WM

Atasi kerengsaan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

OAT diakui umum adalah antara bijirin yang paling sihat untuk dinikmati setiap hari.

Ia bukan sahaja bebas gluten, malah kaya dengan vitamin, mineral, serat dan antioksidan.

Dari segi kesihatan, oat juga dipercayai antara makanan berkhasiat yang dapat membantu dalam menjaga kesihatan badan khususnya jantung, usus dan mengurangkan berat badan.

Selain itu, pengambilan oat mengikut kadar yang disarankan juga dikatakan dapat membantu menurunkan kadar kolesterol, sekali gus mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.

Begitupun, masih tidak ramai yang tahu bahawa bijirin itu juga bermanfaat untuk membantu dalam menjaga kesihatan dan kecantikan kulit.

Oat halus atau ‘colloidal oatmeal’ dikatakan dapat membantu untuk merawat masalah kulit kering atau melegakan kerengsaan.

Pakar Dermatologi, Dr Leong Kin Fon berkata, oat mempunyai empat fungsi iaitu sebagai bahan pelembap, untuk memerangkap air di dalam kulit, membantu mengurangkan kegatalan dan kemerahan serta meningkatkan keseimbangan mikrobial kulit.

Katanya, fungsi oat itu penting memandangkan lapisan epidermis yang terletak paling luar di bahagian kulit dan berfungsi sebagai pelindung sebenarnya boleh diperbaharui berbanding lapisan dermis.

“Terdapat jutaan bakteria dalam setiap satu sentimeter persegi kulit dan ketidakseimbangannya boleh memberi kesan kepada fungsi epidermis sebagai pelindung kulit.

“Ini kerana bakteria baik yang ada pada kulit akan berfungsi untuk melindungi lapisan pertama epidermis daripada kerosakan.

“Jika diperkuatkan dengan beta gluten contohnya, ia mampu membantu menjaga kesihatan kulit dengan lebih berkesan,” katanya pada majlis pengenalan rangkaian krim penjagaan kulit, Aveeno di ibu negara, baru-baru ini.

Dr Leong yang juga ahli perunding pakar kulit pediatrik berkata, Malaysia antara negara yang mengalami cuaca panas hampir sepanjang tahun dan disebabkan itu ramai termasuk kanak-kanak mengalami masalah kulit kering.

Katanya, masalah kulit kering berpunca daripada pelbagai faktor antaranya genetik, persekitaran udara, dan alam sekitar.

“Kulit kering bukan sahaja menyebabkan kulit menjadi merah-kemerahan, malah turut menyebabkan seseorang itu mengalami kegatalan dan kerengsaan pada kulit.

“Selain itu, masalah kulit kering turut membuatkan seseorang itu berasa tidak selesa dan antara langkah untuk mengatasi masalah berkenaan adalah dengan mengenai krim pelembap bersesuaian seperti yang berasaskan oat,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 6:00am
d