WM

Topeng muka 'origami'

Oleh Nurul Husna Mahmud

KEKURANGAN alat pelindungan keselamatan menangani pandemik Covid-19 yang melanda serata dunia antara krisis tiada penghujung terutama penularan atau jumlah kes meningkat saban hari.

Tidak terkecuali buat 28,000 barisan petugas kesihatan University of Maryland Medical System's (UMMS) di Amerika Syarikat yang berisiko dijangkiti apabila terpaksa berdepan pesakit dengan kekurangan peralatan keselamatan seperti topeng muka, pelindung dan sut gaun hospital.

Prihatin dengan keadaan itu, pengeluar produk sukan Under Armour tampil menghasilkan alat pelindungan dalam membantu kumpulan barisan hadapan terbabit termasuk sebuah pertubuhan penjagaan kesihatan serantau yang berpangkalan di wilayah itu, LifeBridge.

Menurut Naib Presiden Kanan (SVP) Advanced Material and Manufacturing Innovation Under Armour Randy Harward, dia memberi cabaran kepada pasukannya untuk hasilkan rekaan alat pelindungan keselamatan yang terbaik bagi membantu pekerja barisan hadapan.

Pasukan berkenaan perlu memberi tumpuan kepada rekaan bentuk topeng perlindungan yang boleh dihasilkan dengan cepat, dalam bilangan yang tinggi dan boleh menyediakan penghalang tambahan terhadap virus.

"Lebih daripada 50 sukarelawan Under Armor terdiri daripada saintis bahan sehingga kepada pereka kasut dan pakaian dari makmal di Baltimore dan Portland membantu mencari rekaan alat pelindungan terbaik dalam memerangi wabak ini.

"Hasilnya pasukan kami tampil dengan rekaan topeng yang tidak memerlukan jahitan. Konsep guna pakai ialah topeng muka yang menggunakan gaya lipatan origami yang selesa untuk bernafas, tetapi menggunakan material tahan lembapan.

"Saya memanggilnya keajaiban di sebalik konflik kerana kumpulan ini berada dalam situasi tekanan tinggi bagi mencari penyelesaian terbaik dalam persekitaran yang sangat dinamik. Ia adalah proses tanpa henti selama seminggu sehingga akhirnya menemui penyekesaian hari ini," katanya.

Malah, dia turut memaklumkan cabaran itu diberikan selepas mendengar temu bual seorang doktor di Itali yang mengatakan jika banyak topeng muka dihasilkan boleh mengurang penularan wabak itu.

Pengeluaran topeng rancak dilakukan di hab inovasi Under Armor, Lighthouse di Baltimore. Harward dan pasukannya menggunakan mesin memotong fabrik berkelajuan tinggi yang boleh memotong hampir 100 keping fabrik sekaligus.

Kemudian ia dihantar kepada sukarelawan Under Armour dan hospital untuk lipatan dan pengedaran.

Menerusi kombinasi ini kuasa mesin dan tenaga kerja, Harward meramalkan pasukannya boleh menjana sekitar 100,000 topeng seminggu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Under Armor menyifatkan penting untuk pihaknya terus memberi sokongan kepada barisan hadapan.

"Dalam Under Armor kami tahu kepentingan menjadi sebahagian daripada pasukan. Pemikiran penting ketika ini ialah membantu bersama-sama untuk memerangi Covid-19.

"Saya amat berbangga dengan pemikiran cepat dan kerja keras semua sukarelawan yang bekerjasama dengan tenaga profesional penjagaan kesihatan untuk mengukuhkan komuniti kami," katanya.

Under Armor sudah menyumbang 1,300 perisai atau pelindung muka untuk UMMS dan menjangkakan pembuatan dan mengedar lebih daripada 500,000 topeng muka fabrik dan pemasangan 50,000 pek kelengkapan keselamatan untuk kit peribadi.

Pasukan itu juga meneroka rekaan pembuatan gaun pelindungan untuk pekerja kesihatan selain pencetakan tiga dimenai (3D) bagi topeng mulut dan hidung N95 dan N80 untuk kegunaan tenaga profesional perubatan.

Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 6:15am
d