WM

Jaminan keselamatan si cilik

Oleh Nurul Husna Mahmud

MAHU mewujudkan persekitaran selamat di pusat jagaan kanak-kanak di kawasan tertentu bukan sekadar bergantung kepada penilaian ibu bapa semata-mata, sebaliknya perlu pengawasan termasuk mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tambahan pula ketika ini permintaan perkhidmatan terhadap pusat penjagaan itu kian meningkat menyebabkan ia berkembang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Melihat hal itu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan Operasi Pemantauan dan Penguatkuasaan Tadika atau Taska dan Pusat Jagaan Kanak-kanak di sekitar Shah Alam, Selangor pada 24 Februari lalu.

Operasi berkenaan selaras usaha MBSA untuk mengawal kadar pertumbuhan pusat jagaan kanak-kanak yang semakin meningkat di dalam kawasan pentadbiran MBSA di mana kebanyakannya sudah beroperasi terlebih dahulu sebelum mendapatkan kebenaran MBSA.

Pegawai Perancangan MBSA Hazlin Ibrahim berkata, ia penting dalam memastikan semua premis yang menjalankan perkhidmatan ini mempunyai kelulusan memulakan operasi secara tidak langsung memberi jaminan kebajikan dan keselamatan kanak-kanak.

“Operasi bersepadu ini diadakan untuk memastikan pengusaha tadika atau taska dan pusat jagaan mematuhi syarat ditetapkan MBSA.

“Di samping memberikan khidmat nasihat dan penjelasan berhubung syarat-syarat PBT dan agensi yang berkaitan. Selain itu, operasi ini juga untuk memaklumkan kepada pemilik tadika atau taska dan

pusat jagaan kanak-kanak supaya mengemukakan permohonan kepada MBSA dan agensi terbabit sekiranya belum mempunyai kelulusan yang sah memulakan operasi.

“Ini penting dalam memastikan pusat yang ada ini benar-benar berlesen dan mengikuti spesifikasi keselamatan serta kesihatan ditetapkan pada sesebuah pusat jagaan kanak-kanak.

“Ketika ini berdasarkan inventori MBSA, terdapat 423 pusat jagaan yang beroperasi di sekitar wilayah MBSA. Bagaimanapun, ketika operasi hanya 152 yang mempunyai kelulusan manakala 271 unit premis lagi tidak mempunyai kelulusan Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Bangunan daripada perumahan kepada perniagaan,” katanya.

Dalam operasi itu kata Hazlin, pihaknya mengeluarkan notis peringatan terhadap premis yang beroperasi tanpa kebenaran dan tidak mematuhi syarat sah pusat jagaan kanak-kanak.

“Jadi ini bidang kuasa MBSA memastikan premis yang beroperasi tanpa permit sah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan operasi pusat mereka mengikut peruntukan PBT dan agensi berkaitan. Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dalam tempoh 30 hari sekiranya tiada tindakan diambil pengusaha yang beroperasi tanpa lesen,” katanya.

Operasi yang diadakan MBSA ini turut mendapat kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Polis Diraja Malaysia.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 6:36am
d