WM

Elak bosan 'berkurung'

Oleh Hafiz Ithnin

DALAM tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, bagi mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak yang mula membesar terutama di alam remaja pasti memahami kerenah anak-anak yang mulai bosan tidak dapat keluar rumah.

Apatah lagi, jika mempunyai ahli keluarga yang ramai dan rumah pula tidak begitu besar. Pasti kelihatan anak-anak remaja mula mencari aktiviti yang lebih terarah mengasingkan diri dari keluarga.

Paling tidak, anak-anak remaja ini pastinya memberi tumpuan kepada peranti pintar masing-masing sama ada berbual kosong dengan rakan-rakan secara maya, bermain game atau asyik mengikuti perkembangan semasa di media sosial.

Pakar Psikologi Kanak-kanak dan Remaja, Profesor Dr Khaidzir Ismail berkata, sekiranya masa lapang anak remaja yang sentiasa diisi dengan kegiatan yang memberi tumpuan kepada peranti pintar sebenarnya boleh mewujudkan sifat individualistik yang menyebabkan mereka tidak gemar untuk bercampur atau melakukan aktiviti bersama ahli keluarga yang lain.

Beliau berkata, sebagai ibu bapa perlu bijak mengawal keadaan itu kerana khuatir anak-anak sudah terbiasa dalam keadaan berkenaan dan tidak lagi mempunyai minat untuk memberi perhatian kepada tanggungjawab mereka sebagai ahli keluarga.

"Sebagai ibu bapa, keadaan seperti itu tidak boleh dibiarkan kerana setiap ahli keluarga mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan institusi kekeluargaan berada dalam keadaan baik serta harmoni.

"Mungkin di peringkat awal ibu bapa melihat anak-anak remaja yang banyak mengasingkan diri dengan telefon pintar itu adalah lebih baik berbanding mereka keluar rumah bagi situasi ketika ini. Bagaimanapun, keadaan itu tidak boleh dibiarkan dalam tempoh masa yang berpanjangan," katanya.

Jelasnya, sebagai ibu bapa yang memimpin institusi kekeluarga seharusnya mempunyai strategi atau menyusun aktiviti yang boleh memberi kesan kepada anak-anak remaja itu lebih matang dan berkepimpinan.

"Dalam tempoh PKP ini semua ahli keluarga kebanyakan berada dalam rumah, jadi ibu bapa perlu mempunyai susunan aktiviti yang membabitkan semua ahli keluarga boleh terbabit sama seperti bermula dengan solat berjemaah.

"Apabila solat secara berjemaah akan memerlukan seorang imam, mungkin ada anak remaja lelaki dalam rumah mereka boleh mengambil tanggungjawab itu untuk memimpin solat bersama ahli keluarga dan berganti dengan bapa mereka setiap kali masuk waktu," katanya.

Jelasnya, dalam solat berjemaah pastinya dapat mendidik anak-anak remaja untuk mempunyai rasa tanggungjawab kepada agama dan ia adalah tiang utama bagi membina keharmonian dalam institusi kekeluargaan.

"Apabila anak remaja lelaki diberi tanggungjawab untuk menjadi imam, secara tidak langsung mereka perlu mempunyai bacaan dalam solat yang baik dan merujuk dengan ahli keluarga lebih berpengalaman menjadikan komunikasi bertambah baik.

"Selain itu, mendekatkan diri dengan agama juga adalah salah satu aktiviti yang mempunyai aura paling positif dalam membina institusi kekeluargaan kerana kita dapat mempelajari nilai-nilai baik seperti berkasih sayang dan menjauhi perkara yang ditegah," katanya.

Selain itu, Dr Khaidzir berkata, memasak juga antara yang boleh membantu anak-anak untuk menjadi lebih bertanggungjawab dengan ahli keluarga yang lain kerana mereka akan dapat mempelajari untuk menyediakan hidangan terbaik untuk seisi keluarga.

"Jangan hadkan aktiviti memasak itu hanya kepada anak lelaki atau perempuan kerana memasak tidak semestinya ditujukan kepada suatu jantina sahaja.

"Jika boleh berikan mereka giliran untuk memasak bagi seisi keluarga. Setiap hari berikan tugas atau menu yang perlu dimasak dan dengan cara itu mereka cuba mempelajarinya. Kalau tidak menjadi, jangan sindir atau menjatuhkan air muka mereka, tetapi terus memberi pujian sebagai semangat," katanya.

Jelasnya lagi, aktiviti berkebun di rumah juga antara yang boleh dilakukan anak-anak bersama ibu bapa, terutama bercucuk tanam tumbuhan yang boleh dimakan.

"Apatah lagi dalam tempoh PKP ini mungkin terdapat ketua keluarga yang kehilangan punca pencarian dan anak-anak remaja sebenarnya boleh bercucuk tanam sekiranya mempunyai ruang untuk melakukan aktiviti itu dengan menanam tumbuhan boleh dimakan dan sudah tentu dapat menjimatkan perbelanjaan dapur.

"Kalau rumah mempunyai ruang tanah yang besar misalnya, 'agihkan' ruang itu kepada setiap anak untuk berkebun tanaman mereka dan menjaganya. Sudah tentu aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah menjadikan mereka berasa lebih bertanggungjawab untuk membantu ibu bapa mengurangkan perbelanjaan dapur," katanya.

Katanya, aktiviti yang membabitkan semua ahli keluarga juga dapat mewujudkan rasa kepentingan diri masing-masing untuk menyumbang kebolehan tanpa perlu dipaksa atau dalam kata lain secara sukarela, sekali gus mewujudkan rasa ikhlas untuk membantu.

"Dalam Ramadan ini juga, ibu bapa yang ingin melakukan kerja amal dengan menyumbang kepada golongan kurang berkemampuan turut boleh mengajak anak-anak turut serta.

"Mungkin memasak hidangan atau mencari maklumat mengenai golongan yang memerlukan. Secara tidak langsung, anak-anak remaja ini juga dapat merasakan mereka mempunyai tanggungjawab bukan sahaja kepada keluarga, malah masyarakat sekeliling," katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 6:30am
d