WM

Bersalin kaedah pembedahan

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

RAMAI ibu hamil menyuarakan kebimbangan terhadap kesihatan bayi dalam kandungan mereka ketika penularan pandemik Covid-19.

Wabak ini menjangkiti individu dalam skala yang besar dan amat sukar dikekang penyebarannya.

Selain warga emas, ibu hamil juga dikatakan antara golongan yang berisiko tinggi dijangkiti wabak itu.

Namun menurut pakar, ibu hamil tidak perlu terlampau khuatir dengan keadaan yang berlaku asalkan mereka menjaga diri dengan sebaiknya.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Nur Azurah Abdul Ghani berkata, walaupun secara amnya wanita hamil mempunyai imuniti lebih rendah namun risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 adalah sama dengan mereka yang tidak hamil.

Kata Dr Nur Azurah, ini kerana, wanita hamil juga mempunyai gejala yang sama seperti orang lain iaitu demam, batuk, selesema, lesu, kesukaran bernafas dan cirit-birit.

"Adakalanya agak sukar untuk membezakan kesukaran bernafas disebabkan perut yang semakin besar atau jangkitan Covid-19.

"Kebanyakan wanita hamil merasa lesu dan ini turut menyukarkan doktor untuk membuat diagnosis.

"Oleh itu, sebagai langkah pencegahan, wanita hamil disarankan sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan dengan sabun," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dr Nur Azurah, terdapat pertanyaan daripada masyarakat mengenai risiko kepada ibu hamil untuk mendapatkan komplikasi atau keadaan perkembangan bayi tidak normal.

Namun Dr Nur Azurah berkata, ketika ini tidak banyak yang diketahui doktor mengenai pandemik itu dan kesannya kepada kehamilan.

Jelasnya dari apa yang diketahui, pandemik Covid-19 itu tidak menyebabkan kecacatan kepada bayi yang dikandung atau memberi sebarang komplikasi kehamilan kepada ibu.

"Bagaimanapun, wanita hamil yang positif Covid-19 akan dimasukkan ke wad untuk pemantauan rapi.

"Pemeriksaan kehamilan akan dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan kerana jangkitan pandemik ini tidak memberi sebarang komplikasi tambahan pada kandungan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai adakah suami dibenarkan menemani isteri (yang positif Covid-19) ketika bersalin, Dr Nur Azurah berkata, sekiranya wanita terbabit mempunyai tanda-tanda hendak bersalin, kaedah kelahiran yang disarankan adalah menjalani pembedahan caesarean.

Katanya, golongan terbabit lazimnya tidak disarankan bersalin normal bagi mengurangkan transmisi virus.

"Ketika melakukan pembedahan, doktor dan jururawat akan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap.

"Selain itu, bilangan orang di dalam bilik bedah juga dihadkan bagi mengurangkan transmisi dan mengurangkan kadar penggunaan PPE.

"Ini adalah salah satu sebab mengapa suami tidak dibenarkan masuk bersama ketika pembedahan dilakukan, katanya.

Dr Nur Azurah berkata, 13 peratus wanita hamil juga tidak menyedari bahawa mereka adalah positif Covid-19 kerana tidak mempunyai sebarang gejala.

Bagaimanapun, kata Dr Nur Azurah, sekiranya wanita terbabit didapati positif Covid-19, pembedahan masih akan diteruskan.

"Ramai yang merasa bimbang kerana bersangka pembedahan akan ditunda kerana dijangkiti Covid-19 sedangkan semua andaian itu tidak benar.

"Apa yang bezanya adalah pembedahan akan dilakukan di dewan bedah khas untuk pesakit Covid-19 di mana semua kakitangan akan mengenakan pakaian PPE yang lengkap.

"Selepas selesai pembedahan, pembuangan sisa klinikal dan dewan bedah akan dicuci mengikut protokol keselamatan Covid-19, katanya.

Mengulas persoalan mengenai bolehkah ibu yang positif Covid-19 menyusu bayinya, Dr Nur Azurah berkata, kebiasaannya selepas bayi dikeluarkan dari rahim, bayi itu akan diletakkan di dada ibunya untuk tujuan 'skin to skin contact.'

Namun, untuk pembedahan caesarean wanita positif Covid-19, ia tidak dapat dilakukan bagi mencegah transmisi virus kepada bayi.

Malah kata beliau, bayi akan diasingkan secepat mungkin untuk mengurangkan pendedahan di dewan bedah.

"Bayi berkenaan akan dibawa ke bilik pengasingan di wad kanak-kanak dan akan disaring untuk Covid-19.

"Si ibu pula tidak dibenarkan menyusu badan selama dia masih positif Covid-19 namun akan diminta untuk mengepam susu selepas pembedahan tetapi susu itu terpaksa dibuang.

"Proses pengepaman perlu bagi memastikan susu masih ada untuk diberi kepada bayi selepas si ibu sembuh sepenuhnya dari jangkitan Covid-19, katanya.

Sementara itu, Dr Nur Azurah berkata, semua perkhidmatan kesihatan terkesan dengan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Justeru, bagi mengurangkan risiko transmisi virus, saringan dilakukan di setiap pintu masuk klinik selain suhu badan turut diperiksa.

Jelas beliau, hanya pesakit sahaja yang dibenarkan masuk bagi memastikan penjarakan sosial.

"Kebanyakan hospital turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak membenarkan kehadiran pelawat di hospital begitu juga di dewan bersalin.

"Selain itu, ketika proses bersalin terutama waktu meneran, adakalanya wanita akan melepaskan nafas dengan kuat dan air liur juga boleh tersembur keluar.

"Jadi, bagi mengurangkan risiko jangkitan, doktor dan jururawat akan memakai pelindung muka yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan risiko berkenaan, katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 7:00am
d