WM

Cantik itu abstrak

Oleh Hafiz Ithnin

PERSEPSI dalam pemakaian semakin berubah dari tahun ke tahun. Jika ada yang melihat sesuatu gaya itu hanya sesuai untuk si tinggi lampai ala model di pentas peragaan, bagaimana agaknya hak untuk diri orang lain?

Pada 2020 sebenarnya pemakaian wanita bukan lagi diukur kesesuaiannya dari segi warna kulit atau saiz badan kerana isu utama dalam berfesyen berubah kepada meraikan keunikan yang ada pada diri masing-masing.

Perkara itu dijelaskan Perunding Fesyen, Faizal Hamid yang turut melihat sebenarnya susuk badan dan rona warna untuk dipadankan dengan individu itu bukan menjadi isu utama dalam penggayaan.

Beliau berkata, apabila bercakap mengenai fesyen semua orang berhak untuk menikmatinya tanpa mengira status hakiki yang ada pada diri sendiri iaitu bentuk badan dan rona kulit, tetapi perkara lebih penting ialah bagaimana kemampuan mereka untuk membawa padanan busana itu.

“Jika ada yang mengatakan wanita berisi tidak boleh memakai pakaian berona terang kerana pasti tampak lebih berisi, sebenarnya tidak tepat kerana hari ini kita sudah meraikan keunikan setiap individu.

“Bagitu juga dengan orang yang kurus, tidak boleh memakai pakaian berwarna gelap kerana kelak mereka kelihatan seperti kayu yang berjalan! Ia adalah sesuatu yang tidak tepat kerana mereka mempunyai hak untuk menggayakan busana yang diinginkan,” katanya.

Perunding itu berkata, warna pakaian bukan lagi menjadi isu utama dalam penggayaan kerana wanita hari ini bijak untuk mengayakan sebarang bentuk busana pada diri mereka yang sebenarnya menceritakan karakter atau identiti masing-masing.

Jelasnya, jika dahulu ada yang beranggapan wanita bersaiz besar tidak boleh memakai pakaian berwarna terang, kini situasi itu berubah kerana kadangkala dengan memakai pakaian berona terang yang disukai itu menonjolkan identiti fesyen yang unik pada diri seorang wanita.

“Perkara pokoknya, sebagai individu yang menggayakan sesuatu busana itu kita sendiri yang perlu tahu kesesuaiannya untuk dipadankan dan bukan orang lain kerana pemakaian adalah mencerminkan diri kita sendiri.

“Jangan melihat apa yang dipakai selebriti itu juga sesuai untuk dipadankan dengan kita kerana setiap individu mempunyai keunikan tersendiri dalam memakai sesuatu busana,” katanya.

Perunding itu berkata, setiap manusia mempunyai nilai eksklusif tersendiri dan dengan hanya menambah solekan, aksesori, dandanan rambut, gaya tudung, menyarung kasut atau mempebagaikan gaya busana, seseorang wanita itu mampu kelihatan cantik.

“Wanita masa kini sudah bijak dalam menonjolkan diri mereka dalam berbusana kerana jika mereka merasakan diri tidak begitu tinggi, disarungkan sahaja kasut tumit tinggi. Kalau kulit wajah gelap, ketika ini ada banyak produk mekap yang boleh menyerlahkan kejelitaan rona kulit sebegitu.

“Begitu juga dengan wanita berbadan gempal atau berisi seperti dengan hanya menyarung beberapa lapisan busana yang sesuai dengan warna antara setiap lapisan, mereka akan nampak begitu menawan. Tidak wujud lagi jika berbadan gempal tidak boleh memakai pakaian lebih daripada satu lapisan,” katanya.

Jelasnya, cantik itu juga sesuatu yang abstrak kerana ada yang melihat bahawa tubuh langsing itu cantik dan ada juga yang melihat wanita bersaiz besar itu nampak cantik dan comel apabila menggayakan sesuatu busana.

“Kalau anda lihat ketika ini di pentas peragaan misalnya, trend untuk menggunakan model bertubuh langsing dan kulit cerah sudah berubah kerana pemain industri profesional itu sendiri melihat setiap wanita perlu diraikan tanpa perlu wujud diskriminasi imej.

“Contohnya jika dahulu hanya wanita kurus dan tinggi lampai mendominasi pentas peragaan kini sudah ada model bersaiz besar kerana pereka fesyen itu sendiri tidak mahu produk mereka hanya tertumpu kepada satu segmen,” katanya.

Faizal menegaskan, bagaimanapun setiap fesyen atau busana yang disarungkan wanita itu perlu menghormati situasi dan penerimaan norma dalam masyarakat supaya tidak nampak canggung ketika bereksprementasi dalam pemakaian.

Disiarkan pada: April 11, 2020 @ 6:30am
d