WM

Kraf jeli 3D

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

KETIKA membuat liputan Fiesta Bunga Pahar di Hulu Langat, Selangor baru-baru ini, penulis tertarik dengan salah satu bengkel yang dianjurkan.

Bengkel pembuatan jeli tiga dimensi (3D) yang diselia Suzana Shamsudin nyata menarik perhatian ramai dan puluhan wanita tidak melepaskan peluang untuk mempelajarinya.

Suzana berkata, jeli 3D kini semakin diminati dan biasanya ia dibuat seperti bentuk kek, kek cawan dan sebagainya.

Sebenarnya, pelbagai rekaan boleh dihasilkan tetapi yang paling mendapat sambutan adalah corak bunga-bungaan.

“Rekaan boleh dipelbagaikan, bergantung kepada kreativiti dan kemahiran seseorang.

“Apa yang penting, perlu berani dan kreatif dalam menyusun warna kerana ia sebenarnya tidak ubah seperti menggubah bunga, katanya kepada Harian Metro.

Menurut Suzana, bahan yang digunakan untuk menghasilkan jeli 3D juga tidak banyak iaitu hanya pencucuk khas, jeli, susu dan bahan pewarna.

Katanya, bahan pewarna perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum disuntik ke dalam jeli.

“Jika sejuk, ia sukar untuk disuntik ke dalam jeli.

“Setiap bahagian dicipta secara terbalik dan boleh mengambil berjam lamanya untuk disiapkan.

“Dekorasi bunga misalnya, dibuat setiap kelopak ke kelopak dan memerlukan kesabaran untuk menyiapkannya, katanya.

Dalam pada itu, Suzana berkata, suri rumah yang mempunyai kemahiran membuat kek jeli 3D boleh menjana pendapatan sampingan memandangkan permintaan terhadap kraf tangan makanan kini semakin meningkat.

Katanya, harga kek jeli 3D pula biasanya bergantung kepada saiz dan rekaan yang diinginkan.

“Permintaan terhadap jeli 3D meningkat ketika musim cuti persekolahan kerana banyak majlis perkahwinan dan kenduri diadakan.

“Ini kerana ia bukan sahaja sesuai dijadikan sebagai hantaran atau cenderahati majlis keraian malah turut menjadi pilihan ketika meraikan majlis sambutan ulang tahun.

“Potensi pasaran memang luas, jadi kepada wanita dan suri rumah, tepuk dada tanya selera. Ingin jana pendapatan tambahan ataupun tidak, katanya.

Surirumah, Nurulhuda Kabir, 44, berkata, dia tertarik menyertai bengkel anjuran Persatuan Skil Wanita (PeLITA) Hulu Langat dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua itu selepas mendapat tahu potensi perniagaan yang ada.

Katanya, meskipun bukan mudah untuk menghasilkan rekaan jeli 3D yang menarik namun dia percaya dengan latihan berterusan, ia akan membuahkan hasil.

“Pokok pangkalnya kena kreatif dan rajin berlatih.

“Saya mahu mendalami kemahiran membuat jeli 3D secara serius kerana bercadang untuk memulakan perniagaan dari rumah bagi menambah pendapatan keluarga, katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2020 @ 6:31am
d