WM

Bantuan spontan jantung terhenti

Oleh Rosyahaida Abdullah

MENGETAHUI dan memahami kaedah tepat untuk melakukan ‘cardiopulmonary resuscitation’ atau lebih dikenali sebagai CPR antara yang perlu diberi perhatian.

Namun masih ramai yang menganggap kemahiran itu hanya perlu dikuasai pengamal sektor perubatan.

Realitinya CPR paling diperlukan ketika tiada pengamal perubatan di tempat kejadian ketika berlaku keadaan di mana jantung terhenti atau ‘cardiac arrest.’

Keadaan jantung terhenti berlaku apabila jantung mula berhenti mengepam darah yang membawa oksigen ke seluruh badan secara tidak langsung boleh membawa kepada kerosakan kekal pada otak.

Kerosakan kekal pada otak boleh bermula seawal selepas empat minit tanpa oksigen malah kematian juga boleh berlaku antara empat hingga enam minit kemudian.

Berbanding serangan jantung, ia berlaku apabila salah satu arteri koronari tersumbat jika tidak dirawat, otot jantung akan semakin parah disebabkan tidak menerima oksigen yang mencukupi akhirnya meningkatkan risiko berlaku jantung terhenti.

Dalam hal ini, tentunya melakukan CPR sangat bermakna buat individu yang berdepan keadaan jantung terhenti dan dikatakan memberi dua hingga tiga kali peningkatan dalam peluang hidup berbanding mangsa yang tidak dibantu dengan CPR sebelum petugas perkhidmatan perubatan kecemasan tiba.

Kajian turut menunjukkan keberkesanan Hands-Only CPR tanpa mulut ke mulut yang dilakukan orang sekeliling dapat membantu mengepam kembali darah ke seluruh badan dan menghantar oksigen ke otak serta organ penting lain.

Ia sekali gus memberi peluang lebih baik untuk hidup sementara menunggu bantuan tiba.

Perunding Perubatan Kecemasan Regency Specialist Hospital, Dr Patrick Cheah berkata, peluang untuk hidup bagi mereka yang mengalami keadaan jantung terhenti akan berkurang 10 peratus bagi setiap minit yang berlalu tanpa bantuan CPR.

Malah katanya, hampir mustahil untuk melihat mangsa hidup jika CPR masih tidak dilakukan selepas 12 minit disebabkan ia terlalu jarang berlaku.

“Kajian juga menunjukkan penggunaan Automated External Defibrillator (AED) bersama CPR oleh orang sekeliling berupaya meningkatkan lagi peluang hidup dengan kesan sehingga 75 peratus,” katanya.

Seharusnya sesiapa saja yang berada berdekatan individu yang secara tiba-tiba pengsan atau jatuh disebabkan jantung terhenti boleh memulakan CPR sementara menunggu bantuan petugas perubatan.

Berdasarkan kajian ke atas purata kejadian jantung terhenti di luar hospital atau pusat perubatan, keadaan jantung terhenti paling banyak berlaku di rumah dengan 69.5 peratus diikuti tempat awam 18.8 peratus manakala rumah jagaan 11.7 peratus.

Menurut Dr Cheah, jika melihat kepada angka itu, ia menunjukkan keperluan orang ramai khususnya ahli keluarga untuk menguasai kemahiran melakukan CPR sebagai persediaan melakukan sesuatu untuk insan tersayang pada saat kecemasan.

“Memandangkan kebanyakan jantung terhenti yang tidak berlaku di hospital kebiasaannya berlaku di rumah, jika anda menguasai kaedah CPR, anda pasti bersyukur apabila wujud situasi di mana kemahiran ini diperlukan insan yang anda sayang,” kata Dr Cheah.

Dalam pada itu, mungkin ada yang merasakan tiada keperluan untuk menguasai kemahiran itu disebabkan tiada insan tersayang mempunyai masalah kesihatan kronik meskipun ia tidak sukar.

Namun jelas Dr Cheah, jantung terhenti tidak hanya berlaku kepada individu bermasalah kesihatan kronik semata-mata.

“Tercekik, kemalangan mengejut, lemas dan kejutan elektrik juga berpotensi menyebabkan seseorang mengalami jantung terhenti selain beberapa keadaan kesihatan lain seperti penyakit jantung, jangkitan dan tindak balas alahan.

“Kemahiran CPR boleh dikuasai dengan mengikuti kursus yang biasa dianjurkan termasuk di pusat perubatan,” katanya.

Antara langkah yang boleh dilakukan sebaik melihat seseorang mengalami
jantung terhenti:

1)Hubungi 999 (Jika anda bersama seseorang, minta bantuannya untuk hubungi sementara anda mulakan CPR)

2) Mulakan CPR dengan melutut di sebelah mangsa.

3) Letakkan tumit sebelah tangan di atas sebelah lagi tangan.

4) Kunci siku pada badan dan sasarkan tangan anda di tengah dada antara puting dada mangsa.

5)Tekan sekuat-kuatnya dan secepat-cepatnya antara 100 hingga 200 tekanan dalam seminit.

6)Teruskan CPR sehingga petugas profesional kesihatan tiba.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 6:30am
d