WM

Nur Syafiqa bangkit dari trauma

Oleh Muhamaad Razis Ismail

ENAM tahun lalu, wajahnya ditoreh pisau oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk rumahnya di Kampung Wakaf Berangan, Pasir Puteh.

Pada ketika itu, Nur Syafiqa Lah, sedang mandi di dalam bilik air sebelum ditarik keluar oleh perompak itu.

Demi mempertahankan maruah diri, dia sanggup melawan sebelum wajahnya ditoreh beberapa kali dengan pisau oleh lelaki itu yang kemudian bertindak melarikan diri.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari pada 30 November 2014, ibunya Hat Tema Mat Zain, 59, turut parah apabila mata ditumbuk dan patah hidung ketika bergelut dengan perompak berkenaan.

Kejadian itu turut mengakibatkan urat di jari kanannya putus ketika cuba mempertahankan diri.

Parut akibat torehan masih ada di wajah Nur Syafiqa dan biarpun kejadian itu sudah lama berlalu, tragedi yang hampir meragut nyawa itu masih lagi segar dalam ingatannya.

Ibu kepada seorang anak itu berkata, dia cuba melupakannya namun sehingga kini dia masih lagi terbayangkan kejadian bagaimana perompak itu menoreh mukanya dengan pisau.

“Kejadian itu berlaku pada 2014, namun saya masih rasakan seolah-olah kejadian itu baru sahaja berlaku semalam.

“Biarpun kecederaan sudah pulih sepenuhnya namun saya masih trauma yang memberi kesan jangka masa panjang.

“Setiap kali masuk ke dalam rumah saya akan terus kunci pintu rumah. Pada waktu malam, saya tidak boleh mendengar bunyi dan akan terus minta suami periksa untuk pastikan keadaan selamat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nur Syafiqa lagi, hingga sekarang dia masih memerlukan teman jika mahu keluar ke mana-mana selain tidak boleh berada dalam keadaan gelap dan sunyi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, dalam kejadian itu, dia dan ibunya cedera parah termasuk muka ditoreh selepas kediaman mereka dipecah masuk dua perompak.

Ketika kejadian, Nur Syafiqa yang sedang mandi ditarik keluar dari bilik air ke ruang tamu, manakala ibunya yang sedang menjemur baju diarah masuk ke dalam rumah sambil diacukan pisau di leher.

Menurutnya, ekoran serangan itu dia terpaksa menjalani rawatan susulan selama dua bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

“Sebelum itu saya menerima puluhan jahitan di muka di Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh dan kemudian dirujuk ke HUSM.

“Pada ketika itu, sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu apabila muka saya membengkak dan dipenuhi dengan parut jahitan di beberapa bahagian muka.

“Selain itu jari juga tidak boleh bergerak seperti biasa selepas disahkan urat putus terkena tetakan,” katanya.

Nur Syafiqa berkata, selepas beberapa bulan kejadian itu, dia mengambil keputusan untuk berkahwin demi menjaga keselamatannya.

Katanya, ketika kejadian itu, saya dan tunang, Mohd Azij-ja Zafran Mohd Zahari belum menetapkan tarikh untuk perkahwinan namun ekoran serangan itu kami sepakat untuk berkahwin dan kenduri hanya dibuat beberapa bulan kemudian.

“Tujuannya hanya satu iaitu supaya suami dapat menjaga saya dengan lebih baik. Saya bersyukur suami begitu memahami keadaan saya dan sentiasa memberi sokongan untuk kembali sembuh,” katanya.

Sementara itu, anak kelima daripada enam beradik itu berkata, selepas kejadian berkenaan, dia berasa malu dengan persepsi masyarakat melihat keadaan wajahnya yang berparut.

Dia terpaksa berfikir dua tiga kali untuk keluar rumah kerana ada yang bertanya mengenai parut itu.

“Lama kelamaan saya dapat biasakan diri sehinggalah kini parut di muka sudah tidak kelihatan dengan jelas,” katanya.

Nur Syafiqa berkata, terdapat banyak hikmah di sebalik kejadian itu dan antaranya, rezeki turut terbuka luas apabila mula dikenali ramai.

“Biarpun menyedari masih terdapat kesan parut di muka, ada pihak menawarkan saya menjadi model dan menjadi duta produk makanan kesihatan.

“Kini saya dalam perancangan untuk terbabit dalam bidang perniagaan produk kecantikan secara dalam talian dalam masa terdekat,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 7:00am
d