WM

Fesyen jalanan santai

Oleh Hafiz Ithnin

CANTIK dan bergaya, dua elemen yang paling menjadi perhatian bagi mereka yang gemarkan dunia fesyen.

Kemeriahan gaya Ready-to-wear (RTW) di pasaran pula sememangnya menjadi buruan pelbagai pemain industri tempatan dan antarabangsa untuk memasarkannya kerana ia adalah konsep fesyen yang paling mudah untuk menyuntik daya tarikan si pembeli.

Nama AirAsia yang bukan sekadar gah sebagai syarikat tambang murah terkemuka di peringkat antarabangsa, malah tidak keterlaluan untuk dikatakan sebagai jenama sinonim dengan generasi muda.

Bekerjasama dengan Mortar Clothing bagi menghasilkan koleksi kapsul eksklusif yang dikenali sebagai PMC x AirAsia: S.E.A. Pride sememangnya, tampil dengan keunikan tersendiri.

Koleksi berkenaan mengetengahkan tujuh pakaian dan aksesori seperti tiga helai baju-T, sebuah topi, satu tag bagasi, sebuah beg dan satu set pin dengan tiga rekaan.

Menyaksikan model yang menggayakan koleksi kapsul itu tidak boleh dinafikan pembabitan tujuh pereka dari Asia Tenggara dari Malaysia (Pestle & Mortar Clothing), Vietnam (Headless), Kemboja (Lisa Mam and Peap Tarr), Thailand (Mamablues), Filipina (Don’t Blame The Kids) dan Singapura (Sam Lo) bijak bermain seni fesyen menghasilkan gaya jalanan RTW yang tampak santai, tidak kira aksesori mahupun busana yang dipersembahkan.

Ketua Penjenamaan Kumpulan AirAsia Rudy Khaw berkata, bekerjasama dengan jenama tempatan seperti Pestle & Mortar Clothing, antara langkah untuk meningkatkan jenama Asia Tenggara dalam tawaran gaya hidup syarikat.

Beliau berkata, rantau ini mempunyai ramai pereka fesyen muda yang mampu menghasilkan karya kreatif terbaik untuk dipasarkan dan ia dapat dibuktikan dengan penghasilan koleksi berkenaan.

“Kerjasama ini membuka peluang kepada pereka di rantau ini untuk bersama-sama menaikkan nama dan rekaan mereka di rangkaian luas kami serta dalam talian.

“Kami berharap kerjasama ini bukan sahaja akan menggalakkan lebih ramai pereka di Asean untuk mencari cara baharu dalam mengetengahkan jenama dan warisan mereka,” katanya.

Penghasilan koleksi kapsul itu juga dilihat mempunyai fungsi tersendiri terutama kepada pengembara antaranya tag bagasi dan beg kantung gaya jalanan yang menarik untuk menyimpan pelbagai barangan peribadi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Pestle & Mortar Clothing Hugh Koh berkata, syarikatnya bukan sahaja jenama malah pencerita. Setiap karya fesyen yang dihasilkan mempunyai maksud dan nilai tersendiri diluahkan di atas kanvas.

“Kami bercerita melalui kanvas dan berharap dapat mencetuskan perbualan serta menunjukkan kemampuan bakat di Asia Tenggara. Kerjasama dengan AirAsia sangat istimewa kerana ia bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-10 syarikat.

“Pada masa yang sama kami dapat menyerlahkan cerita Asia Tenggara dengan koleksi daripada tujuh pereka berbeza,

” katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2020 @ 6:20am
d