WM

Maafkan kami anakku!

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KADANGKALA apabila pulang ke rumah dalam keadaan penat berkerja secara tidak sengaja melepaskan kemarahan kepada anak.

Pernahkah kita sebagai ibu bapa terfikir apakah perlu meminta maaf kepada anak-anak selepas secara tidak sengaja melakukan kesalahan terhadap mereka?

Pada pandangan kebanyakan ibu bapa, meminta maaf kepada anak adalah satu perkara yang cukup ‘janggal’ untuk dilakukan seolah-olah menampakkan ibu bapa yang lemah pada kaca mata masyarakat.

Namun adakah kita sedar bahawa tindakan itu (tidak meminta maaf) sebenarnya akan memberi kesan negatif kepada sikap dan tingkah laku anak di masa hadapan?

Pada anak, meminta maaf bukan satu keperluan dengan mengambil kira ibu bapa sendiri tidak pernah buat demikian kepada mereka.

Pengasas Pusat Pengembangan Minda Kanak-Kanak Kinderkaizen, Dr Putri Afzan Maria Zulkilfli mengakui bahawa budaya meminta maaf masih asing dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Segelintir ibu bapa beranggapan tindakan demikian kononnya memberi ruang kepada anak ‘memijak kepala’ kita.

“Di negara ini, tidak kira apa bangsa sekalipun budaya meminta maaf kepada anak masih kurang berikutan kesedaran terhadap perkembangan awal kanak-kanak masih rendah dan perkara ini jarang diperjelaskan secara akademik.

“Sebab itu masih banyak dalam kalangan ibu bapa yang memandang rendah terhadap anak yang mampu berfikir sendiri,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan meminta maaf ini sepatutnya diamalkan ibu bapa untuk menjadi contoh kepada anak.

“Jika ibu bapa meletakkan ego ketepi dengan meminta maaf kepada anak dan anak itu sendiri belajar menjadi manusia, sekali gus mewujudkan hubungan baik dan membina kepercayaan terhadap kita.

“Apabila besar nanti mereka mudah membawa diri di khalayak masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Putri Afzan berkata, untuk meminta maaf kepada anak, ibu bapa perlu menggunakan kaedah komunikasi yang jelas dan difahami mereka.

“Tidak kira anak umur berapa pun, anak ini akan faham dan dapat rasa apabila kita meminta maaf. Di samping kita perlu jelaskan mengapa kita berbuat demikian.

“Asasnya komunikasi ini bergantung cara kita bercakap dengan anak bukan menggunakan bahasa mengejek atau perli.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu perkembangan penguasaan bahasa anak di masa hadapan,” katanya.

Tambahnya, kelebihan meminta maaf kepada anak ini dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi sebagai ibu bapa.

“Apabila kita melakukan kesalahan dan kemudian meminta maaf serta jelaskan (tujuan meminta maaf), kita berasa lega serta lebih tenang. Anak pun gembira.

“Bayangkan apabila anak ini melihat ibu dan ayahnya marah dan jeling tanpa meminta maaf, sampai ke besar dia akan amalkan perkara yang sama,” katanya.

Katanya, ibu bapa di negara ini perlu membiasakan diri dengan menjadikan meminta maaf kepada anak sebagai amalan harian.

“Tidak salah pun dan tidak menampakkan kita lemah. Jika kita amalkan perkara ini sehingga tua, kita akan tenang kerana berterus terang.

“Ibu bapa boleh mencuba dan ia sekali gus dapat mengubah persepsi anak terhadap kita yang sangat berkait rapat dengan tingkah laku apabila dewasa kelak,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 8:00am
d