WM

Beri harapan baru

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SEBANYAK 30 beg tangan unik disumbangkan kepada pusat perlindungan wanita dan kanak-kanak yang hidup dengan HIV, Rumah Solehah bagi tujuan amal.

Beg yang disumbangkan jenama antarabangsa tempatan, THESELINA itu dijual pertubuhan bukan kerajaan, MERCY Malaysia dalam satu majlis makan tengah hari khas sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.

Menarinya, beg berkenaan turut diserikan dengan kreativiti lukisan dihasilkan sendiri penghuni rumah terbabit. Setiap rekaan tampil dengan lukisan tersendiri.

Ia bukan sahaja sesuai dijadikan sebagai aksesori pelengkap penampilan ke majlis di dalam dewan, malah turut sesuai digayakan ke pejabat. Pengasas jenamanya, Selina Yeop Jr berkata, sebagai pemimpin wanita, pihaknya mahu mempromosikan lagi aspek keyakinan dan belas ihsan kepada orang ramai terutama golongan yang kurang bernasib baik.

Justeru kata Selina, mereka gembira melihat bagaimana penghuni Rumah Solehah mengubah tas tangan menjadi karya seni yang menarik.

“Projek ini memberi mereka harapan baru untuk masa depan, di mana mereka boleh meneroka seni dan kraf untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden II Mercy Malaysia, Datin Raja Riza Shazmin berkata, pihaknya percaya mesej yang cuba mereka sampaikan itu akan didengari tokoh korporat dan ibu yang lain.

“Setiap wanita memerlukan beg tangan dan dengan cara ini (membeli beg berkenaan) dapat membantu mengubah kehidupan gadis dan wanita muda di rumah berkenaan ke arah lebih baik,” katanya.

Beg berkenaan dijual pada harga RM980 setiap satu dan hasil jualan disalurkan kepada dua pertubuhan kebajikan.

Sementara itu, kebanyakan penghuni Rumah Solehah dikatakan mendapat HIV daripada ibu bapa mereka.

Ada sebilangan mereka kini yatim piatu dan ada juga ibu bapa penghuni berada di penjara atau pusat pemulihan.

Ramai penghuni tidak mengetahui kehidupan lain selain Rumah Solehah dan perlu mencari cara bagi membantu mereka selepas meninggalkan pusat perlindungan itu pada usia 18 tahun.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 7:00am
d