WM

Jiwa kental Hanizah

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

BUKAN mudah bagi seorang wanita yang bergelar isteri, ibu dan pada masa sama terpaksa bersengkang mata bangun awal pagi membawa teksi demi membantu menyara keluarga.

Namun alah bisa tegal biasa kerana Hanizah Aidah Hamzah, 50, menyukai kerjaya itu meskipun perlu memandu ratusan kilometer hampir setiap hari.

Harian Metro berpeluang menemu bual ibu empat anak itu baru-baru ini dan sejujurnya cukup teruja mendengar pengalamannya sepanjang bergelar pemandu teksi wanita.

Orangnya peramah dan sepanjang lebih satu jam temu bual, Hanizah tidak lekang dengan gelak ketawa.

Hanizah berkata, peribadinya memang begitu sejak dahulu dan tidak hairan jika dia cukup disenangi penumpang teksinya.

Katanya, dia cuba tidak terlalu memikirkan masalah yang ada dan depani setiap hari dengan fikiran tenang serta positif.

“Sebagai wanita, kita kena sentiasa berfikiran positif kerana bukan mudah untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan pada masa sama bekerja membantu menyara keluarga.

“Saya percaya, semuanya terletak kepada fikiran dan jika dapat setkan minda untuk berfikiran positif semua benda tidak akan membebankan,” katanya.

Mengulas mengenai kerjaya sebagai pemandu teksi yang diceburinya sejak lebih 10 tahun lalu, Hanizah berkata, semuanya bermula selepas perniagaan makanannya merudum pada 2009.

Kata Hanizah, perniagaan nasi lemak itu diusahakan hampir 10 tahun sebelum semakin merudum pada tahun berkenaan.

“Bermula dengan destinasi dekat dahulu dan lama-kelamaan saya berasa seronok kerana bukan sahaja dapat mencari rezeki halal, malah dapat mengurus masa melaksanakan tugas sebagai isteri serta ibu dengan baik.

“Alhamdulillah, selepas beberapa tahun, saya sudah tidak perlu lagi keluar ke sana ke mari mencari penumpang setiap hari sebaliknya hanya mengikut jadual tempahan penumpang setia,” katanya yang memiliki puluhan penumpang tetap yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan kaum.

Menurut Hanizah, dia tidak kisah meskipun terpaksa keluar rumah seawal jam 3 atau 4 pagi untuk menghantar penumpang terutama ke lapangan terbang kerana memandu kini sudah sebati dengan jiwanya.

Katanya, selain penumpang, dia juga menerima tempahan menghantar barang dan sering membuat perjalanan pergi balik seharian ke luar ibu negara termasuk ke Pulau Pinang.

“Saya sentiasa pastikan kereta terjaga dan jika ‘breakdown’ di tengah jalan sekali pun, saya boleh baiki sendiri jika ia hanya membabitkan kerosakan

kecil seperti tayar pancit dan sebagainya.

“Sebagai pemandu teksi, saya sentiasa perlu bersedia dan perlu tahu serba sedikit mengenai cara membaiki kerosakan biasa,” kata anak jati Segambut, Kuala Lumpur itu.

Dia turut memastikan penumpang bukan sahaja selesa, malah yakin dengan perkhidmatannya setiap kali menerima tempahan untuk mengambil atau menghantar penumpang ke sesuatu destinasi.

Katanya, dia pernah berpatah balik ke lapangan terbang semata-mata untuk menghantar telefon bimbit penumpang yang tertinggal di dalam keretanya.

“Prinsip kejujuran penting kerana penumpang mempercayai pemandu teksi untuk membawa mereka dan jika mereka tercicir barang sekali pun, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memulangkannya,” katanya.

Pada masa, keramahan Hanizah sememangnya diakui dan tidak hairan jika dia turut dipilih sebagai duta #JOMTEKSI iaitu inisiatif yang dimulakan oleh Touch ‘n Go eWallet untuk membantu pemandu teksi di negara ini.

Menurut Hanizah, penggunaan Touch ‘n’ Go eWallet banyak memudahkan urusannya dan penumpang kerana masing-masing tidak perlu membawa wang tunai.

“Penumpang hanya perlu mengimbas kod bar pemandu untuk membayar harga teksi dan ia membantu kedua-dua pihak baik penumpang mahu pun pemandu terutama jika tidak mempunyai wang tunai atau wang kecil,” katanya.

Sementara itu, Hanizah berkata, inisiati

f #JOMTEKSI turut menyediakan pelbagai peluang lain kepada pemandu teksi antaranya pemasangan wifi pada teksi yang kini dinikmati 22 orang duta #JOMTEKSI termasuk dirinya.

Katanya, kenderaan yang digunakan juga sentiasa kemas dan bersih dengan perkhidmatan dandanan kereta dengan kerjasama CARS International.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 6:30am
d