WM

Busana mesra solat

Oleh Nurul Husna Mahmud

POTONGAN pakaian mesra solat selalunya dikaitkan dengan telekung atau jubah biasa selain menampilkan warna serta perincian seringkas mungkin.

Namun bagi pengasas Munawwareen, Aliza Abu Bakar, rekaan busana ibadah untuk Muslimah itu boleh tampil dengan perincian yang indah dan elegan selain disuntik dengan elemen inovatif demi keselesaan pemakai.

Katanya, ia berdasarkan pengalaman sendiri lalu menjadi ilham kepada 12 koleksi busana jenama itu yang dilancarkan di Bali Thai Jalan Tengah Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Ada 12 rekaan untuk koleksi Munawwareen 2020 antaranya hasil daripada pengalaman sendiri ketika menjaga ibu mentua yang gemar mengenakan mini telekung.

“Biasalah pada usianya itu, dia sering terlupa di mana dia menyimpan barang penting seperti telefon, kitab mahupun tasbih. Jadi saya mula fikirkan cara terbaik untuk memudahkan dia menyimpan iaitu membuat poket berzip di tudung atau telekung miliknya.

“Apabila saya pergi umrah, saya buat rekaan sama untuk mudah menyimpan sarung tangan. Maklumlah berasak-asak ketika tawaf kadangkala nak ambil sarung tangan daripada poket pun susah. Sekali lagi rekaan ini membantu dan memudahkan.

“Tambah pula, rakan atau kenalan ditemui di sana juga menyukai rekaan tudung sebegini,” katanya.

Selain ‘praktikaliti’ elemen utama dalam rekaan, kata Aliza dia tidak lupa keinginan wanita untuk cantik menerusi perincian termasuk elemen renda dan batu hiasan sebagai penyeri koleksi berkenaan.

“Jika ada yang melihat rekaan ini terlalu menonjol, pada saya masih ada batas ditetapkan pada syarak dipatuhi. Antaranya potongan longgar dan menutupi aurat sesuai untuk pemakai menjalankan ibadah.

“Mengenai penambahan leretan hiasan seperti batu hiasan dan renda, pada saya ia sesuai dengan naluri kecantikan didambakan setiap wanita.

“Atas dasar itu juga saya tampilkan pelbagai warna dan penggunaan material berkualiti. Didatangkan juga seleksi tempahan khas untuk mereka ingin memiliki rekaan lebih eksklusif,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 6:17am
d