WM

Si genit 'cinta' motosikal

Oleh Muhamaad Razis Ismail

MINAT mendalam terhadap aktiviti permotoran, mendorong wanita ini menjadi seorang YouTuber.

Sesiapa yang tidak mengenalinya pasti tidak menyangka, gadis genit ini mempunyai kebolehan luar biasa setanding dengan lelaki.

Biarpun baru berusia 25 tahun, Nur Atikah Azwar atau lebih dikenali sebagai Ika tidak kekok dan lincah menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Bukan itu sahaja, anak sulung daripada lima beradik ini juga berkemampuan membaiki motosikal.

Jadi tidak hairanlah, dia mencabar dirinya untuk bersaing pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas bermula tahun ini dalam kelas Pro-Am selain mendapat pelbagai penajaan daripada jenama produk berkaitan motosikal termasuk TuneBoss, Racing Boy, Uma Racing, NHK Helmet dan Koyoko.

Keputusannya untuk beraksi di Cub Prix boleh dianggap sebagai pelengkap terhadap minatnya dalam permotoran kerana dia sudah melalui pelbagai aktiviti kecuali beraksi di litar lumba.

Biarpun baharu setahun membuka akaun YouTube yang dinamakan sebagai Rider Helmet Pink, kini dia sudah memiliki 102 video dan 61,800 pengikut sekali gus mampu menjana pendapatan.

Nur Atikah berkata, dia mula meminati motosikal sejak daripada kecil biarpun mengetahui ia didominasi oleh golongan lelaki.

Katanya, motosikal pertamanya adalah Honda Ex-5 yang digunakan ketika berada di tingkatan empat.

“Hanya selepas tamat pengajian saya mula serius dengan permotoran dengan mula belajar sedikit demi sedikit mengenai motosikal daripada kawan, adik dan Internet.

“Kini saya mempunyai enam motosikal termasuk Yamaha FZ150i, Kawasaki ER6F, Yamaha Xmax 250 dan Yamaha Lagenda 115i, katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, pada tahun lalu, dia menggunakan platform YouTube untuk berkongsi minatnya dengan peminat motosikal terutama dalam kalangan wanita.

“Pada mulanya, saya hanya muat naik video yang dirakam secara suka-suka dan tidak sangka ia mendapat maklum balas positif.

“Sejak itu, saya mula serius untuk menghasilkan video berkaitan permotoran untuk berkongsi ilmu termasuk tip membaiki motosikal, aktiviti konvoi, nyah kotak produk dan sebagainya.

“Saya lebih suka menggunakan kaedah penyampaian yang lebih santai supaya peminat motosikal terutama dalam kalangan wanita lebih memahami terutama berkaitan membaiki motosikal seperti menukar minyak hitam, menggantikan tayar yang sebenarnya boleh dilakukan sendiri tanpa perlu ke bengkel, katanya.

Mengulas lanjut, Nur Atikah berkata, ramai yang beranggapan menjadi seorang motovlogger’ ini kerja yang mudah apabila hanya perlu rakam dan muat naik di YouTube.

“Nampak sahaja mudah tapi sebenarnya ia memerlukan komitmen yang tinggi dan ilmu untuk menghasilkan video berkualiti untuk menarik perhatian penonton.

“Rakaman selama sehari dan perlu disunting menjadikan video selama lima sehingga 10 minit sahaja memerlukan fokus yang tinggi. Selain itu kita perlu buat kajian untuk memahami algoritma YouTube untuk menarik lebih banyak tontonan, katanya.

Tambahnya, sejak mula serius menjadi seorang YouTuber dia menerima pelbagai maklum balas daripada orang ramai terhadap ladybiker sepertinya.

“Ada yang beri komen negatif kononnya wanita tidak sesuai dengan motosikal kerana lebih elok masak di dapur dan dituduh sebagai seorang minah rempit. Bagaimanapun saya tidak mengendahkan komen seumpama itu.

“Saya terima komen positif dan membina sahaja untuk membaiki kualiti video yang dikongsikan supaya lebih menarik dan memberi manfaat kepada orang ramai, katanya.

Menceritakan lebih lanjut, dia gemar aktiviti menunggang motosikal secara solo di sekitar negara ini termasuk ke Johor dan Pulau Pinang dalam masa sehari.

“Saya tidak akan dapat lupakan peristiwa Oktober tahun lalu, apabila ditahan pihak Imigresen Singapura kerana tertinggal cukai jalan dan terpaksa menolak motosikal sejauh 1 kilometer untuk masuk semula ke Malaysia. Ini menjadi pengajaran cukup berguna kepada saya untuk lebih berhati-hati.

“Pada masa sama, saya kerap sertai konvoi bersama penunggang motosikal wanita lain membabitkan pelbagai kempen kesedaran seperti kanser payudara dan sebagainya. Menerusi program ini saya dapat mengenali lebih ramai wanita yang memiliki hobi yang sama, katanya.

Selain motosikal, mungkin ramai tidak mengetahui, Nur Atikah turut aktif dengan sukan menunggang kuda jarak jauh dengan menyertai pasukan profesional Zahhra Endurance Team sejak 2015.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, dia akan memberi fokus terhadap perlumbaan Cub Prix pada tahun ini.

“Disebabkan pandemik Covid-19, perlumbaan yang sepatutnya bermula pada 14 Mac lalu ditangguhkan dan ini memberi peluang saya jalani latihan sendiri di rumah.

“Selain itu, saya akan memberi fokus untuk menghasilkan video lebih menarik dan mengembara ke lebih banyak negeri serta membuat perancangan untuk ke luar negara pada tahun depan, katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 7:00am
d