WM

Fahami dunia anak disleksia

Oleh Nurul Husna Mahmud

TERCICIR dan ketinggalan dalam pembelajaran antara isu sering dihadapi pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran disleksia.

Bukan kerana mereka ini tidak pandai, namun disebabkan perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi membuatkan mereka sukar menguasai atau memahami tugasan di sekolah.

Disebabkan itu juga kanak-kanak ini sering melakukan kesilapan ketika membaca huruf, perkataan atau nombor menyebabkan mereka tidak suka membaca atau mengambil bahagian dalam kelas.

Cabaran pada ibu bapa, biasanya tanpa rujukan pihak tertentu termasuk guru menyebabkan masalah ini tidak dapat diatasi sehinggakan pencapaian akademik terus merundum secara tidak langsung memberi kesan kepada emosi dan keyakinan diri anak.

Itu antara dikongsi Pengasas Al Ghazali Special Kid Care Centre (AGS) Mohd Hafez Hussain yang mengendalikan pusat terapi pembelajaran membantu meningkatkan pencapaian akademik dan kemahiran kanak-kanak berkenaan.

Katanya, anak didiknya cepat bosan, mudah emosi dan sensitif membuatkan kaedah pembelajaran dalam sistem perdana sangat mencabar.

“Mereka seharusnya diberi peluang kedua kerana dengan kaedah pengajaran betul dan sokongan berterusan ibu bapa untuk mengetengahkan konsep sama di rumah membuatkan anak-anak ini boleh menguasai kemahiran atau pembelajaran tersendiri.

“Pendekatan diterapkan ialah dengan perasaan cinta dan sayang selain diajar mengenal erti ketegasan dalam membolehkan anak-anak ini mengikut ajaran kami.

“Bukan itu saja bimbingan diteruskan ibu bapa sebaik di rumah supaya konsisten dan anak juga tidak keliru. Secara tidak langsung hubungan antara ibu bapa dan anak-anak juga bertambah harmoni kerana mereka boleh memahami situasi atau ‘dunia’ anak mereka,” katanya dalam Karnival Kecemerlangan Pelajar AGS Autisme dan Dileksia 2019 di Serendah, Selangor, baru-baru ini.

Selain menerima kanak-kanak disleksia, pusat terapi turut membantu anak-anak autisme seawal usia empat hingga 12 tahun.

Berkongsi mengenai potensi anak muridnya, kata Mohd Hafez, anak muridnya seperti penerima anugerah Gilapan Emas AGS2019, Imaan Zahirah Shahrizal antara pelajar paling memberangsangkan dalam pencapaian akademik ketika ini setara dengan rakan dari aliran arus perdana.

Hal itu turut disahkan sendiri ibu bapa kanak-kanak berkenaan, Huzaifah Mazlina Mohd Alias dan Shahrizal Ariffin.

Menurut Huzaifah, masalah dihadapi anaknya itu pada awalnya sukar diterima dia selaku ibu, sehingga dibawa kepada pakar termasuk pakar telinga untuk memastikan tiada punca lain menyebabkan anaknya ketinggalan.

“Awalnya disebabkan guru sekolah yang meminta saya supaya rujuk kepada kelas khas kerana anak tidak boleh membaca dan mengalami kesukaran mengenal nombor dan huruf.

“Saya perasan dia tidak suka sangat disuruh baca dan akan menyorok serta larikan diri. Tetapi, perubahan sikap dan pencapaian akademik boleh dilihat selepas mengikuti terapi di sini.

“Mujur saya dan suami ambil endah dan kekal bersikap positif. Jadi kami dapat mengendalikan anak istimewa sehingga dia berjaya ke tahap ini.

“Lebih membanggakan apabila guru di sekolah memaklumkan dia turut membantu rakan lain yang mempunyai masalah pembelajaran dalam kelas,” katanya.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 6:00am
d