WM

Bakti lima beranak

Oleh Hafiz Ithnin

MESKIPUN kebanyakkan rakan sebayanya ketika ini mungkin mengisi waktu senggang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melakukan aktiviti seperti menonton televisyen atau membelek telefon pintar, tetapi tidak buat Nur Afia Qistina Zamzuri dan adik-adiknya.

Baru berusia sembilan tahun, Nur Afia Qistina bersama ahli keluarganya mengisi waktu lapang dengan menyiapkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas kesihatan.

Ketika penulis bertanya, adakah tidak mengapa menjahit PPE, tapi tidak mendapat upah?

“Tak apa, ini juga tanggungjawab kakak (panggilannya di rumah) untuk sama-sama hapuskan Covid-19,” matang jawapannya.

Melihat gambar yang diutuskan rakan penulis daripada salah satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls), Izza Izelan mengenai aktiviti Nur Afia Qistina membuatkan penulis kagum dengan kebolehan anak kecil itu.

Menerusi foto itu kelihatan Nur Afia Qistina sedang sibuk dibantu seorang kanak-kanak perempuan menyiapkan PPE dan ternyata bukan sekadar gaya, tetapi dia mempunyai bakat besar untuk kerja menjahit.

Ibunya, Hasnah Hud berkata, Nur Afia Qistina mula menunjukkan minat menjahit pada usia lima tahun memandangkan Hasnah adalah tukang jahit di Kampung Kepis Hilir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Katanya, pada usia lima tahun, Nur Afia Qistina berkeinginan untuk membantunya menyiapkan pakaian yang ditempah pelanggan. Pada usia tujuh tahun, Nur Afia Qistina sudah boleh mengendalikan mesin jahit dan memotong pola kain.

“Apabila saya mendapat tahu ada pihak ingin mendapatkan bantuan daripada tukang jahit untuk membuat PPE, saya memaklumkan kepada Nur Afia Qistina dan dia teruja untuk membantu sama.

“Memandangkan dia sudah pandai mengendalikan mesin jahit, jadi saya tidak perlu risau dengan hasil kerjanya kerana sebelum ini dia juga mencari wang saku lebih ke sekolah menerusi aktiviti menjahit sehingga mampu membeli telefon bimbit dan basikal dengan wang sendiri,” katanya.

Hasnah berkata, Nur Afia Qistina adalah anak sulung daripada tiga beradik dan menariknya dalam menyiapkan PPE, mereka sekeluarga secara tidak langsung terbabit sama menyiapkan pakaian perisai untuk barisan hadapan itu.

Katanya, mereka lima beranak mempunyai tugasan masing-masing untuk membantu menyiapkan PPE sejak April lalu.

Bermula Hasnah memotong kain, Nur Afia Qistina menjahit, anak keduanya, Nur Ariana Qistina berusia empat tahun memotong lebihan benang, anak bongsunya, Zyrill Isyraff berusia dua menyusun getah. Manakala suaminya, Zamzuri Shaharin melipat dan menyusun PPE yang sudah siap.

Hasna berkata, dengan adanya aktiviti sukarelawan itu mereka sekeluarga tidak bosan ketika di rumah apatah lagi kedudukan kediaman mereka di kawasan pedalaman dan suaminya bekerja sebagai penoreh getah juga kagum dengan semangat anak-anak mereka.

Jelasnya, dia tidak pernah memaksa anak-anak untuk membantu membuat aktiviti sukarelawan itu kerana mereka juga perlu menyiapkan belajar secara atas talian, tetapi apabila siap kerja sekolah dan hujung minggu semuanya tidak sabar untuk melakukan aktiviti itu.

“Walaupun mereka seronok membuat aktiviti ini, tetapi saya dan suami pastikan anak-anak perlu menyiapkan kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran terlebih dahulu kerana kami tidak mahu mereka mengetepikan tugas hakiki sebagai murid sekolah.

“Jadi pada sebelah petang dalam tempoh PKP ini bermula Isnin hingga Jumaat, menyiapkan PPE adalah aktiviti riadah memandangkan kedudukan rumah jauh dengan jiran lain, tidaklah anak-anak bosan kerana tidak dapat keluar rumah. Hujung minggu pula dari pagi hingga petang,” katanya.

Wanita berusia 38 tahun itu menjelaskan, kain PPE disediakan pihak Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk mereka sekeluarga menyiapkan pakaian itu dan ketika ini lebih 100 pasang disiapkan dan dihantar untuk kakitangan hospital itu.

Katanya, sebagai anak sulung, Nur Afia Qistina sudah faham mengenai situasi negara ketika ini yang dilanda pandemik Covid-19 dan sentiasa berlapang dada untuk membantu kakitangan barisan hadapan di hospital dengan cara menyiapkan PPE.

“Suami dan saya selalu memberitahu anak-anak keadaan negara ketika ini dan kakitangan barisan hadapan yang bertungkus-lumus memastikan keselamatan masyarakat terjaga.

“Dalam masa sama, bapa saudara mereka juga ada yang berkhidmat dalam barisan keselamatan negara. Jadi, anak-anak terutama Nur Afia Qistina faham kita perlu menyokong dan membantu wira berkenaan dengan hanya duduk di rumah dan menjadi sukarelawan menyiapkan PPE,” katanya.

Malah, Nur Afia Qistina juga memberitahu penulis, dia bercita-cita ingin menjadi tukang jahit terkenal di Malaysia pada masa depan.

Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 7:00am
d