WM

Fikir anak, keluarga [METROTV]

Oleh Hafiz Ithnin

MENGALIR air mata dua jururawat wanita yang ditemu bual tatkala ditanya mengenai perasaan meninggalkan anak masih menyusu badan di rumah. Tidak kurang berdebar jika mereka terbawa pulang pandemik Covid-19 ke rumah.

Perasaan itu bukan dibuat-buat tetapi ia adalah rasa sebenar selepas menjadi individu yang paling dekat dengan pesakit. Bukan sahaja nyawa mereka, malah keluarga juga berisiko tinggi mendapat virus berkenaan.

Apatah lagi tugas mereka sebaik sahaja seseorang itu disahkan positif Covid-19 bukan sekadar menjadi pembantu pakar perubatan, malah sentiasa berada dekat dengan pesakit daripada memberi ubat, menghidang makanan sehingga mengiring perjalanan ke luar wad.

Penulis baru-baru ini, berkesempatan menemu bual dua jururawat itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang bertugas di wad pesakit Covid-19, iaitu Nor Asheila Azmi, 31, dan Normaizan Shapii, 36. Mereka berkongsi perasaan sepanjang menggalas tugas sebagai sebahagian jururawat yang ditugaskan di wad pesakit itu.

Nor Asheila mengakui ketika dimaklumkan pihak hospital untuk ditugaskan di wad Covid-19, emosinya terganggu apatah lagi memikirkan anaknya, Muhaammad Hazim Amsyar Mohd Hafizul kini baru berusia setahun dua bulan di rumah.

"Sebaik mendapat tugasan ini, saya hubungi emak di kampung dan menangis memaklumkan kepadanya. Bukan saya risau mengenai diri tetapi memikirkan anak pertama yang masih menyusu ada di rumah.

"Walaupun sebagai barisan hadapan di hospital kita perlu kuat mental dan fizikal tetapi jiwa seorang ibu tidak dapat menafikan perasaan apabila risau untuk melihat anak sendiri apabila pulang ke rumah," katanya.

Katanya, dia juga kadangkala terfikir ketika keluar bekerja, mungkin itu adalah kali terakhir dapat melihat anak dan keluarga kerana tanggungjawabnya di barisan hadapan.

Jelasnya, meskipun langkah-langkah keselamatan sudah diambil tetapi risiko untuk mereka mendapat wabak berkenaan tetap ada kerana golongan jururawat antara individu yang berhubung secara terus dengan pesakit dalam proses rawatan.

"Ketika berpuasa ini mungkin orang di luar sana yang bekerja bukan di dalam bidang perubatan atau keselamatan boleh terus berjumpa keluarga mereka atau bermain dengan anak-anak.

"Tetapi tidak untuk saya kerana biasanya apabila tamat waktu bekerja saya pastikan diri sudah mandi di hospital terlebih dahulu. Kemudian, pulang ke rumah mandi sekali lagi. Dua atau tiga jam kemudian baharu berani untuk dekatkan diri dengan anak," katanya yang sudah berkhidmat selama enam tahun di HKL.

Nor Asheila berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila ada antara pesakit yang menyalah anggap ketika berlaku kekurangan dalam dia menjalankan tugas.

"Pernah suatu ketika saya perlu menghidangkan makanan kepada seorang pesakit, roti yang berada di dalam dulang terjatuh pula di atas meja dan dia menganggap saya sengaja melakukan perkara itu.

"Sebenarnya, apabila kami memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) bukan sahaja perlu berada dalam keadaan panas tetapi sarung tangan juga licin dan disebabkan itu, tanpa sengaja roti itu terjatuh hingga pesakit fikir saya kasar dengannya," katanya.

Katanya, dia memohon maaf kepada pesakit berkenaan dan menjelaskan mengenai sarung tangannya licin serta tidak langsung mempunyai perasaan marah ketika bertugas.

"Pada awalnya nampak pesakit itu rasa kecil hati tetapi saya juga faham mungkin mereka tertekan dengan keadaan diri yang sakit dan tidak dapat keluar," katanya.

Sementara itu, ibu kepada dua anak yang masih kecil berusia lima dan setahun 11 bulan, Normaizan berkata, dia juga sama seperti Nor Asheila yang merasa takut apabila dimaklumkan ditugaskan untuk menjaga pesakit Covid-19 tetapi meletakkan diri sebagai golongan yang berjihad.

"Setiap kali balik ke rumah saya sentiasa terfikir sama ada diri ini bersih atau tidak walaupun langkah berjaga-jaga sudah diambil seperti perlu sentiasa membersihkan diri dan mandi terlebih dahulu di hospital sebelum balik.

"Anak saya yang bongsu masih lagi menyusu badan. Jadi, apabila balik saya akan risau bukan untuk diri sendiri tetapi anak kerana takut virus ini ada pada tubuh saya," katanya sebak.

Katanya, sebagai individu yang sentiasa mempunyai kontak rapat dengan pesakit kerana merawat dan dia tidak dapat membayangkan jika ditakdirkan menjadi orang yang dirawat pula.

"Mungkin ada orang yang beranggapan ini adalah kerja kami, tetapi minta difikirkan barisan hadapan juga sama seperti orang lain. Kami mempunyai keluarga yang menunggu di rumah.

"Kami juga ingin bersama keluarga, berpuasa dan merayakan Aidilfitri yang akan tiba. Siapa yang tidak mahu peluang seperti itu? Tetapi seperti yang saya katakan ini adalah tanggungjawab kami di barisan hadapan. Hargailah peluang yang ada," katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 9:37am
d