WM

Sentuhan belaian manja

Oleh Nurul Husna Mahmud

WUJUDKAN suasana mesra dan ‘manis’ di bilik tidur. Malah, persekitaran bilik tidur juga antara faktor penting menyemarakkan kembali hubungan suami isteri.

Itu juga yang diakui juruurut terapeutik terapi Manja Adam dan Hawa dan Pengasas Manja Suri Homespa, Nur Khurshiah Khalib, 38.

Katanya, tindakan isteri mahupun suami yang sering tidak mengambil endah terhadap penjagaan ruang beradu menyebabkan ‘mood’ untuk bersama hilang dan seterusnya lenyap.

“Ketika saya membantu atau bertemu pasangan yang sudah lama berkahwin, mereka kebanyakannya mengadu tiada lagi rasa ‘ghairah’ untuk bersama pasangan masing-masing.

“Kalau ada yang melakukan hubungan intim atas dasar hanya memenuhi syarat ‘batin’, tetapi tidak lagi rasa seronok tatkala bersama. Ini akan menyebabkan rasa ‘tidak puas’ berpanjangan sehingga mengundang keinginan untuk curang.

“Apabila diteliti bagaimana masalah ini bermula, saya perasan ia berpunca dengan keadaan dalam bilik tidur pasangan. Seharusnya suasana itu seperti keadaan mula-mula berkahwin dahulu baru terimbau rasa kemesraan itu.

“Berlainan pula dengan keadaan bilik mereka yang tidak teratur dengan kain terpakai digantung sana sini, sarung cadar dan bantal pula lusuh tidak berganti selain tiada aroma harum menemani ruang.

“Lebih memburukkan keadaan sedia ada ialah ruang tidur dikongsi bersama anak-anak. Pada saya itu sedikit sebanyak membawa ‘aura’ kurang selesa untuk suami isteri ‘bermesra,” katanya.

Selain itu, tindakan pasangan yang terburu-buru dalam meniti hubungan intim menjadi bosan kerana tiada sentuhan belaian manja antara satu sama lain yang seharusnya dilakukan terlebih dahulu. Faktor ini juga disebabkan suami isteri menggalas tekanan kerja serta berasa letih dan lesu.

Justeru dalam tempoh membantu pasangan terbabit, Nur Khurshiah menurunkan tip penting termasuk penjagaan kebersihan diri, ruang beradu dan adab perlu diamalkan pasangan membolehkan mereka memperbaiki hubungan antara satu sama lain.

Sebagai ikhtiar untuk ‘panaskan’ kembali suasana ketika bersama, Nur Khurshiah berkata, urutan boleh membantu. Urutan khusus akan diberikan kepada wanita oleh Nur Khurshiah sendiri sementara pasangan pula diuruskan suaminya, Abd Khalil Abd Aziz yang turut memiliki kemahiran urutan sama.

“Kalau terapi atau urutan boleh dilakukan si isteri untuk menarik perhatian suami, ada kaedah yang boleh mereka pelajari.

“Contoh urutan isteri ketika bermanja di depan televisyen atau duduk bersantai, urutan cakar harimau boleh mereka berikan.

“Manakala kalau dalam ruang beradu, untuk panaskan badan sebelum bermesra, rasanya suami boleh cuba pelajari urutan tasak dan pasak. Ini boleh tingkatkan rasa teruja ketika berhubungan,” katanya.

Sementara itu, kata Abd Khalil, ada urutan lebih rumit boleh dipelajari untuk hangatkan hubungan di bilik tidur.

“Kalau pasangan ini serius dan mahu kembali rasa seperti saat baru berkahwin, ada urutan lebih fokus ke arah itu membabitkan urutan bahagian intim yang dinamakan Urutan Geramat.

“Urutan ini adalah warisan tradisi dan orang dahulu pelajari bagi tujuan menjaga kelangsungan hubungan suami isteri.

“Saya dan isteri berniat untuk kongsi kepada pasangan yang benar-benar memerlukan bantuan dan kami lakukan tertutup selain ajar satu sesi untuk satu pasangan sahaja.

“Mereka tidak semestinya bermasalah cuma kami bantu untuk kukuhkan rasa ‘hangat’ bertaut kembali agar mereka ini terus setia dan menjaga keharmonian rumah tangga masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 7:00am
d