WM

Sokongan si buah hati

Oleh Hafiz Ithnin

“Jika kita ingin mulakan perniagaan sendiri pastikan sebelum berusia 35 tahun. Jika terlewat kita akan lambat membina sebuah empayar perniagaan yang diimpikan,” jelas wanita ini.

Bermula sebagai kakitangan farmasi di hospital kerajaan, pemilik nama Narqes Mohd Raimi dalam senyap mengatur langkah untuk memiliki pusat kecantikannya sendiri.

Mempunyai latar belakang dalam bidang farmasi, dia melihat pengguna semakin inginkan sebuah pusat kecantikan yang dipercayai dan bukan menyediakan bahan kecantikan ‘timbang kilo!’

Pada 2015, dia mengambil langkah berani untuk menjual rumah miliknya bagi dijadikan modal permulaan. Ternyata langkah yang dilakukan itu menampakkan hasil apabila pada 2016 ketika itu dia berusia 32 tahun mula membuka sebuah pusat kecantikan dan kini dinamakan Narqes Skintelligent (dahulunya dikenali sebagai Skinvalet Malaysia).

Dalam tempoh dua tahun sahaja dia berjaya membuka sehingga 10 cawangan di seluruh Malaysia. Lebih manis pada 2017 syarikatnya mula melebarkan sayap perniagaan ke Bangladesh yang kini mempunyai empat cawangan di negara itu.

Narqes berkata, bukan mudah untuk mempunyai sebuah empayar perniagaan yang diimpikan kerana jatuh bangun dalam bidang itu sudah menjadi lumrah perlu berani dihadapinya.

Beliau berkata, mujur dalam membina kerjaya, si suami, Radziq Jalaludin sentiasa utuh di belakang. Lebih manis, buah hatinya itu turut melepaskan jawatan sebagai peguam di sebuah bank untuk bersama-sama membangunkan perniagaan mereka.

“Dalam tempoh membangunkan perniagaan ini bohong tidak pernah jatuh, tetapi sebagai usahawan kita perlu bijak dalam mengatur langkah dan tidak terus tersungkur apabila dilanda ujian.

“Lebih penting dalam setiap urusan perniagaan perlu ada hitam dan putih perjanjian kerana sekiranya berlaku perkara yang tidak diduga mudah untuk kita kemukakan di pentas keadilan,” katanya.

Pemegang Ijazah Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga menubuhkan pusat kecantikan itu bukan sekadar untuk mencipta kekayaan, tetapi dalam masa sama ingin mendidik pengguna di negara ini supaya lebih peka menggunakan produk kecantikan yang tidak memberi kemudaratan kepada diri mereka.

Katanya, ketika berkhidmat dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dari 2006 hingga 2011, dia melihat ada produk kecantikan di pasaran yang mempunyai campuran bahan terlarang dan boleh memudaratkan pengguna.

“Kesedaran kita kepada produk kecantikan masih rendah kerana kebanyakan pengguna mahukan keputusan yang cepat, tetapi mereka tidak tahu di dalam sesebuah produk yang menjanjikan jalan pintas untuk kelihatan cantik itu sebenarnya mengandungi bahan kimia berbahaya kepada kulit mereka.

“Jadi saya melihat bidang medispa yang diusahakan ini adalah satu cara untuk mendidik pengguna di Malaysia supaya lebih peka dan berhati-hati ketika menggunakan produk kecantikan,” katanya yang turut mempunyai makmal pemeriksaan produk kecantikannya.

Tambahnya, untuk memiliki kulit yang cantik dan rupa yang menarik tiada jalan pintas apatah lagi jika ada yang menjanjikan untuk memberi keputusan kulit gebu dan putih dalam tempoh beberapa hari sahaja.

“Mustahil dengan hanya menggunakan sesuatu produk yang didakwa berasaskan bahan semula jadi mampu memberikan keputusan yang pantas kerana hanya bahan kimia terlarang yang boleh memberikan keputusan sebegitu cepat.

“Disebabkan itu, saya sentiasa mengingatkan pelanggan jangan mudah terpedaya dengan produk kecantikan yang mendakwa mampu memberi kesan yang cepat kepada kulit kerana kita tidak tahu bahan kimia apa yang terselindung di sebaliknya. Pada masa depan, ia memberi mudarat,” katanya.

Cintanya kepada bidang keusahawanan sebenarnya berputik sejak di universiti lagi dan ketika itu dia juga menjadi ejen di dalam bidang pelaburan. Pelanggannya ketika itu tidak lain tidak bukan pastinya dalam kalangan pensyarahnya sendiri.

Katanya, menjadi usahawan memberi kepuasan yang tersendiri kerana perniagaan dapat mengajarnya menjadi seseorang yang inklusif dalam kehidupan antaranya mencipta keyakinan apabila berdepan orang ramai.

“Ketika saya masih di universiti saya sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan bukan mudah untuk mengikat kepercayaan orang kepada kita.

“Jadi daripada situ saya belajar pelbagai kemahiran kendiri bagi memastikan matlamat sebagai usahawan dapat dicapai kerana saya perlu mendekati golongan yang bergelar pensyarah dan saya pula hanya pelajar, tetapi dengan usaha kita dapat mencapai cita-cita,” katanya.

Narqes menasihatkan golongan muda terutamanya, perlu mengambil peluang untuk membina perniagaan sendiri dan jangan menuding jari sekiranya tidak mendapat pekerjaan.

“Saya melihat perniagaan adalah jalan terbaik dalam membina kerjaya kita sendiri dan jangan terlewat untuk membina kejayaan. Mulakan seawal mungkin terutama untuk mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi dengan baik.

“Selain itu, ilmu juga memainkan peranan yang penting memandangkan dalam dunia perniagaan ada pelbagai cabaran dan jika kita tidak bijak mengatur langkah pasti sukar untuk bangun semula,” katanya.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 7:00am
d