WM

Menjarakkan kehamilan

Oleh Hafiz Ithnin

KEHAMILAN bagi pasangan yang berkahwinan adalah satu anugerah terindah apabila mereka mampu menambah bilangan ahli keluarga yang juga mampu memberi rezeki kepada mereka.

Menjarakkan kehamilan yang termasuk di dalam perancangan keluarga juga bukan sesuatu perkara yang asing dalam masyarakat atas beberapa faktor yang dirasakan perlu oleh pasangan antaranya isu kesihatan dan ekonomi keluarga itu sendiri.

Dalam isu ini, terdapat persepsi perancangan kehamilan dengan merasakan hubungan kelamin kali pertama, postur tertentu ketika bersama dan mencuci kemaluan selepas hubungan intim itu berlaku dapat mengelakkan kehamilan sebenarnya satu perkara yang tidak tepat.

Perkara itu dijelaskan Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Kanser Wanita, Dr Zaharuddin Rahmat @ Mohd Rawi.

Beliau yang menjelaskan bahawa dianggarkan terdapat 41 peratus kehamilan berlaku di dunia adalah tidak dirancang sama ada sudah berkahwin atau tidak.

Katanya, kira-kira 33 juta kehamilan yang tidak dirancang itu disebabkan kegagalan kaedah pencegahan atau penggunaannya yang salah.

“Hubungan kelamin boleh memberikan kepuasan, keseronokan dan merapatkan hubungan pasangan, tetapi tanpa pencegahan sesuai, kehamilan yang tidak dirancang boleh memberikan kesan yang besar terhadap wanita dan hubungan dengan pasangan. Menjarakkan kehamilan dan perancangan keluarga adalah tanggungjawab bersama pasangan.

“Wanita dan pasangan patut berbincang dengan doktor berkenaan pelbagai kaedah perancangan keluarga, kesesuaian, faedah jangka pendek dan masa depan dan kesan sampingan. Oleh kerana kebanyakan kaedah perancangan keluarga ini diamalkan wanita, maka wanita patut diberikan hak memilih untuk mengamalkan cara yang sesuai untuk mereka,” katanya.

Pakar itu menjelaskan, wanita perlu berbincang dengan doktor kaedah yang sesuai sekiranya mereka menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sejarah alahan.

Kaedah penggunaan hormon untuk menjarakkan kehamilan sama ada pil, suntikan atau implan mungkin tidak bersesuaian kerana risiko darah tinggi.

“Ramai wanita memilih kaedah tanpa hormon terutama wanita yang jarang melakukan hubungan kelamin kerana sibuk bekerja atau tinggal berjauhan dengan pasangan. Penggunaan kondom mungkin lebih sesuai dan jimat.

“Wanita yang mengalami senggugut, pendarahan yang banyak setiap kali datang haid dan ingin menjarakkan kehamilan mungkin sesuai dengan kaedah hormon seperti pil perancang dan alat dalam rahim Mirena-IUS. Bagaimanapun, wanita berkenaan perlu menjalani pemerikasaan dengan doktor sebelum menerima rawatan,” katanya.

Tambahnya, wanita yang sibuk bekerja terutama tanpa jadual yang tetap atau selalu terlupa makan ubat, mereka mungkin sesuai menggunakan kaedah perancangan keluarga jangka panjang seperti suntikan hormon, alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD atau Mirena-IUS) dan alat hormon implan di lengan.

“Kaedah mengelakkan hubungan kelamin pada waktu subur wanita memang popular, tetapi ia kurang berkesan untuk pasangan yang tinggal serumah kerana hubungan kelamin boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak juga sesuai untuk wanita yang mempunyai kitaran haid yang tidak teratur.

“Sementara kaedah pasangan lelaki ejakulasi di luar faraj juga satu kaedah natural yang popular. Namun risiko mengandung adalah tinggi. Dikatakan antara 22 daripada 100 wanita dalam setahun akan mengandung kerana sperma mungkin terkeluar sebelum sempat ejakulasi di luar faraj,” katanya.

Dr Zaharuddin berkata, selain menjarakkan kehamilan, kaedah perancangan keluarga boleh memberi manfaat lain.

Pil perancang kombinasi boleh membantu mengurangkan senggugut, membetulkan kitaran haid dan mengurangkan pendarahan haid.

“Pil ini juga memberi kesihatan yang lebih baik kepada kulit, tulang, gigi dan rambut. Kajian saintifik menunjukkan sekiranya pil ini diambil secara berpanjangan, risiko kanser ovari dan rahim pada masa depan lebih rendah berbanding wanita yang tidak pernah mengambil pil perancang kombinasi.

“Wanita yang mengalami pendarahan dan ketumbuhan yang tidak bahaya dalam rahim serta ingin menjarakkan kehamilan, alat hormon dalam rahim (Mirena-IUS) adalah sangat sesuai kerana ia juga boleh merawat masalah sakit puan itu,” katanya.

Tegasnya, penggunaan kondom bukan sahaja mudah digunakan dan murah, tetapi juga boleh mengelakkan risiko jangkitan penyakit kelamin dalam kalangan pasangan.

“Wanita dan pasangan perlu berbincang dengan doktor untuk hamil semula selepas penggunaan kaedah pencegahan kehamilan.

“Mereka perlu berbincang tindakan yang perlu diambil sebelum kehamilan seperti diet, berat badan yang berpatutan, kawalan penyakit kronik serta pengambilan vitamin tambahan seperti asid folik,” katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 6:30am
d