WM

Buka bisnes rekreasi

Oleh Hafiz Ithnin

LANTANG bersuara sambil duduk bersahaja tatkala kali pertama penulis menemui gadis berambut kerinting ini. Dia seolah-olah mendominasi suasana yang rata-ratanya datang ke lokasi itu untuk menyelam skuba.

Sambil menghirup mi segera panas, dia tidak mengendahkan mata-mata yang memandang keletahnya yang bersahaja itu terutama penulis yang merasakan dia agak

brutal dalam kebanyakan wanita yang berada di sekeliling.

Meskipun tidak pernah mengenali si gadis berusia 32 tahun itu, entah mengapa dia menyapa dengan menyoal penulis sudah berapa kali menyelam skuba di Pulau Tioman.

Penulis mengiyakan sahaja persoalannya kerana mahu cepat membersihkan peralatan menyelam skuba dan berehat di bilik.

Sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur, penulis menerima pesanan ringkas di media sosial yang menegur: “Eh, you Hafiz bukan yang datang skuba di Tioman hari itu?” lontar soalannya.

“Ya saya,” jawab penulis. Bermula dari situ kami mula menyantuni hubungan sebagai rakan di media sosial.

Melihat foto yang dikongsikan gadis bernama Nurul Ain Ishak atau mesra disapa Sepet ini begitu menarik kerana hobinya dalam aktiviti menyelam skuba sehingga ke peringkat instructor.

Bagi mereka yang tahu mengenai aktiviti rekreasi menyelam skuba untuk mendapat status sebagai instructor bukan mudah kerana pertamanya dari segi kos dan kedua perlu menguasai pelbagai kemahiran menyelam skuba.

Tanggungjawab sebagai instructor bukan sesuatu yang mudah kerana golongan itu perlu memastikan setiap pelajar di bawah kendalian mereka selamat ketika berada di dalam dunia marin.

Sepet berkata, minatnya untuk menerokai dunia marin pada 2005 dan ketika itu dia hanya melakukan aktiviti snorkel di Pulau Perhentian, Terengganu dan melihat sekumpulan penyelam skuba melakukan aktiviti menerokai dunia marin.

Katanya, sejak dari itu dia mula memasang angan-angan untuk mempunyai lesen menyelam skuba kerana aktiviti rekreasi berkenaan memerlukan latihan secara formal sebelum seseorang itu dibenarkan menyertainya.

“Pada 2013 saya mula mengambil lesen Open Water Dive Padi kemudian pada tahun yang sama terus melanjutkan ke peringkat Advance.

Dari setiap peringkat lesen yang dimiliki seperti Open Water dan Advance mempunyai kemahiran yang berbeza perlu dikuasai oleh seorang penyelam skuba.

“Contohnya, Advance memerlukan individu itu menguasai menyelam pada sebelah malam dan membaca kompas di dalam air. Jadi saya melihat aktiviti ini sesuatu yang dapat memberi kepuasan tersendiri,” katanya.

Minatnya di dalam dunia menyelam skuba diteruskan dengan memiliki lesen Rescue dan Dive Master pada 2019 yang memerlukan seseorang penyelam skuba itu lebih profesional ketika melakukan aktiviti rekreasi itu.

Anak bongsu pasangan Ishak Abd Shukor dan Sharifah Fauziah Mohamed itu menambah, pada awal tahun ini dia memutuskan untuk mengambil lesen instructor supaya mampu untuk menjadi tenaga pengajar dan dalam masa yang sama meneroka serta mengasah lebih banyak kemahiran di dalam dunia menyelam skuba.

“Apabila di peringkat instructor kita akan mengendalikan pelbagai individu yang mempunyai latar belakang berbeza dan juga jantina. Jadi sebagai

instructor saya perlu bijak ‘menguasai’ diri orang lain supaya mereka lebih yakin apabila kita menjadi tenaga pengajar.

“Jujurnya pernah berdepan dengan individu yang seakan memperlekehkan kemampuan saya sebagai seorang instructor ketika mereka belum lagi melakukan aktiviti menyelam skuba bersama kerana saya adalah seorang wanita,” katanya.

Jelasnya, persepsi itu tidak boleh diubah kerana terdapat individu yang suka menghukum kemampuan orang lain sebelum mereka melihat terlebih dahulu dan soal wanita juga antara yang dilihat sebagai sesuatu kelemahan.

“Namun, apabila mereka mula mengikut kelas secara teori dan praktikal di dalam dunia marin itu sendiri, persepsi golongan seperti itu akan berubah kerana aktiviti ini adalah membabitkan penguasaan kemahiran dan bukan jantina.

“Tambahan, untuk lulus sebagai seorang instructor bukan sesuatu yang mudah kerana semasa saya mengikuti kursus itu di Thailand, kita didedahkan dengan pelbagai situasi yang berlaku kepada seorang penyelam skuba seperti panik dan peralatan gagal berfungsi. Jadi di peringkat ini kita sendiri sudah didedahkan dengan kemahiran itu kerana gelaran instructor itu bukan sesuatu yang ringan untuk digalas,” katanya.

Pemegang Diploma Seni Bina, Universiti Teknologi Malaysia itu juga berkata, melihat kepada pembabitannya secara serius di dalam aktiviti rekreasi itu, pada tahun ini Sepet bersama dua rakannya mengorak langkah untuk memulakan perniagaan membabitkan aktiviti rekreasi menyelam skuba.

“Saya pernah bekerja dengan sebuah firma seni bina dan mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya itu kerana melihat aktiviti hobi ini sebenarnya boleh dikembangkan menjadi sebuah kerjaya.

“Paling utama ialah saya ingin menggalakkan lebih ramai kaum wanita di negara ini menyertai aktiviti menyelam skuba secara rekreasi kerana ia amat menyeronokkan dan dalam masa yang sama mampu menjadikan seseorang itu lebih yakin,” katanya.

Disiarkan pada: April 4, 2020 @ 7:01am
d