WM

Nana utama fabrik sesuai

Oleh Nurul Husna Mahmud

TANDA peluh ketara, rasa panas ‘terkepung’ dalam badan dan kulit ‘melepuh’ antara situasi yang pernah dialami segelintir individu selepas bersenam.

Rasa kurang selesa sebenarnya merujuk kepada ‘tanda’ seseorang itu mengenakan fabrik yang kurang selesa dan akhirnya akan mempengaruhi mood untuk bersenam.

Peluh itu sendiri penting kerana ia proses detoks atau pembuangan toksin secara semula jadi daripada dalam badan ke permukaan kulit. Tetapi dalam keadaan lencun itu, ketrampilan individu tampak serebeh sehingga boleh mengundang rasa kurang selesa orang sekeliling. Sekali lagi faktor pemilihan fabrik atau pakaian betul ketika bersenam boleh tangani masalah lencun teruk itu.

Bagi selebriti kecergasan Nana Al Haleq, dia sendiri tidak lari mempunyai pengalaman menyesakkan berkait dengan pakaian sukan apabila kerjayanya selaku jurulatih kecergasan memerlukan dia mengenakan pakaian terbabit lebih 12 jam.

Katanya yang sudah lama berkecimpung dalam dunia kecergasan sejak zaman sekolah lagi apabila pernah membarisi skuad Selangor dalam acara trek dan padang, pakaian sukan adalah pakaian hariannya.

“Jujur saya katakan kalau setiap kali saya keluar membeli-belah, pakaian senaman atau baju sukan antara paling banyak saya habiskan duit. Gambaran setahun untuk baju dan seluar sukan sahaja saya akan belanjakan sekitar RM10,000 hingga RM12,000 kerana ia adalah pakaian ‘kerja’ atau ‘uniform’ saya.

“Jadi sekurang-kurangnya saya akan pakai dua pasang sehari dan kalau jadual padat, kemungkinan boleh jadi tiga hingga empat pasang.

“Baju ini jugalah biasanya saya pakai untuk gaya kasual atau bertemu dengan kawan kerana selesa dan paling penting praktikaliti apabila boleh lakukan sebarang aktiviti kecergasan bila-bila masa,” katanya.

Isu utama dalam pemilihan pakaian untuk senaman, kata Nana perlu pastikan fabrik yang dikenakan lembut pada kulit, mempunyai pengudaraan yang baik selain serap peluh.

“Kalau cerita mengenai pengalaman saya dengan baju sukan memang banyak tetapi antara ingin ditekankan ialah pilih material betul sebab ada sesetengah kain tidak sesuai untuk bersenam.

“Saya sendiri pernah melecet seperti di bahagian kaki dan ketiak kerana apabila peluh kulit akan basah dan tekstur permukaannya lebih lembut, lalu geseran dengan material yang kasar berkali-kali ia mudah terkopek atau terluka.

“Memeritkan apabila terkena sabun ketika mandi ataupun untuk lakukan senaman pada sesi berikutnya. Pada orang biasa mereka yang tidak mahu keadaan kulit itu menjadi lebih teruk mungkin kurangkan intensiti senaman. Itu bukan sesuatu yang baik,” katanya.

Sepatutnya kata Nana, baju sukan membantu meningkatkan impak senaman atau aktiviti membantu kepada pembakaran kalori lebih berkesan.

“Senaman selain objektif utama untuk kesihatan dan tingkatkan stamina atau kecergasan, ia juga mengenai pembentukan badan dan membantu memiliki berat ideal.

“Itu juga hala tuju sebenar kerjaya saya iaitu memberi inspirasi untuk mereka memiliki gaya hidup lebih sihat dan aktif. Jadi penampilan juga elemen penting membantu menarik minat pengikut ke arah itu.

“Apabila dengan mengenakan pakaian senaman boleh tingkatkan prestasi senaman itu selain memberi motivasi kepada pemakainya apatah lagi ia masih terletak cantik pada tubuh.

“Jadi saya lihat peranan seperti baju atau seluar dalam mempunyai perincian tekstur ‘fit’ dan ekstra ‘lining’ membuatkan ia menyokong pada bahagian sensitif atau peribadi individu.

“Perhatian untuk wanita, saya ingin tekankan ialah mereka perlu pilih baju dalam atau coli sukan betul. Lebih tepat kena pakai saiz serta potongan ‘cup’ yang sesuai dan fabrik itu perlulah elastik. Ini membuatkan mereka selesa terutama dalam rutin yoga.

“Kalaulah mereka buat aktiviti seperti melompat atau meregang, ia menyokong malah lama-kelamaan membantu membentuk bahagian itu,” katanya.

Selain itu dia yang juga aktif berkecimpung dalam keusahawanan, mengakui sering mengenakan ‘Rush Seemless’ dan ‘Recovery’ di bawah jenama Under Armour.

“Produk Rush seperti baju-T, seluar dan coli sukan selesa dipakai ketika menjalani latihan dan bersukan selain dapat mengembalikan tenaga.

“Difahamkan inovasi seperti ‘teknologi celliant’ mengandungi mineral yang mampu membantu melancarkan darah dan menyerap kembali tenaga ke dalam badan selain kurangkan risiko kejang ketika bersenam,” katanya yang sibuk tampil dalam program berbentuk masakan kesihatan di televisyen.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 7:00am
d