WM

Koleksi nilai klasik

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

KETIBAAN Aidilfitri sememangnya begitu istimewa dan dinantikan seluruh umat Islam.

Meskipun negara kini masih berwaspada dengan ancaman pandemik Covid-19, namun persediaan untuk meraikan hari kemenangan itu tetap dilakukan tetapi kali ini dengan cara yang sederhana.

Selain juadah enak, pakaian baharu dengan aksesori barangan kemas pelengkap gaya juga tidak dilupakan terutama bagi kaum hawa.

Untuk itu, tahun ini pengeluar barangan kemas terkenal, HABIB menampilkan pelbagai koleksi baharu menarik bertemakan tradisi bagi meraikan kempen Rantaian Kasih sekali gus membantu wanita melengkapkan penampilan pada pagi Syawal mereka.

Pengarah Urusannya, Datuk Sri Meer Sadik Habib berkata, rantaian kasih membawa maksud ikatan atau hubungan silaturahim yang tercetus antara satu sama lain.

Kata beliau, sempena kehadiran Aidilfitri kali ini, pihaknya ingin menekankan kepentingan kekeluargaan dan juga keindahan mengekalkan tradisi.

"Koleksi yang kami lancarkan mempunyai nilai klasik untuk memastikan barangan kemas dihasilkan masih terus diterima tanpa mengira peredaran zaman.

"Selain itu, rekaan kami juga sesuai untuk setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut beliau lagi, tradisi melambangkan asal usul dan kepercayaan yang bukan hanya kepada sesebuah masyarakat tetapi juga keluarga dan individu.

Katanya, tradisi pada hari raya mungkin sama dan mungkin juga berbeza antara sesebuah keluarga dengan yang lain namun elemen itulah yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama sejak dahulu lagi.

"Tahun ini, barisan wajah selebriti yang menghiasi bilik pameran kami ialah Rozita Che Wan, Zain Saidin, Aaisyah Dhia Rana, Ramona Zamzam dan Hannah Delisha. Mereka tidak hanya menggemari barangan kemas tetapi juga pelanggan kami sendiri.

"Tidak dilupakan mereka semua berkongsi tradisi raya yang indah di mana ia bertepatan dengan tema kempen raya kami kali ini," katanya.

Apa yang istimewa pada tahun ini, pelbagai koleksi menarik ditampilkan untuk semua lapisan usia antaranya, koleksi Oro Italia 916 yang dibawa khas dari Itali menggunakan teknologi 'ice cutting' dan 'laser soldering.'

Rekaan daripada koleksi itu menggabungkan pelbagai warna emas dalam satu rekaan seperti gabungan pelbagai warna emas kuning, emas putih, emas merah jambu dan emas hitam.

Turut mencuri perhatian adalah koleksi Aura yang menampilkan pelbagai rekaan bersesuaian untuk wanita berhijab mahupun penggemar rantai panjang.

Untuk kaum adam pula, set butang baju Melayu dan koleksi cincin lelaki yang disemat dengan butiran berlian dan batu permata pasti sesuai dipadankan dengan penampilan pada Aidilfitri ini.

Sementara itu, sepanjang kempen Rantaian Kasih, jenama terbabit turut menganjurkan beberapa peraduan seperti Kongsikan tradisi Raya anda dan gunakan #HabibRayaTradisi untuk berpeluang memenangi barangan kemas bernilai RM 10,000.

Pelanggan juga dijemput berkunjung ke beberapa bilik pameran HABIB yang dibuka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) antaranya di ibu pejabat di Ampang Point, pusat beli-belah Alamanda, Suria KLCC, Semua House, Bangsar Village 2, IOI City Mall, Mid Valley Megamall, The Curve, Setia City Mall, Aeon Mall Nilai, Alpha Angle, Angsana JB Mall, KTCC Mall, Mid Valley Southkey JB, Mydin Mall USJ, Mydin Meru Raya Ipoh, Mydin MITC Melaka dan Mydin Seremban 2.

Soal keselamatan jangan bimbang kerana premis berkenaan mengamalkan jarak sosial yang ditetapkan selain bilik pameran dinyahkuman dan barangan kemas juga dibersihkan setiap kali disentuh pelanggan.

Pelanggan juga akan diperiksa suhu badan di pintu masuk manakala topeng muka turut diberikan kepada pelanggan.

Disiarkan pada: May 7, 2020 @ 7:00am
d