WM

Kalendar puasa DIY

Oleh Nurul Husna Mahmud

BERPUASA Ramadan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara normal baharu dan memanfaatkannya dengan pelbagai ibadah dan aktiviti bersama anak-anak.

Menghasilkan sendiri (DIY) kalendar Ramadan umpamanya antara galakan ibu bapa untuk membantu anak-anak menjalani ibadah terutama yang baru belajar berpuasa.

Ini antara yang dikongsi blog Paper Batter Banter iaitu inisiatif si ibu menjadikan amalan berpuasa ketika Ramadan menarik bagi anaknya yang baru belajar berpuasa.

Kalendar DIY berkenaan yang dihasilkan dalam format memberi ganjaran kepada setiap tugasan atau misi kebaikan dilakukan si anak 'diselit' pada belakang nombor yang mewakili tarikh pada bulan terbabit antara elemen kejutan ditampilkan.

Berikut langkah membuat kalendar DIY Ramadan:

1.Langkah pertama ialah penyediaan material diperlukan antaranya:

i.Fabrik felt (atau boleh ditukar dengan kadbod atau kertas keras berwarna-warni) dalam saiz A5 sebanyak 30 keping

ii.Kadbod - 1 keping

iii.Benang bulu kambing atau tali

iv.Klip kertas atau penyepit baju juga diperlukan - 30 klip

v.Gunting

vi.Gam

vii.Kertas berwarna hitam (dipotong ke 14 sm x 20 sm segi empat tepat)- 30 keping

viii.Pen atau penanda berkilat

ix.Kertas berwarna-warni juga dipotong dan dilipat - 30 keping

2.Pilih konsep atau motif bagi bentuk ingin pada setiap tarikh itu. Umpamanya konsep lantera dipilih dan kain felt atau kertas keras berwarna dipotong mengikut potongan itu.(boleh muat naik daripada Internet)

3.Bahagian tengah kain ditebuk.

4.Kertas hitam sudah siap bernombor ditampal pada belakang kain berkenaan.

5.Kertas berwarna-warni dilengkapi senarai tugasan dan ganjaran dilekatkan di belakang kertas hitam. Contoh tugasan boleh disenaraikan seperti berselawat dan ganjaran pula ialah jus kesukaan anak anda.

6.Potong benang pada ukuran 120 sentimeter sebanyak lima dan enam keping nombor disusun seperti contoh berkenaan.

7.Kadbod dijadikan bingkai. Sementara nombor sudah dipasang tali diikat pada kadbod berkenaan.

8.Apabila semua sudah siap, boleh gantung pada sudut dan anak-anak boleh laksanakan 'misi' mereka berdasarkan tugasan pada nombor berkenaan.

Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 6:15am
d