WM

Normala 'kaki pancing'

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, aktiviti memancing semakin diminati ramai dan bukan hanya didominasi oleh lelaki sahaja.

Golongan wanita juga dikatakan sudah mula menunjukkan minat terhadap aktiviti ini dan ada yang menjadikannya sebagai riadah utama bersama keluarga pada hujung minggu.

Perkara sama diakui Normala Rahman, 34, yang meminati aktiviti memancing sejak 11 tahun lalu.

Usahawan yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu berkata, dahulu jumlah wanita yang menyertai aktiviti itu sangat sedikit mungkin kerana kurang pendedahan namun kini tidak lagi.

“Memancing kini tidak terhad kepada golongan lelaki sahaja malah wanita pun turut sama meminatinya.

“Tiada halangan sebenarnya, kerana aktiviti ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro baru-baru ini.

Menurut Normala, dia mula meminati aktiviti itu apabila sering mengikut rakannya memancing. Mulanya tidak menggemari aktiviti itu kerana menganggap ia hanya membazir masa apatah lagi jika tidak mendapat ikan atau perlu menunggu lama.

Namun, lama-kelamaan dia mula memahami sisi positif aktiviti berkenaan dan mengapa ramai yang menggemarinya.

“Saya mula mencuba memancing dan akhirnya jatuh cinta kerana ia juga dapat meredakan tekanan kerja seharian.

“Apapun, kepuasan yang tidak dapat digambarkan apabila joran direntap ikan dan kita berjaya menaikkan ikan di darat selepas sekian lama menunggu,” katanya.

Dalam pada itu, Normala berkata, dia kini memiliki lebih daripada 25 joran mengikut kesesuaian lokasi memancing termasuk untuk kolam, laut dalam, udang, casting, joran jigging dan sebagainya.

Kata Normala, dek kerana minat mendalam, setiap bulan dia akan keluar memancing bersama rakannya di beberapa lubuk memancing di seluruh negara.

“Antara lokasi memancing yang paling jauh pernah saya pergi adalah di Sabah dan Koh Adang, Thailand.

“Namun saya paling suka ke Sabah dan Rompin kerana di sini terdapat pelbagai jenis ikan dan sudah pasti tidak pernah menghampakan.

“Di Rompin misalnya, ada pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila saya berjaya menaikkan ikan layaran seberat lebih 30 kilogram,” katanya.

Begitupun, Normala berkata, selepas perniagaannya semakin berkembang, masanya untuk memancing semakin terhad.

Ia kerana dia perlu memberi tumpuan penuh kepada perniagaan yang diusahakan dan hanya sesekali berpeluang keluar memancing bagi menghilangkan gian.

“Namun, saya tidak berasa terlalu ralat kerana perlu utamakan perniagaan kerana ia adalah sumber pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya perlu bijak bahagikan masa untuk mengelakkan hobi memberi kesan terhadap pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cabaran yang pernah dihadapi sepanjang terbabit dalam aktiviti memancing, Normala berkata, soal persepsi masyarakat adalah kekangan utama.

Katanya, ramai yang memandang pelik jika wanita turut sama dalam aktiviti itu sedangkan ia adalah aktiviti untuk semua.

“Tapi itu dahulu, kini pembabitan wanita dengan aktiviti ini adalah perkara biasa kerana jumlahnya semakin hari semakin bertambah.

“Malah, wanita yang sudah berkeluarga juga ramai yang sertai aktiviti ini dan tidak berdepan masalah untuk mendapatkan kebenaran suami.

“Apa yang penting, wanita yang juga isteri kena tahu menjaga adab dan batas pergaulan,” katanya.

Mengulas lanjut, Normala berkata, dia sering mengutamakan keselamatan peralatan dan keperluan diri sendiri setiap kali keluar memancing.

“Pakai pakaian yang sesuai dan jangan ketinggalan mengenakan jaket keselamatan memakai kasut dan membawa ubat-ubatan.

“Selain itu, untuk melindungi kulit, saya juga memakai krim pelindung matahari untuk elakkan pigmentasi teruk, kulit terbakar dan mengelupas,” katanya.

Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 7:00am
d