ekonomi bernaung di syarikat berbeza.

Kini, pesonanya di alam pengacaraan dan moderator di pentas perbincangan korporat serta ilmiah semakin mekar.

Ternyata Nurulhana tidak menafikan pengalaman di bilik berita adalah universiti terbaik untuk dirinya mendekatkan diri dengan khalayak umum untuk mendidik diri tanpa ada rasa ‘diskriminasi’ status, usia dan kematangan individu sebaik sahaja diberi tanggungjawab sebagai pengacara mahupun moderator.

“Jujurnya apabila engkau bertanya mengenai siapa idola aku, adalah semua orang Hafiz, termasuk penjual ubat di tepi jalan.

“Rasionalnya, setiap individu yang mampu berdepan dengan khalayak umum dia mempunyai keunikan tersendiri. Kadangkala keunikan yang ada pada individu itu aku tiada. Jadi mereka adalah guru aku dalam senyap,” katanya.

Hakikatnya kebanyakan acara yang dikemudinya bukan calang-calang. Ada antaranya perbincangan ilmiah membabitkan pakar antarabangsa dan khalayaknya juga dalam segmen profesional.

Bagi anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini, menyelami ilmu dan mengadunkannya ke dalam jiwa adalah resipi terbaik untuk petah berbicara ketika menjadi pengacara dan pengantara perbincangan.

Sejak terbabit menjadi pengacara di dalam sebuah program berbentuk gaya hidup dan dakwah, beliau juga semakin dahaga mencari ilmu terutama membabitkan tasawuf.

Malah, nama-nama ilmuan Islam dan pendakwah seperti Profesor Muhammad Naquib Al Attas, Habib Umar Hafiz, Dr Umar Faruq, Syeikh Ninowy dan Syeikh Hamzah Yusuf sering kali meniti di bibirnya ketika berbicara mengenai perkara itu.

“Bidang ini juga mendekatkan aku dengan individu yang mempunyai ilmu pengetahuan agama dan bergaul dengan mereka menjadikan aku sedar mengenai banyak perkara.

“Antaranya aku pelajari dari segi berkat. Kadangkala apabila kita taasub untuk mengejar populariti dan jumlah pengikut di media sosial contohnya, kita terlupa tanggungjawab yang sebenar atas nikmat dipinjamkan sekejap itu,” katanya.

Nurulhana juga mengakui, mendalami ilmu dakwah menjadikan kerjayanya di dalam bidang pengacaraan dan moderator semakin berkembang.

Apabila ditanya tidakkah ada wanita muda yang ingin menjadikan beliau sebagai mentor dalam bidang itu?

Ujarnya, secara tidak rasmi ada sahaja yang menghantar mesej secara peribadi menerusi platform media sosial tetapi dia merasakan pembabitannya dalam bidang itu masih lagi baharu.

“Jika untuk diangkat sebagai mentor mungkin bagi aku Hafiz, ia sesuatu yang keterlaluan. Aku masih baharu dan tidak layak rasanya. Secara peribadi, mendalami ilmu dan terus mencari identiti diri lebih utama,” katanya.

Bakat Nurulhana sebagai pengacara disedari ibunya, Sharifah Sidah Syed Mohamed. Pada 2012 ada sebuah program pencarian bakat baharu dalam bidang pengacaraan.

Bermula dari situ dia mula bertatih sebagai wartawan penyiaran, pembaca berita dan pengacara rancangan hiburan sehingga dijemput untuk menjadi moderator dalam sesi perbincangan berbentuk ilmiah antarabangsa.

Kepetahan Nurulhana mengemudi acara juga menjadikannya antara pengacara yang sering mendapat perhatian bagi majlis perkahwinan.

Beliau tidak kisah jika ada yang beranggapan apabila sudah mampu mengemudi acara korporat dan moderator yang lebih tampak profesional, mengapa masih perlu menjadi pengacara di majlis perkahwinan?

Katanya, majlis perkahwinan juga menjadi platform penting baginya untuk mengasah ilmu mengemudi acara dan paling penting, dia adalah insan yang paling gembira apabila dijemput untuk mengendalikan majlis berkenaan.

Disiarkan pada: January 17, 2020 @ 7:00am
d