WM

Derita sendirian

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

DIANGGARKAN satu dalam kalangan 10 wanita mengalami penyakit endometriosis namun ia sukar dikesan menyebabkan ada yang mengambil masa sehingga tujuh tahun untuk didiagnos.

Biarpun bukan antara penyakit pembunuh utama di Malaysia namun hakikatnya, Endometriosis bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental, malah mengakibatkan kemurungan dan keresahan.

Setakat ini, saringan khusus untuk mengenal pasti punca penyakit ini masih tidak diketahui dan setiap wanita pula menghadapi kesakitan penyakit itu dalam keadaan berbeza.

Pakar Ginekologi dan Obstetrik Sunway Medical Centre Velocity (SMCV, Dr Wong Yen Shi berkata, endometriosis adalah keadaan di mana selaput endometrium bukan sahaja tumbuh di dalam rahim, tapi juga di luar rahim seperti pada salur fallopian, ovari dan usus (kecil atau besar).

Katanya, penyakit itu menyebabkan kesakitan pelvis yang teruk ketika haid, pendarahan menstruasi yang baik serta kesakitan ketika hubungan intim.

“Kira-kira 68 peratus wanita muda salah didiagnos manakala antara 30 hingga 50 peratus wanita dewasa pula mengalami risiko masalah kesuburan.

“Justeru, sempena Bulan Kesedaran Endemotriosis pada bulan ini, SMCV ingin berkongsi mengenai kepentingan wanita untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental dengan sokongan serta perubatan yang sesuai,” katanya.

Menurut Dr Wong, antara topik yang jarang dibincangkan secara umum adalah bagaimana kesakitan fizikal akan menimbulkan masalah kesihatan mental kepada pesakit.

Kata Dr Wong, endometriosis tiada diagnosis spesifik dan pesakit tidak dapat menjelaskan keadaan yang dirasai, sekali gus mengakibatkan keresahan dan kemurungan.

“Stigma sosial mengenai keadaan itu menambahkan lagi penderitaan pesakit menyebabkan mereka memilih mengasingkan diri kerana tidak difahami atau didengar.

“Pada masa sama, ia turut menghalang pesakit endometriosis daripada mencari bantuan yang diperlukan untuk merawat penyakit berkenaan,” katanya.

Bagi mengurangkan kesan psikologi itu, Dr Wong menekankan kepentingan mendapatkan bantuan daripada pakar dan kumpulan sokongan.

Katanya, meskipun langkah pertama dan terpenting adalah untuk merawat kesakitan namun adalah mustahak bagi pesakit untuk mendapat sokongan daripada ahli keluarga, pasangan dan rakan mereka.

Ini memandangkan kesan psikologi penyakit itu yang melemahkan semangat perlu ditangani dan tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan fungsi sosial.

“Penurunan kualiti hidup, emosi negatif, tekanan, kebimbangan atau kemurungan mungkin adalah akibat kesakitan yang mereka alami.

“Kekangan sedemikian boleh menyebabkan wanita berulang kali tidak hadir di tempat kerja atau di sekolah, kerap dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan sebahagian besar tidak dapat menjalani aktiviti seharian mereka kerana kesannya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wong turut menerangkan beberapa cara untuk menyokong pesakit endometriosis iaitu bermula dengan memahami keadaan sebenar penyakit itu, tanda, rawatan, kesan sampingan ubat serta kesan kepada kehidupan pesakit.

Kata Dr Wong, seseorang boleh memberi sokongan kepada pesakit dengan bertanya khabar mengenai keadaan mereka dan menawar bantuan yang diperlukan.

“Selain itu, perhatikan tanda pesakit ketika mereka mengalami kesakitan dan memahami keadaan kesihatan mereka sekiranya tidak dapat menghadir acara sosial kerana keletihan kronik,” katanya.

Sementara itu, Dr Wong berkata, pesakit juga digalakkan menyertai kumpulan sokongan dan mendapatkan bantuan profesional jika mereka mengalami masalah emosi akibat endometriosis.

Katanya, golongan profesional dan pakar boleh membimbing pesakit bagi membolehkan mereka menguruskan cabaran dan menghadapi penyakit itu lebih baik.

“Dengan peningkatan perbincangan dan kesedaran mengenai kesakitan endometriosis, pengalaman mereka akan menjadi panduan berguna kepada masyarakat khususnya kepada pesakit.

“Untuk itu, semua pihak perlu bekerjasama untuk membantu perjuangan wanita yang menghidapi endometriosis dan tampil membantu kepada wanita lain yang memerlukan,” katanya.

Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 7:00am
d