WM

Harga sebuah kegigihan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

DIA pernah mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang keusahawanan.

Itu juga impian Lam Sui Cheng bagi mengubah nasib keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan apatah lagi ibu bapanya penoreh getah.

Kesempitan hidup dan tidak mampu menampung kos pembelajaran di menara gading itu menyebabkan Lam yang berasal dari Kampung Chenis, Kuala Krai, Kelantan terpaksa melupakan hasratnya.

Anak bongsu daripada enam beradik itu terpaksa bekerja di stesen minyak Shell sebagai pengisi minyak berhampiran kampungnya untuk membantu meringankan beban keluarga dengan pendapatan sekitar RM400.

Bagaimanapun, Lam tidak pernah mengeluh dengan gaji diperoleh itu sebaliknya terus bekerja dengan baik seperti yang diamanahkan.

“Saya bersyukur memiliki majikan yang sangat menjaga kebajikan pekerjanya. Apa tidaknya, selepas enam bulan bekerja, majikan yang dikenali sebagai Gan menaikkan pangkat saya sebagai kerani.

“Saya masih ingat, majikan beritahu tugas saya bukan sekadar kerani yang duduk di pejabat dan perlu didedahkan dengan skop tugas lain.

“Ketika itu saya didedahkan pelbagai perkara baharu termasuk serba sedikit mengenai tugas menguruskan jadual selain turut dihantar menjalani latihan menguruskan akaun,“ katanya baru-baru ini.

Menurutnya, selepas dua tahun, dia mendapat majikan baharu yang mengambil alih stesen minyak tempatnya bekerja.

“Majikan ini juga menggunakan pendekatan sama dengan sentiasa memberi sokongan kepada pekerjanya.

“Pada 2016 saya memulakan tugas sebagai pengurus stesen dan setahun selepas itu saya mendapat tawaran untuk sertai Program Pembangunan Pengurus Stesen yang julung kali diadakan Shell,” katanya.

Menerusi program ini, dia didedahkan dengan pelbagai perkara baharu mengenai pengurusan stesen minyak.

“Sepanjang program ini berjalan, saya diajar untuk memahami sudut pengurusan kakitangan, kewangan dan sebagainya untuk menjadi pengurus yang baik.

“Saya sendiri tidak sangka lulus dalam peperiksaan, sekali gus berpeluang menjadi peruncit Shell,“ katanya.

Katanya, 9 Mei tahun lalu menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan apabila mendapat tawaran daripada syarikat untuk memiliki operasi stesen minyak di Pekan, Pahang.

“Saya tidak dapat gambarkan perasaan sebagai anak penoreh getah yang tidak mampu melanjutkan pelajaran di universiti dapat memiliki stesen minyak sendiri.

“Segala penat lelah bekerja daripada bawah sebagai pekerja mengisi minyak, terasa berbaloi apabila menjadi peruncit,” katanya.

Selepas hampir setahun beroperasi, kini dia memiliki 11 pekerja yang bekerja di stesen minyak miliknya.

“Sebagai ketua, saya akui berdepan pelbagai cabaran namun dapat diselesaikan dengan baik berdasarkan pengalaman yang dilalui sebelum ini.

“Pada masa sama, saya sentiasa memberi galakan kepada mereka untuk terus mencungkil potensi diri dan sedia menanggung kos untuk yang berpotensi menjalani kursus dan program anjuran syarikat untuk mengembangkan karier dalam bidang ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Lam mengakui untuk berjaya, individu itu perlu mempunyai semangat yang tinggi dan tidak mudah berputus asa.

“Setiap individu itu mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Tanpa segulung ijazah pun boleh berjaya asalkan mahu berusaha dan memiliki semangat ingin belajar meningkatkan diri.

“Terima kasih kepada Shell untuk peluang ini dan saya menyeru pengurus Shell untuk menggunakan peluang ini untuk mencapai impian menjadi pemilik stesen sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 7:00am
d