WM

Jauhari batu permata

Oleh Nurul Husna Mahmud

BERLIAN sering dijadikan perincian bersama emas sebagai hiasan wanita.

Daripada batu cincin hinggalah kepada perincian rantai, berlian dianggap antara batu paling ‘tegap’ di dunia, sering diperlihatkan sebagai lambang keutuhan kasih dan sayang apabila diberi kepada pasangan.

Sedangkan selain berlian, terdapat batu hiasan lain yang setanding daripada segi keunikan tarikan estetika mahupun nilainya sebagai aksesori hiasan wanita.

Antaranya paling bernilai ketika ini termasuk batu merah darah, delima, garnet iaitu batu biduri delima, serendibite, berlian dan jadeite iaitu lebih dikenali jed yang boleh dinilai baik segi gred serta kualitinya.

Tidak dinafikan jed mempunyai reputasi selaku barang permata yang sangat bernilai meskipun sejak ribuan tahun dahulu. Melihat nilai jed ketika ini difahamkan antara paling mahal di dunia dan dipercayai boleh mencecah harga RM12 juta per karat.

Namun untuk mendekati atau melihat fizikal batu permata ini, rasanya hanya boleh ditinjau menerusi Internet. Tetapi baru-baru ini penulis tidak menyangka peluang menyaksikan batu hiasan itu sendiri ketika berkesempatan mengunjungi pameran ‘World Minerals Galleria’ di Pameran Barang Kemas Antarabangsa Malaysia - Edisi Musim Bunga (MIJF SE) 2020, baru-baru ini.

Galeri khas yang bertempat di Dewan 4, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur galeri itu mempamerkan rupa ‘asal’ batu hiasan sebelum diproses termasuk batu lima elemen ketimuran selain batu yang dipercayai dari angkasa usia ribuan tahun, meteorit dan banyak lagi.

Malah pempamer ruangan itu iaitu wakil dari Asia Gemological Laboratory Sdn Bhd (AGL) menerangkan bahawa batu hiasan ini adalah komposit mineral yang akhirnya diasah, dipotong dan dibentuk untuk dijadikan perhiasan bernilai dari ribuan hingga jutaan ringgit.

Dalam pada itu difahamkan pameran itu turut mengetengahkan barang kemas yang eksklusif dari Sri Lanka selain memperkenalkan proses perlombongan tradisional dan langkah dalam memproses batu asal barang kemas sehingga menjadi barang kemas yang cantik serta unik.

Kredit harus diberikan kepada penganjur iaitu Elite Expo Sdn Bhd sentiasa menampilkan rekaan barang kemas terbaik dari serata dunia dan secara tidak langsung memberi peluang kepada pemilik koleksi barang kemas mempelbagaikan variasi aksesori dimiliki menerusi platform berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Johnson Lim, reputasi pameran disifatkan paling terbesar bukan sekadar menarik peminat barang kemas tempatan malah rantau Asia untuk melihat kepelbagaian rekaan, batu hiasan serta hasil kerja tangan baik.

“Ini antara pameran barang kemas paling besar dianjurkan setiap tahun oleh kami untuk memberi peluang kepada pemilik barangan kemas melihat sendiri revolusi serta rekaan terkini dalam reka bentuk aksesori wanita.

“Pameran ini menampilkan 100,000 koleksi barang kemas paling mewah dan terbaik daripada lebih 100 jenama dari 14 negara termasuklah Malaysia, Jepun, Timur Tengah, Hong Kong, Singapura. Kemboja, China, Thailand dan banyak lagi.

“Bagi Malaysia, inilah platform boleh meluaskan rangkaian baik mencari rakan niaga untuk kembangkan pasaran mereka hingga ke luar atau melihat jenama luar mempunyai nama untuk berkongsi kepakaran mereka dalam rekaan bentuk,” katanya.

Kebetulan mendekati musim perayaan, pihaknya berharap kuasa membeli masih ada berikutan didorong pengecualian cukai terhadap pembelian barang kemas sekali gus memberi pengalaman membeli -belah menyeronokkan baik peminat barang kemas tempatan mahupun luar negara.

MIJF SE 2020 turut mendapat sokongan Lembaga Pelancongan Malaysia Promosi, Konvensyen Malaysia & Biro Pameran (MyCEB), Persatuan Hong Kong Jewellery & Jade Manufactures (HKJJA), persatuan luar negara yang ada reputasi dan disahkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Dalam pameran berkenaan terdapat juga seminar jed daripada pakar AGL selain pertunjukan barang kemas oleh model yang menampilkan aksesori daripada jenama tersohor seperti Jewel Creations dari India, Infiniti Jewels Creations dari Singapura dan banyak lagi.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 6:00am
d