WM

Fesyen di media sosial

Oleh Hafiz Ithnin

MEDIA sosial kini digunakan sebagai strategi pemasaran fesyen dengan cukup meluas yang menawarkan peluang untuk mengetahui pandangan, pilihan, kesukaan dan aspirasi pelanggan tanpa seperti terlalu memaksa atau tampak mengganggu.

Media sosial menyediakan perniagaan mekanisme fesyen untuk mendapatkan maklumat dan maklum balas begitu mudah daripada pelanggan.

Ia juga boleh digunakan untuk membangunkan dan meningkatkan profil perniagaan, reputasi serta menambah jumlah pengikut, peminat, pelanggan dan rakan kongsi perniagaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam, Faizal Hamid berkata, media sosial penting kerana ia adalah cara paling efektif, terpantas menjadikan berita terbaru jenama fesyen tersebar secara tular kepada khalayak yang besar.

Beliau berkata, cara pelanggan menggunakan media sosial untuk mendapatkan maklumat mengenai sesuatu jenama fesyen atau apa sahaja sudah berubah secara dramatik.

“Mereka yang mahu berjaya dalam pemasaran fesyen perlu memahami cara untuk mendekati dan berkomunikasi dengan pelanggan secara atas talian.

“Menerusi kemajuan Internet, komunikasi antara jenama fesyen dan seluruh lapisan pelanggan berlaku serentak di seluruh dunia, disampaikan dengan pendekatan 360 darjah.

“Setiap pendekatan kempen terbaru promosi jenama atau produk fesyen juga perlu disokong serta selari setiap elemen media sosial, yang boleh diukur, dikaji dan dipantau keberkesanannya,” katanya.

Pakar itu berkata, media sosial memberi peluang untuk mengukur sejauh mana sesuatu jenama fesyen dan produk pelbagai kategori dalam memenuhi permintaan dan kehendak pasaran tempatan dan global, gaya terkini, kata kunci carian perkataan di Internet dan komunikasi antara ‘influencers’ serta pelanggan.

Jelasnya, perkara itu juga menyediakan kaedah pemasaran fesyen global yang paling kos efektif dan mudah terutama bagi jenama serta perniagaan fesyen yang kecil.

“Kita boleh lihat peluang dan peningkatan dalam jumlah jenama fesyen yang dilancarkan selain mempromosi perniagaan dengan hanya melalui media sosial seperti Instagram.

“Sememangnya potensi media sosial dalam mempromosikan fesyen sangat tidak terbatas dan pelanggan di seluruh dunia boleh melihat kemampuan sesuatu rekaan itu dengan pantas,” katanya.

Katanya, kunci kejayaan dalam strategi pemasaran melalui media sosial adalah apabila pemilik meletakkan cita rasa dan kehendak pelanggan sebagai elemen paling utama dalam perniagaan.

“Memastikan aspirasi dan mesej yang disampaikan ke seluruh media sosial, sentiasa selari konsep dan nada jenama fesyen kita juga amat penting supaya pengaruh disampaikan dalam pelbagai platform atas talian itu berjaya.

“Tidak sekadar itu, perlu juga wujud kefahaman dan penyelidikan mengenai media sosial global berfungsi supaya mudah untuk kita berjaya memasarkan produk dengan lebih efektif serta cekap.

“Sentiasa juga memperhalusi mengenai keberkesanan imej, video atau editorial yang kita paparkan di media sosial supaya ia terus menjadi perbincangan orang ramai yang menyaksikannya,” katanya.

Tegasnya, pemasaran melalui media sosial jenama fesyen juga perlu ada integriti dan jujur kepada pelanggan, bagi menjamin keutuhan perniagaan pada masa yang panjang.

“Produk yang dihasilkan juga perlu ada nilai dari segi rekaan, kualiti dan servis yang ditawarkan kepada sasaran pelanggan yang ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2020 @ 6:30am
d