WM

Bakat kreatif jana pendapatan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BERADA di merata-rata tempat termasuk Pahang, Kuala Lumpur dan Selangor dalam masa sehari sudah menjadi kebiasaan kepada pasangan suami isteri ini pada setiap hujung minggu.

Penulis kagum dengan kesungguhan Nor Diana Baharudin, 30, dan Mohd Nazmi Muhamad Naim, 34,yang bijak mencari peluang selain sangat fokus dalam dunia andaman pengantin serta dekorasi pelamin.

Nor Diana berkata, dia mula terbabit dalam perniagaan itu dengan menyediakan perkhidmatan solek pengantin sahaja pada 2014.

“Awalnya sekadar pendapatan sambilan hingga pada 2016, saya mula menawarkan perkhidmatan pelamin mini untuk majlis akikah dan pertunangan. Diikuti dekorasi pelamin selepas itu,” katanya.

Kini, perniagaan dijalankan secara dalam talian dengan segala barang kelengkapan pelamin disimpan di stor di rumahnya di Hulu Langat, Selangor.

Bagi mendepani cabaran masa kini, laman sosial seperti Facebook dan Instagram menjadi medium utama untuk mendekati target sasar.

“Lebih ramai yang berwaspada dan bimbang dengan insiden penipuan mengambil pendekatan datang sendiri ke rumah saya untuk melihat sendiri pelamin ditawarkan.

“Jadi saya perlu sentiasa aktif dan peka di laman sosial untuk menarik perhatian ramai dengan memuat naik gambar pelamin sebagai teknik pemasaran,” katanya yang sangat mementingkan kualiti.

Berdepan dengan pembatalan tempahan pada saat akhir antara cabaran besar yang pernah dilalui apatah lagi semua keperluan sudah dibeli.

“Dalam hal ini, saya perlu bersabar kerana ini adalah asam garam dalam perniagaan. Saya terima dan sentiasa berfikiran positif yang berkemungkinan akan ada rezeki lebih baik selepas ini,” katanya yang mengusahakan WND First Love Enterprise bersama suaminya itu.

Nor Diana mengakui untuk terbabit dalam bidang ini, seseorang itu perlu sentiasa kreatif dalam menghasilkan dekorasi pelamin terbaik yang mampu menarik perhatian.

“Kadangkala ada pelanggan sendiri yang sediakan gambar pelamin yang diinginkan dan biasanya saya akan gunakan kreativiti untuk membuat penambahbaikan,” katanya.

Bagi Mohd Nazmi, dia sentiasa menyokong usaha isterinya untuk terus terbabit dalam bidang itu.

“Saya lihat isteri sangat serius dengan apa yang dilakukan yang secara tidak langsung dapat membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, dalam masa terdekat pasangan itu bercadang untuk membuka sebuah butik pengantin.

“Untuk rancangan jangka masa panjang, kami mahu luaskan perniagaan dengan membina premis yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkahwinan termasuk pelamin, dewan dan katering,” kata Mohd Nazmi.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 6:15am
d