WM

Tawan 100 gunung

Oleh Muhamaad Razis Ismail

MINAT mendalam terhadap aktiviti lasak mendorong seorang pengurus kanan di sebuah syarikat pengeluar makanan ini terbabit secara langsung sebagai penganjur acara aktiviti lasak untuk menerokai dunia rekreasi.

Di dalam dunia rekreasi tempatan bagi mereka yang menjadi pengurus dalam aktiviti itu lebih dikenali sebagai gogo yang sebenarnya diringkaskan daripada frasa Bahasa Inggeris, ‘organizer.’

Pemilik nama, Asmalia Hassan@Hussin mempunyai minat aktiviti luar sejak kecil, tidak menyangka daripada sebuah hobi mendaki gunung sambil menyulam rasa cintanya kepada keindahan alam semula jadi, dalam diam ramai yang kagum dengan pengalamannya.

Bermula hanya mendaki gunung di Malaysia sehingga melengkapkan tujuh puncak tertinggi di Semenanjung atau dikenali sebagai G7 dalam peminat gunung tempatan, sayapnya diluaskan sehingga luar negara.

Bercerita mengenai pengalamannya, membuatkan penulis sendiri berasa aura hebat yang dimilikinya. Bukan apa, kerana setiap destinasi dikunjungi mempunyai kisah menarik tersendiri. Apatah lagi, foto menarik turut menjadi bukti kesan jejaknya ke destinasi itu.

Ibarat menatap sebuah kanvas lukisan terbaik, itu yang dapat digambarkan penulis apabila melihat setiap foto yang dikirimkan. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti itu pasti ‘terliur’ ingin mengembara sambil melakukan aktiviti lasak bersamanya, termasuk penulis!

Katanya, setakat ini lebih 100 gunung di dalam dan luar negara pernah ditawannya. Bersandarkan pengalaman, dia memberanikan diri menjadi gogo.

“Bukan mudah sebenarnya untuk menjadi gogo kerana kita perlu mempunyai pengalaman di dalam bidang pendakian dan lebih penting mempunyai rasa tanggungjawab untuk membawa barisan pelanggan.

“Pengalaman saya tidak begitu luas, mungkin ada lebih 100 gunung ditawan dalam dan luar negara antaranya Indonesia, Sweden, Norway dan New Zealand,” katanya.

Kuasa media sosial tidak dapat menidakkan tempias kegiatan Asmalia sehingga ke pengetahuan peminat aktiviti luar dan rekreasi tempatan memandangkan kebanyakan pelanggan adalah pengikut setianya di Instagram dan Facebook.

“Pastinya apabila melihat pemandangan terbaik ketika mendaki atau menerokai sesebuah destinasi platform media sosial adalah tempat saya berkongsi pengalaman itu.

“Apabila ada yang melihat foto yang dimuat naik, ramai bertanyakan mengenainya. Jadi, perkara itu menjadi titik

tolak saya bergelar gogo,” kata Graduan bidang Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Asmalia berkata, pada peringkat permulaan hanya rakan rapat yang menjadi barisan peserta pendakiannya dan tidak menyangka pengalaman mereka dikongsikan kepada orang lain.

Memandangkan menjadi gogo perlu diiktiraf pihak berkuasa, dia mengambil keputusan bernaung di bawah di syarikat dimiliki rakan rapatnya untuk menjalankan kegiatan itu.

“Biasanya setiap peserta saya ‘temu duga’ untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai mereka. Pada masa sama, saya akan beri sedikit taklimat berhubung aktiviti itu.

“Sebagai gogo saya bertanggungjawab mendapatkan permit daripada Jabatan Perhutanan, menyediakan jurupandu dan kru untuk menjaga peserta,” katanya.

Menurut Asmalia, tugasnya sebagai gogo dilakukan bukan semata-mata untuk memenuhkan poket sendiri, tetapi ia lebih kepada kepuasan dalam melakukan aktiviti rekreasi.

“Keunikan aktiviti rekreasi di bawah kendalian saya, mereka berpeluang ke tempat menarik yang saya sendiri pernah pergi seperti air terjun dan pemandangan menarik. Setakat ini jumlah paling ramai yang pernah sertai program anjuran saya adalah 80 orang,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini, dia pernah dijemput dalam beberapa program untuk berkongsi pengalamannya dalam dunia rekreasi.

“Saya suka berkongsi tip dan pengalaman pendaki yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada pendaki untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan berilmu,” katanya.

Ditanya penyertaan wanita dengan aktiviti ini, Asmalia berkata, jumlah itu semakin hari semakin bertambah.

“Tiada halangan sebenarnya untuk wanita cuma, mereka perlu tahu kemampuan diri, memiliki kekuatan mental dan fizikal,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 6:45am
d