WM

Si manis 'sang gendang' [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEBELUM mengatur pertemuan, penulis mendengar pelbagai cerita menarik mengenai remaja perempuan berusia 17 tahun ini yang handal bermain dram.

Lebih unik, Nur Amirah Syahira Azizul Abidin atau lebih dikenali sebagai Amira mula belajar bermain pada usianya lapan tahun.

Hingga kini, biarpun masih di bangku sekolah dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, dia masih aktif bermain dram.

Pada tahun lalu, dia diiktiraf YouTube menerusi Anugerah Gold Play Button selain dinobatkan sebagai YouTuber terbaik Asia.

Pertama kali bertemu di studio khas miliknya di Seri Kembangan, Selangor, penulis mula ragu melihat remaja perempuan yang memakai baju kurung dengan hanya ketinggian 160 sentimeter ini mampu bermain dram.

Bagaimanapun, sebaik sahaja melihat anak sulung daripada tiga beradik ini mengetuk dramnya, penulis terpegun dengan kelincahan dan kecekapan bermain alat muzik itu.

Perwatakan lembut dan mudah tersenyum menyebabkan orang yang belum mengenalinya tidak menyangka dia cukup mahir dengan alat muzik yang dimainkan.

Jadi tidak hairan pada usia setahun jagung dia mampu mencuri perhatian ramai pihak termasuk daripada Bentley Music Malaysia untuk menjadikannya duta jenama peralatan dram terkenal iaitu TAMA dan Zildjian.

Lebih menarik dia mengakui tidak pernah masuk kelas muzik dan hanya belajar bermain dram melalui YouTube.

Nur Amirah Syahira berkata, keluarganya tidak mempunyai latar belakang muzik namun ibu bapanya suka melihat peralatan muzik.

“Mungkin sebab sering mengikut mereka melihat peralatan muzik dan melihat persembahan, saya mula terdorong untuk meminati muzik.

“Pada usia lapan tahun saya pilih dram sebab suka dengan keunikan alat muzik itu.

“Pada mulanya saya hanya bermain permainan video dram di komputer dan selepas melihat kesungguhan saya, ayah membeli set dram terpakai berharga RM1,000,” katanya.

Menurutnya, sejak itu dia mula berlatih bersungguh-sungguh untuk menguasai teknik bermain dram seperti Roll, Marching dan Swivel iaitu tekan pedal dram laju secara serentak.

“Setiap hari selepas menyiapkan kerja sekolah, saya peruntukkan sejam sehingga dua jam berlatih bermain dram.

“Pada mulanya saya banyak bermain lagu cover genre metal kerana amat meminati lagu seperti itu. Tambahan pula lagu seperti ini memerlukan saya bermain dengan laju.

“Selepas itu, saya mencuba lagu genre baru seperti zapin, hindustan dan sebagainya, sekali gus berjaya mencipta kelainan. Sejak itu saya mula mendapat undangan untuk buat persembahan dan menyertai pertandingan di seluruh negara,” katanya.

Ditanya mengenai saluran YouTube miliknya, pada mulanya dia sekadar mahu menyimpan videonya bermain dram sejak enam tahun lalu.

“Saya tidak sangka apabila ia mendapat jumlah tontonan yang tinggi dan sehingga kini saya memiliki 1.85 juta pengikut terutama selepas saya memuat naik video bermain dram lagu cover Senario bertajuk Zapin Usik Mengusik.

“Melihat semakin ramai menonton, saya mula memuat naik video bermain dram hampir setiap hari. Dan kini saya sasarkan untuk memperoleh Diamond Play Button,” katanya.

Nur Amirah Syahira berkata, sepanjang bergiat aktif dengan dram, dia berdepan pelbagai persepsi segelintir masyarakat yang memandang rendah keupayaannya.

“Kebiasaannya pada pandangan mereka perempuan tidak sesuai bermain alat muzik itu yang majoritinya dimainkan lelaki.

“Namun saya tidak ambil pusing perkara itu dan saya teruskan apa yang dilakukan kerana percaya dengan kemampuan diri. Nasihat saya pada wanita yang ingin bermain muzik teruskan tanpa pedulikan cakap orang,” katanya.

Ditanya perancangan masa depan, Nur Amirah Syahira berkata, selepas menamatkan persekolahan pada tahun ini, dia merancang untuk masuk kelas dram secara formal.

“Mungkin saya akan melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk mendalami ilmu bermain dram.

“Pada masa sama, saya pun sedang belajar menyanyi dan cuba mencipta lagu sendiri untuk mengembangkan karier dalam bidang muzik,” katanya.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 6:01am
d