WM

Semangat ketepi sakit

Oleh Hafiz Ithnin

USAI menemu bual, tersenyum penulis sambil lagu You Don’t Own Me melekat di kepala. Antara baitnya yang diulang di dalam Filem Suicide Squad ketika watak si Harley Queen di dalam penjara, “I don’t tell you what to say, I don’t tell you what to do, so just let me be my self, thats all I ask of you,”

Disimpulkan ia mengisahkan kebebasan dan jangan dipenjara jiwa wanita. Pasti marak keberaniannya apabila menemui sebuah kebebasan.

Itu bingkisan kisah peribadi atlet mendaki tembok tiruan negara, Siti Nursarah Salehhodin, sekali gus mendorongnya terjun ke sukan itu pada 2015.

“Kita apabila berkawan dengan seseorang bukan untuk mendapatkan restu. Ini kerana restu adalah daripada ibu dan ayah selagi dia belum bergelar suami. Perkara yang saya inginkan adalah sokongan.

“Jiwa saya adalah melakukan sukan ekstrim yang sinonim lelaki. Jangan biarkan orang lain menyekat bakat yang kita miliki. Terus maju dan tinggalkan aura sebegitu untuk mengejar cita-cita,” katanya kepada penulis ketika didandan kemas jurusolek profesional, Vie Xenddra (@queenxenddra_) untuk menghiasi muka hadapan WM.

Sejak berusia lapan tahun, beliau aktif dalam sukan pelayaran mengikuti jejak bapanya yang juga atlet dalam bidang itu sehingga berjaya mewakili Perlis dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) ketika usianya masih remaja.

Melihat kepada aktiviti mendaki tembok tiruan sesuatu yang boleh mencabar diri dari segi keberanian berada di tempat tinggi, perlu bijak mengatur strategi dan lebih penting mampu menguatkan fizikal secara menyeluruh, Siti Nursarah terus fokus kepada aktiviti itu.

Bakat yang diasah dengan menjalani latihan bersama rakan-rakan yang mempunyai minat sama akhirnya beliau terpilih untuk mewakili Malaysia pada 2018 sebagai atlet sukan mendaki tembok tiruan dalam Kejohanan Sukan Asean 2018 di Palembang, Indonesia.

Meskipun kecewa tidak berjaya menghadiahkan sebarang pingat kepada Malaysia dalam kejohanan itu, Siti Nursarah tidak pernah berputus asa untuk terus menonjolkan diri dalam sukan itu yang masih baru dalam arena tempatan.

Ditanya mengenai perkara tidak dapat dilupakan, pastinya ketika persediaan bertanding ke Sukan Asean 2018 apabila dia mengalami kecederaan lutut dan perlu dibedah.

“Bagi mewakili negara ke kejohanan itu, kami perlu berlatih setiap hari dan prestasi dicatatkan setiap kali latihan. Meskipun dalam keadaan sakit saya tidak mahu terkeluar daripada senarai mewakili negara.

“Lebih mencabar, saya menyertai acara campuran iaitu ‘speed,’ ‘boulder’ dan ‘lead climbing.’ Saya perlu kelihatan baik walaupun sebenarnya menahan kesakitan,” katanya yang akhirnya terpilih mewakili negara dalam kejohanan itu.

Pembabitan Siti Nursarah dalam acara sukan berprestij di rantau itu adalah kali pertama buatnya. Jika menyelak kemampuannya dalam kejohanan dalam negara prestasi beliau tidak boleh dinafikan kerana sentiasa berada dalam barisan juara.

Siti Nursarah berkata, di Malaysia tidak ramai wanita yang menyerlah dalam sukan mendaki tembok tiruan kerana ia masih baru dan dilihat sesetengah wanita agak ekstrim untuk melakukannya.

Katanya, sebenarnya sukan itu boleh dilakukan setiap individu tanpa mengira lelaki atau wanita kerana dalam setiap perkara termasuk sukan, usaha memainkan peranan penting untuk mencipta kejayaan.

“Fokus dan usaha adalah kunci utama jika kita hendak mencapai sesuatu di dalam kehidupan termasuk aktif dalam sesuatu sukan kerana semakin lama berlatih kita akan dapat menguasainya walaupun terdapat pelbagai cabaran di hadapannya,” katanya.

Dalam sibuk menuai usaha bagi menobatkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa di dalam sukan itu, Siti Nursarah juga acap kali dijemput untuk memberi perkongsian mengenai wanita dan sukan ekstrim serta memperkasakan wanita tempatan.

Malah, pemegang sarjana pendidikan untuk sains sukan dari Universiti Putra Malaysia itu juga melaksanakan program melahirkan atlit wanita dalam pelbagai bidang sukan, Her Mission Movement.

“Saya dan rakan atlet paragliding, Nadiah Wafa melihat ramai sebenarnya wanita muda di Malaysia mempunyai minat tinggi dalam aktiviti sukan ekstrim, tetapi tidak tahu cara untuk mengilap bakat mereka untuk pergi lebih jauh.

“Jadi, menerusi Her Mission Movement kami ingin membantu mereka untuk mencapai cita-cita dalam pelbagai sukan yang mereka inginkan terutama sukan ekstrim,” katanya yang juga memiliki lesen tenaga pengajar bagi menyelam skuba.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 8:00am
d