WM

Waspada virus 'cerdik'

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SELURUH dunia kini berwaspada mengenai penyebaran virus baharu yang dikenali sebagai 2019 Novel Coronavirus (2019-nCoV).

Virus yang boleh membunuh itu dikatakan berpunca dari Pasar Makanan Laut Wuhan, China di mana haiwan eksotik liar didagangkan secara terbuka.

Namun, dalam kita berwaspada mengenai penyebaran Coronavirus, penularan virus influenza yang sebelum ini menggemparkan negara juga masih perlu dibendung.

Biarpun penularan influenza kini dilaporkan terkawal namun semua pihak khususnya ibu bapa masih perlu berhati-hati dan cakna mengenai kesihatan anak mereka.

Ini kerana, selain faktor Malaysia sentiasa menerima kedatangan pelancong sepanjang tahun, aspek cuaca turut memainkan peranan dalam penularan virus berkenaan.

Pakar Kanak-kanak Hospital KPJ Tawakal KL, Dr Faisal Mohd Fadzli berkata, musim sejuk yang berlaku di kawasan Eropah pada hujung tahun antara faktor penularan virus berkenaan.

Katanya, rakyat tempatan ramai yang melancong ke sana untuk menikmati musim sejuk manakala pelancong dari Eropah turut berkunjung ke Malaysia untuk menikmati musim panas di Asia Tenggara.

“Selain itu, masih ramai ibu bapa yang memandang remeh kepentingan vaksin terutama influenza sedangkan ia boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan.

“Tidak seperti virus lain, influenza boleh dikatakan ‘sangat cerdik’ kerana variasinya bukan sahaja lebih pelbagai, malah boleh mutasi dan menyesuaikan dengan keadaan sekitar dengan lebih cepat.

“Sebab itu vaksinnya perlu sentiasa dikemas kini setiap tahun dan setiap suntikan vaksin yang diterima juga adalah untuk tempoh setahun sahaja,” katanya.

Menurut Dr Faisal, influenza juga mempunyai banyak kategori iaitu A, B,C dan D namun jenis C dan D lebih banyak menjangkiti haiwan.

Jelasnya, ketika ini dianggarkan terdapat lebih 130 jenis influenza namun yang paling popular adalah H1N1.

Justeru kata Dr Faisal, orang ramai perlu mendapatkan info yang tepat kerana tidak semua demam selesema adalah disebabkan jangkitan virus influenza dan lazimnya pesakit dengan jangkitan virus itu sembuh tanpa rawatan spesifik.

Katanya, pesakit yang mengalami simptom seakan demam influenza, Influenza Like Syndrome (ILI) adalah kategori di mana seseorang itu belum didiagnos atau disahkan 100 peratus positif influenza dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

“Seseorang yang diserang virus influenza biasanya akan mengalami demam seperti demam denggi dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius dan sukar kebah.

“Selain itu, ada juga pesakit yang mengalami selesema, batuk dan cirit-birit,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Faisal turut mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau ‘hand sanitiser.’

Orang ramai juga perlu mendapatkan rehat secukupnya, memastikan diri sentiasa terhidrat dan segera mendapatkan rawatan sekiranya tidak sihat.

“Meskipun hanya dianggap hanya demam namun sekiranya tidak dirawat dengan segera, ia boleh menjejaskan nyawa dan kesihatan terutama warga emas, ibu hamil dan kanak-kanak.

“Sebagai langkah penjagaan, elakkan mengunjungi kawasan yang ramai orang terutama di kawasan tertutup dan pakai topeng penutup hidung yang bersesuaian,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 6:10am
d