WM

Ceria 'berkurung' dalam rumah

Oleh Nurul Husna Mahmud

MUSIM cuti sekolah selalunya dipenuhi pelbagai perancangan untuk ibu bapa membawa anak-anak pergi ke pusat peranginan mahupun rekreasi.

Namun kali ini senario musim cuti sekolah tatkala pandemik Covid-19 melanda, perancangan percutian semestinya terganggu dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang meminta orang awam berada di rumah bagi mengekang penularan virus berkenaan.

Melihat kepada situasi ini, ibu kepada tiga cahaya mata, Balkish Sahimi tampil berkongsi panduan khas untuk ibu bapa bagi mewujudkan keceriaan ketika berada di dalam rumah sepanjang tempoh PKP.

Kata Balkish, dia dan suami, Mahathir Muhammad, 42, menyifatkan tiga anak lelaki yang aktif memerlukan waktu lapang diisi dengan aktiviti bersesuaian.

“Jika cuti sekolah biasanya saya dan suami bawa anak-anak pergi bercuti. Cuma apabila pandemik Covid-19 segala yang dirancang tergendala dan lebih penting menjaga keselamatan dan kesihatan seisi keluarga.

“Anak-anak saya, Muhammad Muadz, 8, Muhammad Muzaffar ,7 dan Muhammad Muqri, 4, gemarkan aktiviti luar. Jadi, banyak aktiviti dilakukan di perkarangan rumah,” katanya.

Antara langkah ibu berusia 38 tahun itu termasuk menyenaraikan pengisian aktiviti dalam dan luar yang boleh dilakukan supaya anak-anaknya itu tidak bosan.

“Minat anak kami lebih kepada berkaitan haiwan atau sesuatu yang hidup. Jadi kebanyakan aktiviti dilakukan mempunyai tema berkaitan haiwan.

“Contohnya melukis atau bercerita kepada mereka mengenai haiwan. Medium atau peralatan juga dipelbagaikan. Kadangkala guna origami atau teknik lipatan kertas. Pada waktu lain saya beri berus dan warna air untuk mereka melukis dan mewarna,” katanya.

Tambah Balkish, ibu bapa perlu bijak berinteraksi dengan anak-anak. Ini termasuk pendekatan memujuk dan diselang-seli dengan aktiviti bermain.

“Bukan hanya fokus pengisian pendidikan semata-mata, ada antara aktiviti lebih santai termasuk bermain ‘khemah’ di dalam rumah selain permainan seperti karom dan dam,” katanya.

Biar pun anak-anak tidak dapat keluar, tidak bermakna Balkish ‘mengurung’ anak-anaknya di dalam rumah semata-mata.

“Anak-anak masih boleh berada di luar, tetapi ia terhad di perkarangan rumah dengan pengawasan ibu bapa. Mujur saya tinggal di kediaman lot jadi ada ruang laman yang memadai untuk mereka berbasikal.

“Selain itu, kami juga memelihara arnab untuk anak-anak bermain. Setidak-tidaknya mereka tidak stres dan masih boleh bermain sesama sendiri.

“Pengisian lain turut membabitkan rutin mengajar mengaji dan solat berjemaah. Setidak-tidak peluang ini dimanfaatkan berbanding sebelum ini sibuk dengan urusan harian dan bekerja,” katanya.

Disiarkan pada: March 27, 2020 @ 7:01am
d