WM

Diet betul elak dehidrasi

Oleh Nurul Husna Mahmud

BAGI mengelakkan berlakunya dehidrasi atau kekurangan cecair di dalam badan ketika menjalankan ibadah puasa, anda digalakkan mengamalkan diet dan pemakanan betul.

Berikut enam cara membantu individu tidak mudah dehidrasi berdasarkan beberapa petua:

1. Kurma

Rasulullah SAW sebenarnya sudah memberi contoh menu terbaik untuk sahur dan iftar (buka puasa) sepanjang Ramadan.

2. Tembikai

Sebiji tembikai terbentuk dari 92 peratus air dan lapan peratus buah. Elemen cecair yang terkandung di dalamnya termasuk mineral, kalsium dan magnesium adalah komponen yang penting bagi tubuh supaya tidak dehidrasi.

Mungkin diet lengkap apabila campuran semangkuk kecil potongan buah itu bersama keju Feta dan setangkai pudina. Ia juga memberi hidangan mencukupi untuk berbuka selain pengganti air manis yang sering diambil bersama ais yang ternyata tidak baik untuk kesihatan.

3. Mula berbuka dengan amalan sup panas

Sup antara menu idea bagi pembuka selera tatkala berbuka. Jika anda inginkan sup terbaik, sedia semangkuk sup jernih kerana ia lebih baik berbanding sup mengandungi krim.

Amalan ini bukan sahaja membantu tubuh tidak dehidrasi malah selera juga meningkat selain tubuh menyerap air dan tenaga untuk hari-hari puasa seterusnya.

4. Minum smoothie

Sediakan segelas smoothie buah-buahan yang mengandungi banyak air seperti tembikai, nanas, mangga, epal dan peach.

Kalau anda mempunyai masalah perut tidak selesa, saranan untuk tidak mencampurkan kisaran buah bersama yogurt atau susu segar dan memadai dengan tambahan air serta ais sahaja. Hasilkan dalam jumlah banyak dan disimpan dalam peti ais untuk memudahkan urusan seharian.

5. Hindari makanan masin atau berjeruk

Berdasarkan proses di dalam tubuh, makanan masin boleh menyebabkan tubuh mudah dehidrasi terutama ketika bulan puasa.

Dari segi keperluan tubuh, sebenarnya hanya sedikit sahaja mineral itu (garam) daripada sayuran dan buah-buahan tertentu diperlukan.

6. Pengambilan sayur-sayuran hijau

Meskipun pada luaran, sayur-sayuran hijau tertentu dilihat secara nutrisi tidak efektif, daun salad sahaja umpamanya mengandungi 98 peratus air dan membantu menampung kehilangan cecair dalam badan.

Kalau tidak suka sup, campuran salad adalah gantinya selain potongan timun dan tomato boleh menjadi pembuka selera sejuk yang enak.

Disiarkan pada: April 29, 2020 @ 6:15am
d