WM

Beg edisi terhad perayaan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

AMALAN memberi hadiah sememangnya menambahkan lagi kemeriahan setiap kali tibanya musim perayaan.

Selain mengeratkan hubungan antara satu sama lain, pemberian hadiah juga dianggap sebagai tanda ingatan kepada insan yang disayangi.

Untuk itu, sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, jenama kopi runcit premium terkemuka, Nescafe Gold tampil bekerjasama dengan pereka beg dan kasut terkenal, Christy Ng bagi menghasilkan rekaan hadiah istimewa untuk dikongsikan dengan insan tersayang.

Kolaborasi itu adalah bagi meraikan lagi tradisi turun-temurun Tahun Baharu Cina yang bukan sahaja menyatukan keluarga, rakan-rakan dan orang tersayang, malah pada masa sama menghayati erti perayaan yang membawa tuah, kekayaan serta kemakmuran.

Dua jenama itu menggabungkan inspirasi kreatif mereka menerusi rekaan beg edisi terhad Nescafe Gold x Christy Ng.

Menurut Pegawai Eksekutif Perniagaan Nescafe, Nestle (Malaysia) Berhad, Othman Chraibi pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Christy dalam menghasilkan hadiah yang menghidupkan tradisi Tahun Baharu Cina dengan menampilkan gabungan ciri terbaik kedua-dua jenama.

Katanya, mereka ingin berkongsi keriangan dan kemakmuran dengan memberi pengalaman istimewa yang dapat mengeratkan lagi rakyat Malaysia dengan orang yang bermakna dalam hidup mereka.

“Kerjasama ini mencerminkan visi jenama menerusi slogan Ciptaan Rapi untuk Detik-detik yang Bermakna.

“Kami memberikan tumpuan yang teliti ke atas penghasilan hadiah yang berkualiti tertinggi, setara dengan komitmen kami terhadap kualiti kopi yang dicipta dengan penuh kepakaran secara rapi.

“Selain itu, kami juga sentiasa berusaha untuk menepati kehendak penggemar kopi yang bercita rasa tinggi dan kolaborasi ini berjaya menonjolkan tarikan daya premium jenama ini,” katanya.

Dalam pada itu, beg edisi terhad dengan sentuhan khas pereka terkenal itu mendapat suntikan inspirasi daripada kipas tangan Cina dan hadir dalam rona merah terang yang jelas melambangkan tuah, keriangan serta kebahagiaan.

Christy berkata, beg itu direka secara khusus, setaraf dengan status jenama kopi runcit premium berkenaan.

“Keanggunannya terserlah dengan garis yang ringkas dan pilihan warna yang berani dengan ruang bimbit mencukupi untuk menyimpan keperluan asas musim perayaan.

“Tahun Baharu Cina adalah perayaan yang cukup istimewa dan saya teruja dapat meraikannya dengan cara amat bermakna menerusi kolaborasi ini,” katanya.

Sementara itu, setiap pembelian beg edisi terhad berkenaan akan didatangkan dengan satu botol Nescafe Gold 50g dan lima sampul wang.

Bagaimanapun, hanya 500 beg dijual dan boleh didapati dengan harga RM189 setiap satu.

Untuk membuat pembelian, kunjungi butik Christy Ng yang berdekatan atau layari www.christyng.com untuk waktu terhad, selagi stok masih ada.

Disiarkan pada: January 21, 2020 @ 7:00am
d