WM

Dr Sophia fokus kajian kolesterol

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

UNGKAPAN ada mengatakan, tangan yang menghayun buaian itu mampu menggoncang dunia.

Walau bersifat lemah lembut dan penuh dengan naluri keibuan, wanita sebenarnya mampu menyumbangkan tenaga serta idea untuk membangunkan selain mengharumkan nama negara.

Wanita Metro (WM) hari ini berkongsi kisah menarik seorang wanita muda dan kini semakin dikenali dalam dunia penyelidikan perubatan negara, Dr Sophia Rasheeqa Ismail, 32.

Anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu sebelum ini dipilih sebagai seorang penerima Geran Penyelidikan Anugerah Merdeka Penempatan Antarabangsa 2017 yang disampaikan sendiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku Penaung Diraja Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka.

Geran itu dianugerahkan untuk penyelidikan lipidomik beliau, iaitu kajian terperinci mengenai lipid atau kolesterol yang menjadi antara faktor utama penyakit jantung dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menerusi kejayaan itu, Dr Sophia berpeluang menjejakkan kaki di universiti terkemuka dunia, University of Cambridge, United Kingdom selama tiga bulan pada 2018.

Anak sulung kepada tiga beradik itu berkata, dia memilih universiti itu kerana memiliki pusat kajian terkemuka yang sudah dikenali dalam bidang lipidomik.

“Bagi saya, pemantauan empat hingga lima jenis kolesterol yang sedia ada tidak memadai kerana ia terdapat lebih 400 jenis dalam badan selain perlu mengkajinya dengan lebih mendalam.

“Fokus utama kajian adalah kepada kolesterol dan interaksinya dengan sel-sel yang lain. Ia penting kerana semestinya keadaan kolesterol adalah berbeza bila adanya penyakit lain.

“Kajian seperti ini diperlukan kerana kes kematian disebabkan penyakit jantung kini tidak mengenal usia dan pelakon, Allahyarham Ashraf Sinclair contohnya meninggal pada usia muda iaitu 40 tahun,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) , Setia Alam, baru-baru ini.

Menurut Dr Sophia lagi, sepanjang berada di UK, dia terpaksa berjauhan dengan anaknya. Itu antara pengorbanan yang perlu dilakukan demi berbakti kepada negara tercinta.

Katanya, ia agak terkesan kerana ketika melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di London of Hygiene and Tropical Medicine selama setahun pada 2014, dia turut membawa anak yang berusia dua tahun bersama.

“Mujurlah keluarga sentiasa ada ketika memerlukan, terutama ibu bapa yang juga pendorong utama saya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penyelidikannya, Dr Sophia berkata, semuanya bermula apabila dia menyertai pasukan penyelidikan untuk mengenal pasti punca serangan jantung yang pertama di Malaysia (MAVERIK) diketuai Dr Mohd Fairulnizal Md Noh.

Dr Mohd Fairulnizal adalah Ketua Pusat Penyelidikan Nutrisi, Metabolik dan Kardiovaskular (NMCRC) selain kajian berkenaan masih berjalan sehingga kini.

Kata Dr Sophia, ia sudah menjadi amat penting untuk memahami lebih mendalam punca serangan jantung, terutama dalam kalangan golongan muda.

“Berbeza di negara barat, rawatan mereka lebih spesifik malah ada kajian genetik turut dilakukan di Eropah justeru penyelidikan lanjut MAVERIK, terutama dalam bidang kolesterol, memerlukan lebih sokongan dan sumbangan dana.

“Jika tiada aral, Insya-Allah kami berharap dalam masa 10 tahun untuk menjayakan garis panduan rawatan penyakit jantung yang lebih spesifik kepada kaum yang ada di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Sophia berkata, tidak ramai doktor yang memilih bidang penyelidikan dek kerana kekangan dalam soal pendedahan, masa dan kewangan meskipun menyedari kemajuan dalam perubatan, hanya boleh terjadi jika adanya penyelidikan.

Katanya, tanpa penyelidikan, pengamal perubatan akan lakukan rawatan yang sama, prosedur yang sama, sampai bila-bila.

“Jika sesuatu penyelidikan itu berjaya, ia membawa impak yang cukup besar dan impian saya adalah untuk melihat lebih ramai penyelidik di negara ini untuk sama-sama mencari penyelesaian serta kaedah baru bagi menambah baik kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, bagi meredakan tekanan harian, Dr Sophia menghabiskan masa dengan melancong dan membuat pastri serta kuih-muih Melayu terutama biskut chocolate chips kegemaran anaknya.

Katanya, hobi itu penting bagi menyeimbangkan kehidupannya yang bukan sahaja sibuk dengan keluarga dan penyelidikan malah sebagai pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Kesihatan Masyarakat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Biar sesibuk mana pun, saya akan tetap meluangkan masa bersama anak dan keluarga kerana mereka adalah tulang belakang, tanpa sokongan mereka, saya tidak akan berada di tempat ini, hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 7:00am
d